Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Baca cerpen pupuk perpaduan

 | June 25, 2012

Namun, ada pihak yang cuba mempolitikkan acara ini demi kepentingan peribadi.

COMMENT

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan secara kecil-kecilan pada 22 Ogos 1999 mula dikenali umum menerusi program “Baca Cerpen Kavyan” yang berlangsung selama 96 jam 32 minit bermula 29 Ogos 2003; sekali gus mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records.

Bagaimanapun, sebenarnya Kavyan yang terdiri daripada sekumpulan penulis kaum India dan peminat karya sastera Bahasa Malaysia sudah memulakan acara membaca cerpen sejak lebih awal.

Acara rasmi pertama diadakan pada 2 November 1999 dengan tajuk “For Your Ears Only!” di Kompleks MAB, Brickfields untuk memperdengarkan bacaan cerpen kepada khalayak cacat penglihatan.

Acara kedua di tempat sama pada 23 November 1999 pula turut membuka peluang kepada peserta cacat penglihatan membacakan petikan cerpen secara Braille atau bercerita secara spontan.

Malah, apabila acara “Baca Cerpen Kavyan” berlangsung pada Ogos 2003, beberapa individu cacat penglihatan turut mengambil bahagian. Pengalaman seperti ini turut mencetuskan idea kepada penghasilan cerpen “Dengarlah, Sayang …” (Pelita Bahasa, Disember 2005).

Kavyan juga mengadakan acara membaca cerpen di beberapa pusat komuniti seluruh negara dan di rumah-rumah anak yatim. Aktiviti berkenaan antara lain bagi memupuk minat membaca, memasyarakatkan sastera serta membudayakan amalan membaca teks cerpen di khalayak.

Semasa saya menjadi pensyarah di beberapa kolej swasta (1999-2007), aktiviti membaca cerpen turut dijadikan sebahagian projek dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Pengalaman-pengalaman itu pula memberi idea bagi cerpen seperti “Cerita Moorthy” (Fokus SPM, Mac 2006).

Saya juga sering membaca petikan cerpen apabila menyertai acara di luar negara, misalnya Program Penataran Mastera di Bogor, Indonesia pada 1997, Ubud International Writers Festival di Bali (2011) dan Makassar International Writers Festival di Sulawesi Selatan (2012).

Sejak 1999, Kavyan sering mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Jabatan Pengajian India Universiti Malaya (UM) serta Jabatan Kebudayaan Kesenian dan Warisan Negeri Selangor.

Kerjasama turut diberikan Pusat Komuniti ERA, Kolej SEGi Subang Jaya, The One Academy, Kolej Antarabangsa SIT, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Perbadanan Perpustakaan Awan Selangor (PPAS) dalam menjayakan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya.

Sejak 2003, Kavyan sudah sinonim dengan acara “baca cerpen” walapun kami turut terlibat dalam pelbagai aktiviti lain. Antara acara “bacaan” yang diadakan termasuk “Baca Cerpen A. Samad Said” (24 Februari 2004), “Baca Cerpen Dr Othman Puteh” (10 April 2004), “Baca Cerpen Dr Anwar Ridhwan” (15 Mei 2004) dan “Baca Cerpen Penulis Tamil” (24 Julai 2004).

Stage fright

Harus dinyatakan bahawa kesemua acara Kavyan terbuka kepada peserta/khalayak pelbagai kaum dan dikendalikan dalam Bahasa Malaysia. Perkara ini adalah selaras dengan moto “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” yang menjadi pegangan Kavyan sejak ditubuhkan.

Sejak 2006, Kavyan turut terlibat secara langsung dalam menjayakan aktiviti sempena Pesta Buku Negeri Selangor. Selain daripada sesi diskusi dan pelancaran buku, Kavyan tidak lupa meneruskan tradisi “baca cerpen” di pentas dengan membuka ruang/peluang kepada masyarakat pelbagai kaum dan umur untuk sama-sama merasai pengalaman membaca petikan cerpen di pentas.

Sesungguhnya, membaca petikan cerpen dengan suara lantang di pentas di hadapan khalayak/penonton bukan perkara yang mudah. Perlu diakui bahawa ada individu yang secara semula jadi mempunyai masalah yang digelar “stage fright”.

Pada masa yang sama, daripada pengalaman Kavyan menganjurkan dan mengendalikan puluhan acara baca cerpen di seluruh negara, ramai yang tidak mahu melepaskan peluang untuk merasai “keseronokan” membaca petikan cerpen/novel di pentas.

Antara aspek yang sering diambil kira dan ditekankan oleh Kavyan dalam pembacaan cerpen di pentas adalah sebutan, kelancaran, pemahaman, intonasi, nada, gaya penyampaian, suara dan keyakinan diri. Maka, acara ini menjadi asas yang baik untuk membantu sesiapa yang mahu membina keyakinan diri untuk tampil berucap di tengah khalayak.

Sempena Pesta Buku Negeri Selangor (29 Jun – 9 Julai 2012), Kavyan sekali lagi menganjurkan acara baca cerpen. Bagaimanapun, pada kali ini, nama acara adalah “Baca Cerpen Pelbagai Bahasa” iaitu membuka ruang dan peluang bagi pembacaan petikan cerpen-cerpen pelbagai bahasa.

Acara yang dijadualkan pada 6 Julai 2012, jam 4:00 petang di pentas aktiviti Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) membuka peluang kepada peserta membaca petikan cerpen dalam apa-apa bahasa. Syarat yang diletakkan adalah bahawa karya itu mestilah hasil tulisan pengarang Malaysia; termasuk yang diterjemahkan ke mana-mana bahasa.

Bahasa-bahasa yang dimaksudkan termasuk (tetapi tidak terhad kepada) Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil, Mandarin, Iban, Jawa, Indonesia, Simunul, Perancis, Rusia, Hindi, Jepun, Punjabi, Thai, Sepanyol dan Arab.

Memandangkan masa acara adalah hanya selama dua jam, maka tentulah jumlah peserta dan jumlah karya yang boleh diberikan peluang adalah terhad. Jawatankuasa Kavyan akan menggunakan pengalaman mengendalikan puluhan acara seumpama ini sejak 1999 untuk memastikan “Baca Cerpen Pelbagai Bahasa” berjalan lancar.

Pada masa sama, suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah “usaha” pihak tertentu untuk menghalang segala aktiviti anjuran Kavyan dengan menggunakan sentimen perkauman dan keagamaan.

Fitnah jahat

Hal ini amat jelas menerusi pelbagai fitnah dan penipuan berniat jahat yang disebarkan beberapa pihak – termasuk puak penulis dan persatuan penulis tertentu – dengan mempolitikkan penglibatan Kavyan dalam usaha membantu sekumpulan penulis yang menjadi mangsa dalam isu royalti teks Komsas sejak Ogos 2011.

Isu lain yang dijadikan modal adalah berikutan pelantikan saya oleh Menteri Pelajaran dalam panel khas yang ditugaskan meminda novel Interlok Edisi Murid pada Februari 2011. Kononnya saya dan Kavyan bersikap “anti-Melayu” kerana kami menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” apabila merujuk pada bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.

Menjelang penganjuran “Baca Cerpen Kavyan” pada Ogos 2003, ada individu yang tiba-tiba meninggalkan Kavyan lalu bekerjasama dengan kumpulan tertentu untuk menggagalkan acara tersebut. Kisah berkenaan boleh dibaca dalam cerpen “Kita Sudah Gagal, Raja” (Mingguan Malaysia, 22 Februari 2004).

Tidak mustahil bahawa beberapa pihak akan “meninggalkan kerja-kerja hakiki” untuk “menggabungkan seluruh tenaga” ke arah menggagalkan acara “Baca Cerpen Pelbagai Bahasa” yang dijadualkan pada 6 Julai 2012. Usaha itu ternyata sudah bermula di ruang siber sejak sebulan lalu.

Pada masa sama, saya percaya bahawa khalayak pelbagai kaum akan tampil memberi sokongan dan terlibat sama dalam acara baca cerpen ini yang dianjurkan oleh Kavyan sebagai salah satu usaha kecil-kecilan ke arah memupuk perpaduan dan persefahaman dalam kalangan masyarakat.

Maklumat lanjut dan borang pendaftaran dalam talian (online) Baca Cerpen Pelbagai Bahasa boleh didapati di www.kavyan.blogspot.com


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments