Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Faksyen Paul Lathic – Bahagian 1

 | July 2, 2012

Kanak-kanak sekolah pun sudah biasa melaungkan kata-kata pujian terhadap pemimpin itu.

COMMENT

Kali ini dia menjadi manusia pula. Peluang seumpama ini memang telah dinantikannya sejak lama dahulu. Sebelum ini, pernah dia merayu-rayu meminta dirinya dibenarkan menjadi manusia. Tapi tiap kali itulah juga usahanya tidak membuahkan hasil. Rayuannya sering dipandang enteng.

“Kau tidak layak menjadi manusia.”

Demikian jawapan yang sering diterimanya. Tapi kini impiannya sudah tercapai. Dia menjadi manusia. Dia benar-benar menjadi manusia. Dia benar-benar diberi kepercayaan untuk menjadi manusia. Manusia pada erti kata yang sebenar.

“Kau jadi siapa?” tanya rakannya yang sebelum ini sering menjadi pengawal pintu istana atau pun pengayuh sampan.

“Manusia!”

“Itu aku tahu. Malah mungkin semua orang sudah tahu sebab sudah kau hebohkan merata-rata,” rungut rakannya itu. “Kau jadi siapa; maksud aku, watak siapa yang akan kau mainkan?”

Watak siapa yang akan aku mainkan? tanyanya sendirian. Ah! Itu tidak penting. Yang penting, aku memegang peranan seorang manusia dalam pementasan kali ini.

Sebelum ini, dia terlalu sering diberi peranan bukan manusia. Rakannya agak beruntung kerana walaupun dia sekadar menjadi pengawal istana atau pendayung sampan atau pak pacak, wataknya tetap manusia.

Dirinya pula sering diberikan peranan yang tidak memerlukan apa-apa pergerakan atau dialog. Malah ekspresi muka pun tidak perlu. Dia hanya perlu berdiri – atau terbaring – kaku tanpa suara.

Semasa mula-mula menyertai kumpulan pementasan ini, dia mengharapkan peranan yang kecil sahaja. Maklum sahaja dia tiada pengalaman mahu pun pengetahuan tentang dunia teater. Yang ada hanya minat yang sangat mendalam. Berbekalkan minat itulah dia merayu kepada tuan pengarah. Akhirnya dia berjaya.

Peranan pertama yang diberikan kepadanya adalah mangkuk. Ya, mangkuk yang digunakan untuk makan itulah. Pada mulanya dia fikir peranan ‘mangkuk’ ada makna simbolik. Mungkin ‘mangkuk’ yang dimaksudkan bukan mangkuk yang digunakan untuk makan tetapi merujuk kepada ‘orang bodoh’.

Demikian tanggapan dan harapannya. Tapi ternyata dia silap. Peranan ‘mangkuk’ yang dipegangnya tidak lebih daripada peranan bekas makanan. Dia hanya perlu duduk mencanguk di atas meja semasa pementasan. Di situlah letak duduknya sepanjang pementasan; dari awal hingga akhir.

Mungkin ada penonton yang menyangka ‘mangkuk’ itu akan turut memainkan peranan dalam pementasan yang dilakukan. Tapi ternyata dia hanya menjadi prop yang tidak berperanan dari awal hingga akhir. Dan dia tidak terlalu kecewa kerana dia akur pada hakikat bahawa dia masih terlalu mentah dalam alam pementasan pada waktu itu.

Kemudian dia pernah menjadi pokok pinang dalam sebuah lagi pementasan lain. Bukan dia seorang sahaja sebenarnya. Ada sekitar tujuh pelakon lain. Mereka hanya perlu berdiri tegak di pentas.

Paul Lathic, negarawan unggul

Beberapa pelakon lain akan mempersembahkan lakonan dengan berlatarkan pokok-pokok pinang itu. Itu pun hanya bagi satu babak. Babak-babak lain menggunakan latar tempat lain di mana pelakon lain pula yang menjadi prop latar.

Begitulah sejak empat tahun lalu. Dia sudah pernah memegang hampir semua peranan tidak bernyawa. Dia sudah menjadi kerusi, meja, pokok, tiang, tembok. Malah pernah juga dia menjadi burung hantu.

Dia perlu berlari dari penjuru kiri pentas menuju ke penjuru kanan sebanyak dua kali sambil mengibaskan sayap (tangan). Itu sahaja. Kemudian dia turun pentas dari arah belakang. Habis. Pelakon-pelakon lain yang memainkan peranan-peranan lain bagi menjayakan pementasan tersebut.

“Tahniah!” tegur seseorang.

Dia tersenyum bangga kerana sudah dapat mengagak bahawa ucapan tahniah itu adalah kerana dia akan memegang peranan manusia dalam pementasan teater terbaru nanti.

“Pengarah kata, kau pegang peranan Paul Lathic,” tambah rakan tadi sambil mengerak-gerakkan kening berulang kali.

“Paul Lathic? I don’t believe this! Aku menjadi Paul Lathic yang masyhur itu?!”

“Ya, sayang,” rakan itu meyakinkan dengan suara manja.

“Wow! Dan kau?”

“Ah! Macam biasa sahaja … pak pacak.”

“Nasib kaulah,” dia berkata dalam hati.

Sepanjang malam, dia tidak dapat melelapkan mata. Peluang yang diterimanya benar-benar di luar jangkaan.

Bayangkan: Aku menjadi Paul Lathic!

Siapa yang tidak kenal Paul Lathic. Zaman kanak-kanaknya, zaman remajanya, kisah cintanya, hidup rumah tangganya, perjuangan politiknya, hidup peribadinya serta apa sahaja yang berkaitan dengan dirinya semuanya sudah dibukukan.

Segenap lapisan masyarakat sudah membaca buku-buku berkenaan. Malah sebuah buku koleksi surat-suratnya dijadikan bahan kajian oleh sejumlah sarjana bidang sastera dan kemanusiaan.

Siapa yang tidak kenal Paul Lathic, negarawan unggul itu? Siapa yang tidak pernah kagum dengan kepimpinan Paul Lathic. Kanak-kanak sekolah pun sudah biasa melaungkan kata-kata pujian terhadap pemimpin itu; walaupun hanya sebagai mengulangi apa yang diajar oleh guru-guru sekolah.

Daripada hidup sengsara di zaman kanak-kanak, Paul Lathic bekerja keras menuju zaman kegemilangan. Dilaluinya hidup remaja penuh pancaroba. Diredahnya alam pekerjaan yang terlalu mementingkan pangkat dan wang.

Akhirnya dia bangkit melaungkan kata ‘merdeka’. Serta-merta selepas itu dia dilamar oleh seorang tokoh politik. Tugasnya adalah untuk melaungkan kata ‘merdeka’ bagi pihak parti XYZ pimpinan tokoh berkenaan.

Begitu cepat Paul Lathic berjaya menjadi anak emas tokoh berkenaan. Dalam masa tidak sampai setahun sahaja dia masuk bertanding jawatan kedua tertinggi dalam parti XYZ. – Bersambung minggu depan

Faksyen ini adalah rekaan semata-mata dan tiada kaitan dengan mana-mana politikus yang sudah meninggal dunia.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments