Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Situasi sebenar politik Perlis

June 29, 2012

Ramai ADUN Umno Perlis termasuk Menteri Besar ` tidak diktiraf' oleh bahagian dan negeri.

COMMENT

Oleh Hashim Suboh

Apabila saya membuat andaian bahawa Umno/BN bakal kalah di Perlis, sesetengah pihak mentafsirkan bahawa kata-kata ini dilontarkan dari perspektif kumpulan yang berkonflik dengan Menteri Besar, Datuk Seri Md Isa Sabu semata-mata.

Sebagai bekas orang media, saya tidak akan menyalahkan wartawan yang memetik respons saya kepada pertanyaan beliau yang kemudiannya ditafsir dan ditulis berdasarkan perspektif beliau sendiri. Sebenarnya pandangan, penilaian dan rumusan saya sama sekali tidak ada kaitan dengan kedudukan kononnya sebagai orang kuat kepada sesiapa.

Kepada yang mengenali saya, ‘pemimpin’ saya yang sebenar adalah ‘prinsip’.  Jika saya bersuara dan bertindak, saya pastinya didorong oleh isu prinsip yang meresahkan. Krisis politik Umno Perlis menjelang PRU 12 pada tahun 2008 berlaku kerana pucuk pimpinan khususnya Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi)  melanggar prinsip, sistem dan amalan parti.

Senarai calon yang dikemukakan oleh Badan Perhubungan dan Bahagian-bahagian  diketepikan kerana campurtangan Ahli Parlimen Kangar yang pada ketika itu adalah juga Setiausaha Agong Umno/BN. Lebih ‘palat’ lagi, Pak Lah juga akhirnya menerima senarai calon yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kangar dan Padang Besar yang jika dirujuk kepada ‘sistem, amalan dan prinsip’ samasekali tidak berhak dibenarkan berbuat demikian.

Akibat perlanggaran ‘sistem, amalan dan prinsip’ ini,  hak dan suara Bahagian serta Badan Perhubungan telah dinafikan. Akibat pencabulan ini juga ‘tercantaslah’ Ketua Umno Bahagian  Padang Besar, Naib Ketua Umo  Padang Besar dan Allahyarham Ketua Pemuda Padang Besar, Timbalan Ketua Kangar,  Ketua Wanita Kangar, Naib Ketua  Arau serta Ketua Pemuda Arau yang sebenarnya telahpun dicalonkan oleh Bahagian masing-masing dan Badan Perhubungan Umno  Perlis.

Perlu diketahui bahawa sebilangan besar calon DUN dan Parlimen dari Umno yang bertanding dalam PRU 12 dulu adalah calon pintu belakang yang telah terpilih oleh muslihat mereka yang memperdaya dan mempergunakan Pak Lah.

Latarbelakang sebagai calon pintu belakang inilah yang menyebabkan majoriti ADUN akhirnya bertindak mengingkari keputusan Presiden Umno/Pengerusi BN yang telahpun bersetuju dan mengeluarkan watikah untuk Datuk Seri  Shahidan Kassim dilantik sebagai Menteri Pesar Perlis.

‘Produk politik haram’

Saya pernah menggelar MB Perlis selepas PRU 12 sebagai ‘produk politik haram’. Walaupun bunyinya agak kasar, saya yakin kebanyakan ahli Umno  Perlis memahaminya. DS Md Isa tidak pernah dicalonkan oleh Bahagian dan Perhubungan.

Samasekali beliau juga tidak pernah diiktiraf oleh Badan Perhubungan pada ketika itu. Bagaimana perkara ini boleh dibenarkan berlaku adalah titik noda yang amat menghina sistem dan amalan parti.

Seorang AJK Bahagian yang tidak punya kehebatan luar biasa tiba-tiba saja boleh diangkat menjadi MB dengan membelakangkan parti adalah sejarah yang menunjukkan dakwaan bahawa parti menguasai kerajaan adalah suatu pembohongan besar.

Selepas lebih tiga tahun DS Md Isa menjadi MB dan Pengerusi Perhubungan serta diberikan pula laluan untuk menjadi Ketua Umno Kangar, ramai rakan mengharapkan beliau mengambil inisiatif untuk menyatukan semula Umno  Perlis. Malangnya tidak ada tindakan yang diambil beliau.

Kata-kata bahawa Umno/BN Perlis kuat dan bersatu adalah pembohongan fakta. Tanyalah DS Shahidan,  Datuk Zahidi, Datuk  Ismail Kassim,, Azihani Datuk Ali,  sebilangan sahabat-sahabat yang menjadi EXCO dan ADUN serta ramai lagi. Bilakah kita pernah duduk semeja untuk kita selesaikan masalah di antara kita?

Tinjaulah pandangan rakyat di gerai,  pasar tani, pasar  dan lain- lain tempat.

Benarkah rakyat selesa, yakin,  berpuashati dan ‘seronok’ dengan kepimpinan negeri? Saya menyebut bahawa Perlis di ambang kekalahan kerana realiti di bawah cukup membimbangkan dan amat memerlukan suatu ‘wake up call’.

Terus terang, saya amat tidak senang dengan sikap pucuk pimpinan khususnya TS Muhyuddin Yassin yang memandang enteng seolah-olah tidak ada masalah di Perlis.

Lebih parah, apabila mereka meremehkan masalah dengan menganggap krisis politik di Perlis hanyalah masalah  antara Shahidan – Radzi – Md Isa – Azmi Khalid semata-mata.

Apakah mereka menganggap Zahidi – Chu – Azam – Mastika -Hashim – Azihani – Azizan Sulaiman – Sulaiman Shafie – Ammar dan lain-lain hanyalah pak pacak politik yang bersedia untuk dipariahkan untuk kesekian kalinya?

Sejujurnya saya tidak ada masalah dengan majoriti EXCO dan wakil rakyat. Mereka masih kawan dan berkawan dengan saya tidak kira samada mereka wakil rakyat pintu depan atau pintu belakang. Pendirian bersyarat saya jelas … Yang sudah tu sudahlah  !! Ikhlaskan hati dan bersatulah kembali.

Biia saya katakan Perlis di ambang kekalahan bukanlah  bererti saya menyokong ‘kekalahan’ itu. Bila saya katakan DS Md Isa lemah dan tidak berkebolehan, ia adalah manifestasi kekecewaan saya terhadap kelemahan dan ketiadaan kebolehan beliau meraikan perpaduan dengan kawan-kawan saya yang lain.

Saya juga kecewa kerana momentum kemajuan rakyat dan negeri Perlis diganggu oleh api permusuhan politik dalaman yang tidak pernah dipadamkan sehingga pemimpin yang berpotensi disisih dan terus diketepikan.

Drama politik syok sendiri terus dilakonkan dan cerita lawak diterima sebagai cerita serius. Sambil itu, pandangan sinis diangkat sebagai pujian manakala kata-kata perli pula dianggap sebagai suatu pengiktirafan.

Akhirnya Pak Pandir,  Mak Andeh,  Lunchai dan Lebai Malang muncul di jalan untuk menentukan arah dan masa depan kita di Perlis.

Persoalannya : Wajarkah kita turut senada dengan Si Luncai yang membiarkan kepandiran politik dengan ungkapan : Biarkan! Biarkan! Biarkan!

Penulis adalah bekas Ketua Penerangan Umno Perlis.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments