Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Pilih pemimpin yang menolak jawatan

 | June 18, 2012

Soal kepimpinan memerlukan kewibawaan dan kelayakan yang khusus.

COMMENT

Soal kepimpinan merupakan perkara yang khusus dan penting dalam pentadbiran sesebuah negara bagi melestarikan kehidupan yang aman dan damai serta menjamin keharmonian terutama di kalangan masyarakat berbilang kaum.

Maka dengan itu, memilih pemimpin yang benar-benar ikhlas dan layak adalah ‘integral’ dan sebaliknya jika dipilih pemimpin yang meminta sesuatu jawatan itu nescaya dia tidak dapat melaksanakan tanggungjawabnya.

Apatah lagi memilih pemimpin yang menunggu peluang untuk mengisi perut sendiri, keluarga dan kroni dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa hendaklah dihindari sama sekali.

Sehubungan itu, PAS sering mengingatkan rakyat agar memilih pemimpin yang betul pada pilihan raya umum ke 13 (PRU13) nanti.

Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan jentera parti dan rakyat bahawa PAS bukan parti yang bersaing untuk menonjolkan kehebatan sendiri tetapi bersaing untuk menyedarkan rakyat agar memilih pemimpin yang betul.

Menurut beliau, Malaysia kini sedang menghidapi penyakit ‘rakyat diperbodoh’ dan menjadi tanggungjawab PAS sebagai parti Islam untuk mengubati penyakit ini.

“Zaman Firaun dahulu, mereka berjaya memperbodoh rakyat. Hanya Firaun yang boleh beri ini, boleh beri itu. Kerajaan lain tidak boleh.

Rakyat diperbodoh merupakan bencana yang dihadapi dunia Islam,” katanya selepas melancarkan TV internet di Shah Alam semalam.

Orang yang layak

Maka sebab itu Islam berpandangan bahawa bidang kehakiman, pentadbiran dan pemerintahan hanya berupaya dilaksanakan oleh orang -orang berkelayakan sahaja.

Malahan orang-orang yang tidak berkelayakan tidak wajar mengidamkan jawatan-jawatan tersebut sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abdul Rahman bin Samrah.

Rasulullah SAW bersabda: ” Wahai Abdul Rahman! Janganlah menuntut jawatan sebagai pemimpin.  Ini disebabkan sekiranya anda memintanya nescaya anda tidak dapat menyelesaikan tanggungjawabnya.

“Seandainya anda diserahkan jawatan tanpa anda menuntutnya sudah tentunya anda dapat melaksanakannya” (HR Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmidzi dan Ahmad).

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda: “Kami tidak melantik pemimpin yang meminta jawatan itu daripada kami.” (HR Imam Bukhari dan Muslim).

Hadith-hadith di atas juga memberi maksud bahawa amalan-amalan solat, puasa dan menyertai peperangan boleh dilaksanakan oleh yang kuat dan lemah berdasarkan keupayaan masing-masing tetapi soal kepimpinan memerlukan kewibawaan yang khusus.

Justeru itu, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kamu begitu bersungguh-sungguh memberikan perhatian dalam soal jawatan kepimpinan sedang ia sering membawa penyesalan pada hari kiamat kelak dan penyesalan di dunia melainkan sesiapa yang mengambil jawatan itu menurut haknya. (HR Imam Bukhari, An-Nasai dan Ahmad).

Implikasi besar

Soal kepimpinan adalah satu persoalan yang amat berat dan membawa implikasi yang amat besar kepada seluruh manusia sebagaimana firman Allah SWT melalui ayat 71 dan 72, Surah Al-Isra’ bermaksud:

“(Ingatlah), suatu hari (pada hari Kiamat) Kami panggil tiap-tiap umat dengan pemimpinnya.  Dan sesiapa yang diberikan kitab amalannya di tangan kanannya maka mereka ini akan membaca kitabnya itu, dan mereka tidak dianiaya sedikit pun.

“Dan barangsiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat nanti ia lebih buta pula dan lebih tersesat dari jalan (yang benar).

Adalah amat bersesuaian sekali apabila Abdul Hadi mengingatkan kita betapa penting memilih pemimpin yang betul menjelang PRU13 ini.

Kesalahan memilih pemimpin yang betul akan membawa kepada kehidupan yang sengsara untuk ditanggung oleh rakyat untuk tempoh beberapa tahun akan datang, apatah lagi tentu ianya jauh sekali dari mendapat rahmat Allah SWT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments