Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Pengalaman seorang wartawan dalam perhimpunan Bersih 3.0

April 30, 2012

Pihak DBKL juga tidak terlepas dari bertindak seperti polis dan cuba mencederakan aku.

COMMENT

Oleh Saiful Hisyam Md Salleh

Sabtu lepas, berlangsungnya satu perhimpunan Bersih 3.0 yang mana rata-rata rakyat Malaysia sudah sedia maklum dengannya beberapa minggu lalu. Perhimpunan itu diumumkan oleh pengerusi bersama Bersih 2.0 iaitu Datuk A Samad Said dan Datuk S Ambiga. Ini adalah kali pertama aku menulis dan kebiasaannya aku mendokumenkan sesuatu cerita menggunakan visual. Jadi maafkan aku jika penulisan aku tampak hambar. Harapan aku pada pembaca agar dapat meluangkan sedikit masa membaca artikel ini hingga ke akhir kalam.

Aku rasa terpanggil untuk menulis ini bukan untuk menyebelahi mana-mana pihak. Baik pihak Polis Di Raja Malaysia, Bersih 3.0 dan juga DBKL. Aku harap pembaca semua jelas dengan kedudukan aku sebagai wartawan video, aku cuba sebaik mungkin untuk tidak berat sebelah dalam penulisan aku ini. Aku menulis berdasarkan pendapat sebagai seorang wartawan video.

Tepat jam 8 pagi aku tiba di Masjid Jamek dengan membonceng motosikal seorang teman dari media antarabangsa. Setibanya aku di lokasi, aku dapat lihat ramai golongan anak muda dari pelbagai etnik bangsa berpusu-pusu untuk hadir ke pintu masuk Dataran Merdeka. Kelihatan juga golongan pertengahan umur dan beberapa OKU sedang duduk berehat dibahu-bahu jalan dan kaki lima OCBC Bank.

Hampir 20 minit aku cuba manfaatkan masa tersebut untuk menghantar visual yang paling awal untuk tontonan pembaca di FMT dan juga warga YouTube di seluruh dunia yang mengikuti arus perdana politik Malaysia. Setelah video pertama dimuat-naik, aku mundar-mandir dari Masjid Jamek ke Dataran Merdeka bagi mendapatkan lagi visual yang menarik.

Secara jujurnya, aku dan beberapa wartawan merasa teramat bosan mungkin kerana sepanjang liputan yang melibatkan demonstrasi, kami lebih banyak berarak. Tapi kali ini hanya sekadar duduk. Jadi mungkin ada dikalangan pembaca yang menghadiri perhimpunan tersebut dapat melihat terlalu banyak wartawan video dan foto berlegar-legar untuk mendapatkan shot yang menarik.

Setelah siap mendapatkan visual terbaru untuk jam 1 tengahari dan bersedia untuk dimuat-naik, aku sempat berbual-bual dengan beberapa anggota polis yang bertugas pada hari tersebut ketika sedang membuat sedikit suntingan pada visual yang hendak dihantar. Semuanya ramah dan senang didekati. Ada juga yang merungut hanya sempat menonton sebahagian dari filem The Avengers, kerana dipanggil bertugas.

Ketika sedang cuba memuat-naik visual, tiba-tiba kedengaran hiruk-pikuk anggota polis yang sedang makan dan berehat meluru ke atas Jalan Tun Perak dan pasukan FRU sedang bersiap sedia di posisi masing-masing bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Aku terpaksa membatalkan usaha aku memuat-naik visual dan segera ke bahagian hadapan polis. Suasana makin hangat ditambah pula dengan panas terik, aku dan beberapa wartawan lain bersepakat untuk mengambil gambar dari dalam Dataran Merdeka.

Setelah berjaya masuk kami kemudian berpecah cuba mendapatkan sudut masing-masing. Waktu menunjukkan hampir jam 3 petang. Aku cuba mencuri masa untuk memuat-naik semula visual yang tergendala sebentar tadi. Namun usaha itu sekali lagi gagal kerana dengan tidak semena-mena sorakan dari peserta demonstrasi bergema kuat,  mereka merempuh kawat duri dan pagar sementara yang dinaikkan oleh DBKL dan polis. Pengamal media yang bertugas lintang-pukang menyelamatkan peralatan mereka. Anggota polis barisan hadapan juga bertempiaran lari.

FRU bertindak

Susulan kejadian yang langsung tidak dijangkakan ini, pihak FRU mula bertindak dengan menyembur air dan gas pemedih mata bertubi-tubi. Ada juga kelihatan sekumpulan lelaki berpakaian kuning melontar batu ke arah kami dan juga pihak polis. Seperti media lain, apa pun yang berlaku, akan kami cuba sehabis baik merakamkan situasi tersebut. Waktu menunjukkan hampir jam 4 petang dan pihak polis mula berjaya membuat tangkapan.

Malangnya setiap kali tangkapan dibuat, kami sebagai media tidak dibenarkan merakamkan kejadian tersebut. Ketika aku mengejar sekumpulan polis dari belakang yang sedang mengheret seorang peserta perhimpunan, kelihatan wajah lelaki tersebut berlumuran darah dan aku tidak berhenti merekod hinggalah aku diserang seorang polis. Polis tersebut mengherdik aku untuk memadamkan kamera. Tak cukup dengan itu salah seorang polis bertindak bacul menyimbah kamera aku dengan air.

Aku mula merasa pelik kerana sepanjang tujuh tahun bertugas sebagai media tidak pernah sekalipun dilayan sedemikian oleh pihak polis. Mana pergi sikap polis yang ramah dan mesra tadi? Tidak berfikir panjang aku beredar dari situ bagi mencari posisi yang lebih selamat. Aku menghampiri beberapa media lain dan mereka juga menyatakan dilayan sedemikian. Aku hairan, apakah pengamal media ini merupakan satu ancaman pada pihak polis juga?

Pihak DBKL juga tidak terlepas dari bertindak seperti polis dan cuba mencederakan aku. Pekikan seperti “kau tak blah (pergi) aku tangkap kau!” sambil merentap beg sandang aku, terang-terang cuba mengugut media yang bertugas. Aku hanya mempersoalkan adakah di bawah bidang kuasa DBKL, mereka juga boleh membuat tangkapan? Jika boleh, di manakah orang yang ditangkap akan dibawa? Setor simpanan peralatan kebun DBKL? Aku tak pertikai pihak polis dan DBKL yang bertugas, tapi apa rasionalnya menyerang media yang juga bertugas? Kami juga bertugas seperti anda. Mungkinkah kerana pekerja DBKL yang pernah cuba memohon sebagai anggota sebagai polis tapi gagal, lalu berangan cuba bertindak seperti lagak polis? Ini memalukan!

Siang tadi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien mengeluarkan kenyataan bahawa rampasan kamera dan kad memori adalah sebahagian dari SOP (Standard Operation Procedure) polis. Sejak bila? Atas dasar apa rampasan itu dibuat? Apa yang KDN dan pihak polis cuba sorok? Tripod milik rakan media juga dirampas. Tripod bukan boleh merakamkan visual. Aku tak rasa polis begitu bodoh hingga perlu merampas tripod. Kami sebagai pengamal media hanya mahukan semua pihak hormati yang kami sedang bertugas seperti mana kami menghormati anda semua bekerja. Kenapa terlalu agresif hinggakan ada pengamal media yang lain cedera parah? Kenapa mesti bertindak hingga memukul media yang bertugas? Tindakan seperti ini serta-merta mencalarkan imej polis yang kononnya mesra tetapi tidak ubah seperti beruk terkinja menyerbu dusun orang. Sangat jelik!

Tidak cukup dengan kekerasan tindakan polis dan DBKL, ditambah pula para peserta demonstrasi yang taksub menghenyak seorang jurugambar media tempatan hingga pecah kepala. Sumber yang dikeluarkan  media arus perdana dan online, beliau cuba mengeluarkan anggota polis dari kenderaan yang terbabas. Namun niat baik beliau disalah tafsir. Peserta demo terus membelasahnya tanpa usul periksa. Ya benar, jika seseorang pengamal media melibatkan diri dalam sesuatu situasi begini boleh dikira melanggar etika kewartawanan. Namun tidak bolehkah peserta demonstrasi ini melihat dari sudut kemanusiaan? Dan semua pengamal media yang dibelasah, dirampas kamera, tripod dan juga kad memori, masing-masing mengenakan tag media Kementerian Penerangan di leher mereka. Bukan tag yang dilaminat di kedai alat tulis! Kegilaan apa ini?

Akhir kalam, buat sahabat media yang tercedera akibat dipukul peserta demonstrasi dan juga polis, aku mendoakan kalian agar cepat sembuh dan dapat  bertugas semula. Moga dengan apa yang berlaku tidak mematahkan semangat kalian untuk terus menyebarkan maklumat pada semua. Aku juga berharap pihak yang bertanggungjawab dapat menguraikan segala yang tersimpul di fikiran kami. Minta maaf sahaja tidak memadai. Untuk pengetahuan anda, burung kakak tua pun boleh diajar minta maaf.

Penulis merupakan wartawan video freemalaysiatoday.com


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments