Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Bagaimana matinya mimpi

 | May 10, 2012

Pada ketika itulah baru kita sedar bahawa mimpi yang disemai pada suatu ketika barangkali sudah sampai ajalnya, tiba penghujungnya, tertinta nokhtah, suatu mimpi yang pernah mekar dalam jiwa dan minda kita suatu ketika masa dahulu.

COMMENT

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat para pembaca sekelian, tatakala kita terlalu sibuk dihujani oleh kisah-kisah perhimpunan Bersih 3.0 yang terlebih dramatik yang begelora dengan perasaan dan perasan izinkan saya untuk lari sedikit dari simpang politik.

Sebagaimana saya yakin, kisah-kisah dan pendapat mengenai politik semasa yang biasanya bersimpulkan bahawa segalanya adalah salah Umno dan Barisan Nasional, bolehlah anda baca pada nukilan-nukilan yang terdampar dengan banyaknya di laman sesawang ini.

Kalau itu anda mahukan untuk memenuhi ruang minda anda hari ini maka dukacita saya maklumkankan bahawa anda telah membaca penulisan yang salah, pada hari ini saya ingin bercerita bukan mengenai politik, masalah negara mahupun unjuran ekonomi Eropah, akan tetapi pada hari ini saya ingin bercerita tentang mimpi.

Sebelum ini pernah saya menulis mengenai tajuk yang sama dalam sebuah laman sesawang berita yang lain, bezanya ianya ditulis dalam Bahasa Inggeris, hari ini ingin saya berkongsi cerita yang sama cuma bezanya ditulis dalam bahasa kebangsaan untuk berkongsi dengan ruang lingkup pembaca yang berlainan.

Izinkan saya untuk meminjam sedikit masa anda sedang anda mengambil rehat sejenak dari waktu berkerja, dari bazirkan jalur lebar internet syarikat anda kepada laman sosial apa kata anda berikan sedikit ruang kepada saya untuk berkongsi sebuah kisah mengenai mimpi.

‘Ngeri dan manis’

Mimpi ada pelbagai jenis, ada yang pantas, ada yang panjang, ada yang ngeri, ada yang manis, malah ada yang terlalu manis hingga ianya basah, sama ada akibat dari proses kematangan seorang remaja ataupun kerana terlalu banyak minum air sebelum tidur. Namun mimpi yang dimaksudkan di sini bukanlah mimpi dalam erti kata selingan tayangan yang anda lihat ketika dalam alam tidur, mimpi yang dibacarakan di sini ialah mimpi yang sering dikaitkan dengan perkataan-perkataan seperti cita-cita, impian, keinginan dan masa depan, mimpi yang seringkali kita kaitkan ketika kecil dahulu dengan ayat “Bila dah besar nanti awak nak jadi apa?” maka hari ini akan dikisahkan bagaimana sebuah mimpi itu menemui ajalnya.

Ketika kita kecil apabila ditanyakan tentang mimpi, akibat pengaruh dari peti telivisyen ataupun kerana terkesima melihat segaknya baju seragam maka kebiasaan kanak-kanak akan menjawab mahu menjadi seorang bomba, askar, polis dan lain-lain. Ada pula yang terlalu terpengaruh dengan rancangan kartun jam 5 petang akan menjawab bahawa mereka bercita-cita untuk menjadi wirawan hebat seperti kesatria baja hitam, polis angkasa gaban ataupun wirawan gergasi bertopeng yang melindungi kota Tokyo saban hari dari ancaman raksaksa dari angkasa lepas.

Apa-apapun yang pasti ketika kita kecil kita bermimpi untuk berjasa kepada masyarakat sejagat, menyelamatkan dunia serta membantu mereka yang tertindas. Walaupun kadang-kadang impian dan cita-cita itu nampak tidak masuk akal, namun dari nahtijahnya ketika kita kecil kita bermimpi untuk melakukan sesuatu yang baik, sesuatu yang dapat dibanggakan, kita mahu menjadi seorang wira atau hero.

Kemudian kita membesar, sudah banyak belajar dan fikiran telah mula menjadi matang, walaupun masih lagi muda remaja dan banyak lagi tentang dunia yang masih lagi tidak ketahui namun cukup untuk membuat kesimpulan bahawa tiadanya serangan mingguan raksaksa dari angkasa lepas. Namun jiwanya masih belum luput lagi, kita masih lagi mahu melakukan sesuatu yang hebat yang memberi kebaikan kepada orang ramai. Maka kita pun bermimpi untuk menulis sebuah buku yang hebat, melukis dan mencipta seni yang menggerak jiwa, membina dan melakar suatu bangunan yang mercu tinggi, menggubah sebuah lagu yang disukai ramai dan pelbagai lagi. Walaupun mimpinya berbeza namun jiwanya sama, ingin melakukan sesuatu yang luar biasa yang memberi kesan kepada masyarakat, bezanya kali ini ianya bersandarkan logika akal pemikiran.

Setelah kita melalui zaman remaja, semakin dewasa, kenyataan mula menusup ke dalam jiwa, barangkali tiba saat ini kita sudah menerima kenyataan bahawa kecergasan kita terlalu rendah untuk menjadi seorang angkasawan, ataupun keputusan kertas Bahasa Melayu dalam SPM terlalu teruk untuk kita menjadi seorang sastrawan, mungkin kerana kekangan kewangan keluarga, tawaran pekerjaan menyebabkan kita terpaksa mengubah sedikit pilihan.

Maka sampai pada tahap ini, bersandarkan akal pemikiran dan kenyataan kehidupan mimpi kita berubah untuk menjadi seorang pengaturcara komputer, arkitek, peguambela, penganalisis kewangan, juruukur bahan, jurutera mekanikal dan lain-lain yang bersandarkan kepada permintaan pasaran kerja. Namun kita masih lagi impikan untuk melakukan sesuatu yang hebat, dari peguam yang membicarakan kes hangat menegakkan keadilan mahupun jurutera yang menemui sebuah teknologi baru yang merubah kehidupan. Walaupun mimpi pada tahap ini sudah sangat berbeza berbanding dahulu, namun kita masih lagi cuba menyelitkan impian kehebatan dalam ruang lingkup yang semakin hari semakin kecil.

Mimpi sudah berubah

Kemudian bila sampainya alam dewasa, zaman yang mana kita sudah berumah tangga, memandu kereta, menghantar anak di tadika dan membayar bil telefon di pejabat pos, sekali lagi mimpi kita diolah. Dari mengimpikan sesuatu yang hebat, sesuatu yang mengubah masyarakat, sesuatu yang berjiwa besar, sesuatu yang dibanggakan, megah lagi mengharukan, kali ini olahan mimpi itu terlalu ketara. Sampai tahap ini mimpi kita bersandarkan kepada kenyataan, suasana sekeliling, tanggungjawab, mimpi kita sudah berubah kepada sesuatu yang biasa, seperti menjadi seorang pembantu pengurus sebelum umur 30, mendapat bonus 3 bulan pada hujung tahun, mengumpul wang untuk membeli kereta import dari Jerman, mendapat 7 pasang ahli bawah dalam skim MLM, mengendong tas tangan berjenama pada kenduri kahwin saudara-mara ataupun melihat pasukan bola kesayangan kita memenangi suatu piala.

Pada ketika itu, mimpi kita yang diolah mengikut citarasa masyarakat, suasana sekeliling dan minda yang sudah dibentuk berdasarkan pengaruh sekeliling yang kita simpulkan sebagai kenyatan. Hilanglah sudah impian untuk sesuatu yang hebat lagi dahsyat, bangga lagi megah, mulia lagi berjasa, kerana terlalu terikat dengan kekangan-kekangan dunia.

Dan pada tiba masanya saat, sampainya suatu ketika, apabila kita hanya duduk di atas kerusi dan melihat pada paparan komputer berjam-jam mengisi borang menulis laporan, dan satu-satunya waktu apabila dapat kita melayan jiwa adalah dengan mencuri sedikit masa dan jalur lebar internet syarikat, melayan laman sosial dan membaca nukilan entah penulis mana pada laman sesawang berita, pada ketika itulah baru kita sedar bahawa mimpi yang disemai pada suatu ketika barangkali sudah sampai ajalnya, tiba penghujungnya, tertinta nokhtah, suatu mimpi yang pernah mekar dalam jiwa dan minda kita suatu ketika masa dahulu.

Sesungguhnya wahai para pembaca sekelian, itulah kisah bagaimana matinya sesebuah mimpi, perlahan-lahan, sedikit demi sedikit, saat demi saat, nyawanya dikikis.

Terima kasih kerana meluangkan sedikit masa untuk membaca nukilan saya ini, semoga kita berjumpa lagi di minggu hadapan, salam sejahtera dan selamat berkerja.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments