Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Tukar kerajaan, selesai masalah

 | June 5, 2012

Kita harus yakin bahawa kepimpinanan BN ini tidak mempunyai kesungguhan politik maupun keupayaan untuk melakukan reformasi.

COMMENT

Bahagian Akhir

Blogger Raja Petra Kamarudin (RPK) menuduh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengaruhi Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada ketika itu, kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk menghalang siasatan dakwaan rasuah terhadap Mohamed Azmin Ali.

RPK mendedahkan perkara ini dalam laman web kendaliannya Malaysia Today pada 29 Mei lalu dan kejadian ini didakwa berlaku pada tahun 1995.

Azmin kini merupakan timbalan presiden PKR, ahli parlimen Gombak dan juga Adun Bukit Antarabangsa.

Berikutan itu kata RPK, kes itu ditutup sehingga beliau diberi fail penyiasatan baru-baru ini oleh bekas pegawai BPR dan dengan itu kes ini dibuka semula.

RPK juga mendakwa BPR menjumpai bukti yang cukup untuk menahan dan mendakwa Azmin pada ketika itu tetapi tidak berbuat demikian berikutan arahan untuk menutup kes itu. RPK juga memuat naik bahagian dari fail itu dalam laman webnya.

Beberapa jam sahaja selepas pendedahan RPK ini, SPRM terus bertindak dengan membuat laporan polis. Hari berikutnya, Panel Operasi Kajian Semula SPRM mengadakan mesyuarat di mana mereka memutuskan untuk membuka semula siasatan terhadap kes itu.

Ramai rakyat terperanjat (atau hairan) dengan sikap SPRM yang begitu cekap bertindak terhadap kes yang berlaku sedekad lalu melibatkan Anwar dan Azmin.

Berbeza sekali dengan sikap dingin SPRM apabila berdepan dengan banyak jenayah berprofil tinggi dan skandal mega yang sudah menjadi lumrah yang dikaitkan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Benarkah dakwaan RPK?

Tetapi wujudkah kebenaran di sebalik dakwaan RPK ini?

Sejurus selepas dakwaan RPK ini, ketua pengarah BPR ketika itu, Shafee Yahya dalam biografinya bertaju “The Shafee Yahya Story” tampil untuk menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Shafee memberitahu penyiasatan terhadap Azmin dihentikan, bukan disebabkan oleh apa-apa arahan tetapi kerana siasatan itu tidak menemui elemen rasuah yang kuat untuk menjustifikasikan pendakwaan.

Shafee merupakan seorang pegawai yang mempunyai integriti yang tinggi, di mana kewibawaan beliau dapat dilihat ketika beliau melancarkan serbuan di pejabat bekas ketua pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Ali Abul Hassan.

Ketika serbuan itu, Shafee menemui sejumlah wang tunai yang banyak tersimpan dalam laci Ali Hassan, orang kepercayaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pada tahun 1998.

Serbuan itu telah menimbulkan kemarahan Dr Mahathir hingga beliau mengarahkan supaya kes terhadap Ali Hassan ditutup.  Beberapa bulan kemudian Shafee mendapati perkhidmatannya sebagai ketua pengarah BPR diberhentikan apabila tamat tempuh.

Oleh kerana kita sangat menghormati kejujuran dan integriti Shafee maka kita tidak mempunyai masalah untuk mempercayai ceritanya dalam episod Azmin ini.

Soalan yang ingin kita kemukakan di sini ialah kenapa operasi SPRM secara tiba-tiba bertukar kepada ‘gear lima’ berhubung dengan dakwaan rasuah ini tetapi apabila berdepan dengan skandal rasuah mega BN kes berjalan macam ‘siput babi’?

Tidakkah jelas bahawa dengan sikap “double standard” ini, SPRM bertindak sebagai salah satu komponen propaganda BN untuk mensabotaj prospek Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang?

Skandal KM S’wak, Sabah

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memegang tampok kekuasaan negeri itu sejak 1981, tidak perlu diperkenalkan lagi.

Kekayaan luar biasa, yang diperolehi melalui manipulasi kekayaan sumber alam semula jadi, pembalakan dan monopolinya dalam kontrak lumayan kerajaan terlalu banyak untuk dituliskan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, aset-aset milik Taib disenaraikan secara terperinci dalam Internet, terutama dalam Sarawak Report (http://www.sarawakreport.org) dan Dana Bruno Manser.

Boleh dikatakan kekayaan Taib yang bernilai berbilion ringgit, tersebar luas merintasi benua dan lautan.

Aset-aset ini yang dipegang melalui syarikat-syarikat milik keluarga, meliputi hartanah di luar negeri, enterprise di dalam dan luar negeri, serta tanah yang luas di Sarawak yang dirampas dari tanah adat (NCR) milik pribumi negeri itu.

Sudah pasti banyak laporan dibuat terhadap Taib dalam tempoh beberapa tahun yang lalu tetapi kesemuanya tidak memberi kesan.

Laporan-laporan ini, yang didokumenkan secara baik dengan bukti-bukti rasuah yang, nampaknya tenggelam ke dalam laut kerana SPRM tidak mahu menjelaskan pendiriannya berhubung isu rasuah Taib, seolah-olah perkara ini menjadi satu larangan (taboo).

Kelihatan Taib akan terus mencengkam Sarawak dengan kuasanya yang tidak terbatas seperti yang beliau lakukan dalam tempoh tiga dekad yang lampau.  Itu pun, sekiranya BN masih berkuasa di Putrajaya.

Chia ditahan dengan wang tunai

Dakwaan salah laku rasuah dalam industri pembalakan terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman timbul apabila agennya Michael Chia yang ditangkap dengan wang tunai sebanyak $16 juta (dalam mata wang Singapura) di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada 14 Ogos 2008.

Ketika Chia ditahan, beliau dilaporkan merayu dengan pihak polis supaya membebaskannya atas alasan wang itu adalah milik Musa Aman dan beliau hanya bertindak sebagai agen untuk menyeludup wang itu.

Berikutan itu, SPRM melancarkan siasatan secara besar-besaran mengenai gejala rasuah dalam industri balak di Sabah dan di antara lain, mendapati bahawa Musa telah memberi konsesi balak bernilai ratusan juta ringgit kepada adiknya, Menteri Luar Anifah Aman, melalui syarikat-syarikat nominee.

Skandal ini terdedah dari maklumat SPRM yang dibocorkan seperti di laporkan Sarawak Report (sebahagian dari dokumen yang dibocorkan di muat naik dalam laman web Sarawak Report).

Sarawak Report juga melaporkan bahawa siasatan SPRM ini dihalang oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, juga dari Sabah dan mempunyai pertalian keluarga dengan keluarga Aman melalui perkahwinan.

Sementara itu, Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong sibuk menyiasat kegiatan penggubahan wang haram bersumber dari rasuah balak Sabah, berikutan tertangkapnya Michael Chia.

ICAC berjaya membongkar keseluruhan rangkaian kegiatan rasuah balak bernilai berjuta-juta ringgit yang berpunca dari Sabah mengalir melalui Hong Kong, British Virginia Island dan pergi ke destinasi akhirnya, Switzerland.

Wang tersebut didepositkan ke dalam akaun peribadi Musa Aman dalam UBS Zurich.

Sarawak Report

Carta aliran itu menerangkan rantaian yang rumit dan sukar dibaca mengenai pengaliran wang keluar yang diserahkan kepada SPRM dan sesalinannya ada pada Sarawak Report.

Carta aliran ini memberi laporan terperinci tentang nama pemegang akaun, nombor akaun bank dan amaun yang dipindahkan.

Bersama kenyataan bank, carta ini mendedahkan nama pembayar (tauke-tauke balak Sabah) dan penerima (syarikat-syarikat nominee Musa) boleh dilihat pada http://www.sarawakreport.org/2012/04/hold-on-trust-for-aman-more-devastating-evidence-from-the-icac- investigation/

Bagaimanapun, kedua-dua penyiasatan di Malaysia dan Hong Kong tidak menyelesaikan masalah kerana kerjasama antara negara dihalang, sekali lagi oleh Gani Patail, di mana beliau enggan menandatangani perjanjian kerjasama, menurut Sarawak Report.

Dengan Gani sebagai penghalang, kita tidak boleh mengharapkan apa-apa perkembangan dari siasatan SRPM tentang skandal rasuah balak Musa Aman.  Gani akan kekal sebagai Peguam Negara, sekiranya BN kekal di Putrajaya.

Nasib Rafizi Ramli

Siasatan terhadap Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli oleh Bank Negara kerana melanggar Akta Institusi Kewangan dan Perbankan (Bafia) mencerminkan niat kotor kerajaan BN.

Ia merupakan suatu tindakan yang disengajakan untuk menghukum pemberi maklumat, bukan sebagai langkah untuk mendokong undang-undang.

Sebenarnya Rafizi membuat sumbangan yang akan berharga dengan membuat pendedahan mengenai penyelewengan dalam projek kerajaan yang gagal hingga membawa kepada pendakwaan terhadap petualang.

Jadi, kenapa beliau dihukum hanya kerana mendedahkan beberapa butiran perbankan dalam usahanya untuk menjalankan tugas untuk kepentingan rakyat?

Seksyen 97 Akta Bafia bertujuan untuk melindungi kerahsiaan nama pemegang akaun yang sah dan bukan untuk menyembunyikan transaksi haram mereka yang terlibat dengan rasuah.

Makanya, apa-apa usaha untuk menggunakan Seksyen 97 terhadap Rafizi, bukan sahaja salah dari segi moral, tetapi juga tidak bersesuaian dari segi undang-undang.

Skandal NFC

Tidakkah BN sedar bahawa dengan mengambil tindakan terhadap Rafizi bermakna pucuk pimpinan BN mengakui wujudnya tangan-tangan ghaib dalam skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Jika tidak, mengapa mereka bertindak balas dan mengenakan tekanan melalui Bank Negara? Jika pimpinan BN mempunyai niat yang betul, mereka sepatutnya menghentikan siasatan terhadap Rafizi.

Melihat kepada urutan peristiwa di atas, mereka yang meragui terhadap pengkritik BN ini harus berpuas hati bahawa kerajaan BN ini tidak akan membawa negara ini kepada matlamat apa yang dijanjikan – transformasi, menambah kekayaan, meningkatkan perpaduan dan lain- lain.

Salah guna terhadap institusi-institusi kita oleh BN bagi memenuhi kepentingan politik mereka dengan memijak dan tidak mempedulikan kedaulatan undang-undang menjadi semakin buruk.

Kita harus yakin bahawa kepimpinanan BN ini tidak mempunyai kesungguhan politik maupun keupayaan untuk melakukan reformasi ataupun, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak “sudah ditransformasikan.”

Jika ikut Najib, hasilnya nanti ialah korupsi yang lebih parah, lebih banyak berlaku salah guna kuasa dan memburukkan lagi sentimen rasa tidak puas hati serta tekanan-tekanan ke atas rakyat akan berterusan.

Hanya satu jalan keluar untuk negara ini: tukar kerajaan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments