Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Kelantan di mata rakyat

 | April 16, 2012

Penulis juga berkongsi pandangan dan pengalaman beberapa individu lain mengenai Negeri Cik Siti Wan Kembang.

COMMENT

Kelantan bukan negeri yang mundur walaupun keadaan di sana tidak secantik negeri-negeri di pantai barat Malaysia.

Demikian mesej yang dikirim oleh Izan Ali, seorang penulis yang berasal dari Malim Nawar, Perak dan kini bekerja di sebuah syarikat penerbitan swasta di Kepong.

“Terdapat enam laluan bagi kereta di jalan raya utama. Maknanya, jalan raya di Kelantan setanding apa yang ada di pantai barat,” kata novelis itu yang ke Kelantan tahun lalu dan tinggal di rumah kawannya.

Reaksi yang diberikan Izan adalah berikutan paparan saya di Facebook di mana saya meminta rakan-rakan dari luar Kelantan yang pernah pergi ke negeri itu supaya berkongsi pandangan berdasarkan pengalaman sendiri.

Jamal bin Ludin yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah dan kini menetap di Lahad Datu pula menceritakan bahawa dia pernah tinggal di Kampung Paloh Rambai, Ketereh pada 2007-2008 dan mempunyai keluarga angkat di Pasir Puteh, Kelantan sejak 1994.

“Saya pernah berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Negeri Serambi Mekah itu selama beberapa tahun, serta mempunyai saudara-mara yang bertugas di Kota Bharu.

“Pengalaman mengunjungi sekitar Negeri Cik Siti Wan Kembang, bekerja dan tinggal di sana membawa kenangan manis dalam hidup saya. Saya masih teringat-ingat kenangan manis bertemu Tok Guru dulu,” katanya yang sedang dalam proses menulis berdasarkan pengalaman mengunjungi beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

Pandangan yang saya kumpulkan ini adalah wajar sebagai tambahan kepada “pengalaman” saya sendiri yang saya catatkan menerusi dua tulisan saya di FMT sebelum ini.

Malah, agak menarik untuk diperhatikan bahawa pengalaman dan pandangan saya hampir sama dengan kisah yang dikongsikan beberapa individu berdasarkan pengalaman peribadi mereka.

Maknanya, tidak timbul soal saya diberi “layanan istimewa” semasa saya berada di Kota Bharu pada 11-14 Mac 2012 kerana “layanan” dan “pengalaman” saya sama sahaja dengan beberapa individu lain yang berasal dari luar Kelantan.

Omongan puak cetek ilmu

Perkara ini wajar dinyatakan kerana khabarnya semasa sebuah festival sastera di Melaka pada hujung Mac lalu, beberapa individu mengemukakan pertanyaan kepada pengarang dari Kelantan, Leo AWS mengenai “motif sebenar” saya ke Kelantan; kononnya ada “agenda politik” sehingga diberi layanan khas oleh “parti pembangkang”.

Tentu sahaja omongan puak cetek ilmu seperti itu wajar diabaikan kerana ternyata bodoh serta tidak membawa apa-apa faedah kepada sesiapa. Biarkan Luncai dengan labu-labunya!

Sementara itu, Mohidin Yahya yang berasal dari Muar, Johor dan kini tinggal di Johor Bahru mempunyai pengalaman manis yang sukar dilupakan bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Saya pernah duduk mendengar tazkirah pada pagi Jumaat di Medan Ilmu, Jalan Dato Pati, Kota Bharu dan sempat juga bersalam dengan Tok Guru. Alangkah bertuah kalau dapat kerap bersama Tok Guru; menimba ilmu daripada pendakwah yang tulus dan pemimpin yang bersih,” katanya sebagai reaksi selepas membaca catatan saya pada minggu lalu.

Nik Faridah Mamat yang pernah menyertai Bengkel Penulisan Cerpen anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menjelaskan bahawa pada setiap pagi Jumaat, orang ramai berpusu-pusu di tengah bandar raya Kota Bharu “untuk menadah ilmu daripada Tok Guru”.

“Orang ramai akan duduk beralaskan surat khabar atau tikar untuk mendengar kuliah tafsir al-Quran. Peluang ini juga digunakan oleh peniaga kecil-kecilan untuk mencari rezeki. Orang Islam dan Bukan Islam sama-sama terlibat. Suasana seperti ini terlalu jarang berlaku di tempat-tempat lain,” katanya.

Shan Narayanan dari Ipoh, Perak pula mengucapkan “dirgahayu Tok Guru” kerana kagum dengan cara ulama itu mentadbir Kelantan sejak 1990. Seorang lagi pembaca dari Ipoh, Jason Ng turut meluahkan rasa bangga dan kagum terhadap penduduk negeri Kelantan.

“Bagi penduduk di luar Kelantan, pergilah untuk melihat dan mengalami sendiri segala kehebatan yang ada di sana,” katanya.

Cadangan dan saranan Jason adalah sama dengan pandangan saya. Suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah betapa penduduk di luar Kelantan “jahil” atau “dijahilkan” mengenai keadaan sebenar di negeri yang mengamalkan konsep “Membangun Bersama Islam” itu.

Misalnya, pemimpin dan penduduk Melayu-Islam di Kelantan berpegang teguh pada akidah Islam, namun tidak menunjukkan sebarang permusuhan atau penentangan terhadap penganut agama-agama lain.

Sebaliknya, apa yang saya lihat dan alami sendiri adalah keikhlasan dan “roh” sebenar Islam; dengan penuh kesedaran bahawa Tuhan menciptakan kita berbeza-beza untuk kita saling mengenali dan saling menghormati.

“Realiti di Kelantan tidaklah teruk seperti dimomokkan pihak tertentu. Penduduk di sana ramah dan mesra. Isu kononnya orang Kelantan suka cari gaduh langsung tidak timbul sepanjang saya berkawan dengan orang Kelantan,” kata Izan lagi.

Pada pandangannya, orang Kelantan suka menerima tetamu dan sangat menghormati tetamu yang datang ke rumah.

“Mereka akan masak beria dan hidangkan makanan yang sedap-sedap kepada sesiapa sahaja yang berkunjung ke rumah; tak kira kaum, agama dan fahaman politik. Saya duduk di rumah kawan dulu, asyik makan sahaja!” Izan menambah.

Keharmonian sejati

Amalan menerima dan meraikan tetamu bukan hanya di rumah. Sebaliknya, pekedai dan peniaga juga amat gembira menerima kunjungan orang luar dan dilayan pula sebagai tetamu.

Misalnya, saya bersama-sama Rohani Deraman, novelis dari Johor Bahru dan Zainab Ngah, penulis dari Kuala Terengganu bersarapan dengan Mohammad Faizal Che Yusof (peguam OKU) dan Roshidayu Che Mat dari Shah Alam di Selera Daun Pisang, Jalan Pengkalan Chepa.

Pemilik restoran itu tidak melepaskan peluang merakam foto bersama-sama kami sebagai kenangan bertemu kelompok penulis. Malah, semasa saya bersarapan di Kedai Kopi White House, Jalan Sultanah Zainab, ada pengunjung yang datang bersalam dan mahu ambil foto bersama saya.

Dalam pada itu, Zawawie Abdullah yang berasal dari Pasir Mas dan kini tinggal di Kota Bharu mengakui bahawa keharmonian sejati memang wujud di negeri kelahirannya.

“Bukan politik yang kita nak ketengahkan tapi keharmonian perhubungan antara insan berlainan darjat dan pangkat. Orang biasa dengan Tok Guru pun macam tak ada sempadan. Nak ajak beliau ke rumah untuk kenduri pun boleh dan beliau pasti hadir, insya-Allah.

“Nak jumpa Tok Guru tak payah ada protokol. Pergi saja solat subuh, pasti dapat berjumpa beliau. Pangkat MB dah tak ada masa tu. Itulah kehebatan Tok Guru,” katanya sambil mengakui bahawa sikap mulia Tok Guru menjadi cerminan sikap penduduk Kelantan keseluruhannya.

Bercakap mengenai bertemu Tok Guru, Rohani Deraman yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan dan kini tinggal di Johor Bahru mengimbas kenangan pada 13 Mac 2012.

“Semasa saya dan rakan-rakan penulis pergi ke kediaman rasmi MB Kelantan di JKR 10, kami terkejut kerana tiada pengawal di pintu masuk dan tidak ada protokol seperti yang lazim ada di kediaman rasmi MB negeri-negeri lain,” katanya.

Rohani juga masih ingat Tok Guru bertanya, “Ho guano ramai-ramai ni heh?” (Ada apa hal datang ramai-ramai ni?) dan penulis sepenuh masa itu pula menjawab, “Ambo rakyat Kelate, tak salah ke kalu rakyat nak jupo MB” (Saya ni rakyat Kelantan, tak salah kan kalau ingin berjumpa MB).

Cadangan ikhlas saya adalah supaya sesiapa yang pergi ke Kota Bharu harus singgah di pejabat Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim untuk mendapatkan pelbagai bahan bacaan yang pasti mampu membuka minda.

Dapatkan juga maklumat sebenar mengenai kehebatan Kelantan daripada penduduk setempat. Sekurang-kurangnya orang ramai tidak akan terus tertipu dengan pelbagai dakyah dan fitnah yang disebarkan pihak tertentu.

Uthaya Sankar SB akan mengendalikan Bengkel Penulisan Cerpen sempena program Perkampungan NILAM di Tawau, Sabah pada 24-26 April 2012.

Baca juga:

Indah rupa dari khabar

Bertemu Tok Guru di Kota Bharu


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments