Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Ramayana: Valmiki vs Hanuman

 | January 23, 2012

Epik klasik ini terdapat dalam pelbagai versi di seluruh dunia dan boleh ditafsir dari pelbagai sudut.

COMMENT

Ada suatu kisah yang kurang diketahui umum mengenai apa yang berlaku selepas cerita dalam teks Ramayana berakhir.

Salah satu versi mengatakan bahawa Hanuman pergi ke Himalaya dan mula menulis semacam autobiografi mengenai segala apa yang berlaku dalam hidupnya.

Kemudian, apabila Valmiki melihat hasil karya Hanuman, maharishyi itu kecewa kerana Hanumad Ramayana (Ramayana Versi Hanuman) jauh lebih hebat berbanding Valmiki Ramayana (Ramayana Versi Valmiki).

Perlu diingat bahawa Hanuman terlibat secara langsung dalam segala peristiwa penting yang berlaku dalam Ramayana sementara Valmiki hanya mendengarnya kemudian daripada Sita.

Valmiki dikenali di seluruh dunia sebagai pengarang epik Ramayana. Beliau digelar “adikavi” iaitu “penyair agung” manakala Ramayana digelar “adikavya” iaitu “karya agung”.

Nama asal Valmiki dipercayai ialah Ratnakara. Pada suatu hari, beliau mengikut bapanya, Prachetasa, seorang alim ke hutan. Ratnakara sesat lalu ditemui seorang pemburu.

Maka, Ratnakara membesar dalam keluarga pemburu itu dan menjadi seorang perompak jalanan.

Suatu hari, dia didatangi Naratar, orang alim yang menyedarkannya bahawa perbuatan merompak adalah tidak baik. Ratnakara bertapa bertahun-tahun lamanya sehingga tubuhnya ditutup sarang semut (“valmika” dalam Bahasa Sanskrit).

Apabila akhirnya dia keluar, Ratnakara digelar “Valmiki” dan dia menjadi Bhramarishi, iaitu ketua orang alim. Valmiki memulakan ashramam iaitu tempat bagi orang-orang alim berkumpul. Di situlah Valmiki mendengar kisah mengenai Rama, Sita dan Laksamana.

Apabila Rama mencurigai kesetiaan dan kesuciaan Sita, dia dihantar ke ashramam yang dikendalikan oleh Valmiki. Sita yang sedang mengandung, melahirkan Lava dan Kusa di situ.

Sementara itu, Valmiki menghasilkan epik Ramayana dalam bentuk puisi klasik Sanskrit, iaitu sloka, berdasarkan apa yang diceritakan oleh Sita mengenai pengalamannya.

Apabila siap, sloka itu diajar kepada Lava dan Kusa. Suatu hari, Rama sendiri berpeluang mendengar sloka itu dan menyedari kesilapannya menghalau Sita dari istana.

Walaupun maklumat lengkap mengenai Valmiki tidak diketahui, sumbangan beliau dalam menghasilkan epik Ramayana yang kini tersebar ke seluruh dunia dalam pelbagai bahasa dan versi tetap dihargai.

Panduan hidup

Dalam pada itu, berbalik pada kisah Hanuman, demi menjaga hati Valmiki, Hanuman kononnya mencampakkan hasil karyanya iaitu Hanumad Ramayana ke laut.

Maka, seolah-olah, umat manusia hilang peluang membaca sebuah karya hebat dan dokumentasi tepat berbentuk memoir atau autobiografi mengenai apa yang berlaku.

Sesungguhnya, Ramayana adalah epik India yang tersebar luas ke seluruh dunia, khususnya sebagai tindak balas terhadap penyebaran agama Buddha secara meluas semasa pemerintahan Asoka di India.

Apa yang menarik, penganut ajaran Buddha pula membuat sedikit pengubah suaian dan mengatakan bahawa Rama adalah inkarnasi Siddharta Gautama Buddha.

Malah, hikayat klasik Xi You Ji (Journey to the West) karya Wu Cheng’en pada Dinasti Ming di China menceritakan kisah seorang sami Buddha bernama Xuan Zhuang.

Beliau bersama-sama beberapa pengikutnya – termasuk Sun Wukong, raja kera sakti – pergi ke benua Tian Zhu (India) untuk mendalami agama Buddha dan membawa pulang kitab-kitab suci.

Dua versi terkenal Ramayana dalam kalangan masyarakat India adalah versi asal Valmiki (Bahasa Sanskrit) dan versi Kamban (Bahasa Tamil). Terdapat juga pelbagai versi di Gujarat, Maharashtra, Assam, Orissa, Andra Pradesh, Karnataka, Kerala, Goa dan Kashmir.

Melalui adaptasi dan interpretasi setempat, maka lahir pula Hikayat Seri Rama di Malaysia, Kakawin Ramayana di Indonesia, Ramakien di Thailand, Reamker di Kemboja, Phra Lak Phra Lam di Laos, Rajah Magandiri di Filipina, Yama Zatdaw di Myanmar dan Siddhi Ramayan di Nepal.

Tarikh sebenar Ramayana ditulis sukar dikesan, tetapi dipercayai antara abad ke-4 Sebelum Masehi dan abad ke-2 Masehi. “Ayana” bermaksud “perjalanan hidup” atau “panduan hidup”.

Maka Ramayana tidak hanya dilihat sebagai sebuah epik tetapi sebagai kitab suci agama Hindu. Ramayana juga merupakan karya sastera agung (adikavya) dan karya sejarah (itihasa).

Tema umum Ramayana adalah mengenai kebaikan menentang kejahatan. Cerita asas adalah mengenai penculikan Sita, isteri Rama, oleh Ravana. Lalu, Rama, Laksamana dan Hanuman berusaha menyelamatkan Sita dengan bantuan pelbagai pihak.

Kisah bermula dengan bab/bahagian “Bala Kanda” mengenai Dasaratha yang memerintah Ayodhya. Isterinya ialah Kausalya, Kaikeyi dan Sumitra. Bab ini berakhir dengan perkahwinan Rama dan Sita.

Bab “Ayodhya Kanda” pula mengisahkan apa yang berlaku 12 tahun kemudian. Kaikeyi mendesak supaya Rama dibuang (buang daerah?) ke hutan selama 14 tahun manakala anaknya, Bharata, menggantikan tempat Dasaratha sebagai pemerintah.

Bahagian seterusnya iaitu “Aranya Kanda” menceritakan apa yang berlaku sehingga “memaksa” Ravana menculik Sita.

Dalam bab “Kishkindha Kanda”, Rama dan Laksamana bertemu Hanuman. Berlaku perebutan kuasa antara Sugriva dan Vaali. Bab berakhir selepas Hanuman mendapat maklumat bahawa Sita dilarikan (diterbangkan) ke Lanka.

Bab “Sundara Kanda” sering disebut sebagai bahagian paling penting dan paling menarik dalam Ramayana. Kisahnya mengenai pengalaman Hanuman ke Lanka untuk bertemu Sita.

Kisah perang Rama-Ravana mendominasi bab “Yuddha Kanda”. Sesudah perang, Sita terpaksa menjalani “ujian api” untuk membuktikan kesuciannya. Kemudian, Rama, Sita dan Laksamana pulang (terbang) ke Ayodhya.

Telaga ilmu

Bagaimanapun, beberapa tahun kemudian, dalam bab “Uttara Kanda”, Rama kembali mencurigai kesetiaan dan kesucian isterinya. Maka Sita dihantar ke hutan dan dia tinggal di ashramam milik Valmiki.

Epik ini sentiasa diubahsuai dan diberi interpretasi baru. Misalnya dalam versi di Tibet, Sita dikatakan anak Ravana. Hikayat Seri Rama (Malaysia) dan Ramajataka (Thailand) menyebut Hanuman sebagai anak Rama.

Dalam versi agama Buddha pula, Rama, Laksamana dan Sita adalah adik-beradik kandung, iaitu anak kepada Kausalya, isteri sulung Dasaratha.

Dalam Ramayana versi agama Jain, Laksamana yang membunuh Ravana. Kemudian, kedua-dua mereka masuk neraka! Manakala Rama yang ada empat isteri (Maithili, Prabhavati, Ratinibha dan Sridama) menjadi sami Jain dan akhirnya mencapai “moksha”.

Hikayat Seri Rama di Malaysia menyebut Dasaratha sebagai cicit kepada Nabi Adam dan beragama Islam. Watak Laksamana juga lebih penting berbanding watak Rama yang digambarkan sebagai agak lemah.

Versi Ramakien di Thailand pula memberi keutamaan kepada watak Hanuman. Sita dikatakan anak Ravana dan Mandodari.

Dalam kalangan penganut agama Hindu, Rama dipercayai adalah inkarnasi (avatara) Dewa Vishnu. Penganut agama Buddha pula percaya bahawa Rama adalah inkarnasi Siddharta Gautama Buddha.

Hanuman pula inkarnasi Dewa Shiva yang kesebelas dan terakhir iaitu Rudra Avatara.

Ramayana juga menjadi bahan cerita bagi drama tari Kutiyattam, Kathakali, Yakshgana, Ramlila dan Therukuttu di India. Di Kerala dan Mysore, India, teks berkenaan menjadi sumber pertunjukan wayang kulit; seperti di Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Bentuk-bentuk seni persembahan seperti Wayang Wong dan Tari Puteri di Indonesia serta Nang Yai, Nang Talung dan Khon di Thailand turut mengambil kisah daripada pelbagai versi Ramayana.

Epik ini boleh didapati dalam pelbagai edisi dan bahasa. Ada edisi ringkas yang dipenuhi lukisan bagi bacaan kanak-kanak. Ada juga edisi yang sesuai bagi bacaan remaja dan dewasa.

Malah, pada setiap kali kita membacanya dengan fikiran terbuka, kita boleh mendapat pengalaman serta ilmu baru yang mampu merangsang pemikiran dan minda.

Ramayana – sebagaimana juga Mahabharata – adalah umpama telaga ilmu yang boleh terus ditimba airnya. Makin kita menimba, makin jernih dan segar air yang diperoleh.

Sepertimana saya tekankan dalam sebuah rencana di akhbar Utusan Malaysia pada 9 Mac 1996, Ramayana sentiasa diberi interpretasi baru dari semasa ke semasa oleh para pengkaji dan pengarang yang peka serta berfikiran kritikal.

Misalnya, novel grafik Sita’s Ramayana (2011) oleh Samhita Arni dan Moyna Chitrakar di India menceritakan kisah itu dari sudut pandangan Sita.

Sementara itu, di negara kita sendiri, novel Kembang Kanigara (1992) oleh SM Zakir adalah sebuah karya hebat dan penting yang cuba menghalusi jiwa Indrajit, anak Ravana. Novel Hanuman: Potret Diri (1996) pula menghalusi jiwa Hanuman, si kera putih bermata hijau.

Novel retorik parodi Hanuman: Potret Diri bukan bacaan ringan. Sebaliknya, pembaca diajak untuk mentafsir, menginterpretasi serta menghayati potret diri Hanuman dan watak-watak lain dalam Ramayana secara kritikal. – Bersambung minggu depan

Uthaya Sankar SB yang menulis secara profesional sejak 1992 turut menggunakan nama pena “Hanuman O”.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments