Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Ada apa di pejabat MB Selangor?

July 10, 2012

SURAT FMT: Dari Syed Junaidi Syed Abu Bakar, melalui e-mel

Sebagai seorang pembaca setia Malaysia-Today.net, saya tidak terkejut apabila baru-baru ini tuan Raja Petra Kamarudin (RPK) telah bertindak untuk mengeluarkan satu ulasan berhubung isu yang melibatkan setiausaha politik MB Selangor iaitu Faekah Husin kerana sememangnya isu tersebut berlevel kontroversi bahkan sedang hangat dimainkan di dada-dada akhbar sekarang.

Merujuk pada tajuk artikel ‘It’s been a year now. Can we know the progress?’ tulisan tuan, saya kira tuan RPK punya maklumat yang mendalam berhubung isu tersebut. Dan sebagai seorang blogger yang dikenali ramai, ada beberapa info yang saya kira perlu dikemaskini atau ditambahbaik agar ulasan tersebut dapat memberikan pandangan yang lebih adil pada khalayak ramai yang ingin mengetahui hal sebenar melalui ulasan bernas pihak tuan.

Sebelum itu, saya ingin perkenalkan diri bahawa saya ialah staf di pejabat Menteri Besar Selangor, dan juga merupakan aktivis parti yang bertanggungjawab mengendalikan hal-hal pentadbiran PKR Selangor di Subang. Justeru saya kira saya mempunyai cukup ‘local standi’ untuk bercakap tentang hal di pejabat MB, juga yang melibatkan pentadbiran PKR negeri memandangkan saya terlibat secara langsung di kedua-dua tempat tersebut.

Bahkan portfolio tugasan saya juga memerlukan saya berkomunikasi secara langsung dengan MB dan orang-orang kanannya, juga dengan pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali beserta dengan petugas-petugas penting di sekelilingnya.

Pertamanya realiti yang perlu diterima ialah memang wujud perbezaan pendapat di antara MB Selangor & Pengerusi PKR Selangor tentang soal tatacara mengurus negeri. Seorang berpandangan negeri (baca: negeri Selangor) perlu diurus secara korporat dan terpisah daripada kepentingan parti, serta seorang lagi berpandangan ianya lebih wajar diuruskan bersekali dengan pentadbiran parti sebagaimana PAS Kelantan mengurus Kelantan ketika ini.

Dan tentunya kedua-dua mekanisme ini ada pro dan kontranya masing-masing. Justeru dalam meraikan perbezaan pandangan ini, ianya tidaklah sampai ke peringkat ‘konspirasi’ sehingga wujudnya unsur-unsur ‘sabotaj’ seperti yang diulas oleh tuan. Saya maklum tuan pastinya mempunyai sumber-sumber sendiri.

Namun tidak mustahil sumber-sumber yang menyalurkan maklumat pada tuan RPK juga terdiri daripada kalangan mereka yang sememangnya bertujuan untuk mempergunakan tuan bagi tujuan memecahbelahkan PKR, khususnya di Selangor. Hal ini saya boleh sahkan melalui penelitian saya bahkan pengakuan seorang petugas parti yang sangat rapat dengan Azmin Ali dan juga MB Selangor sendiri.

Menurutnya, memang wujud kumpulan-kumpulan yang di luar ‘circle’ parti ketika ini giat berusaha untuk mengeruhkan hubungan antara MB Selangor & Pengerusi PKR Selangor. Namun apa yang lebih menyedihkan, kumpulan-kumpulan ini menggunakan ‘orang-orang bawah’ untuk menanam sentimen-sentimen tertentu, lantas membentuk seolah-olah di Selangor terdapat dua group iaitu group MB dan group Azmin.

Hal ini turut diakui sendiri oleh petugas-petugas yang rapat dengan MB, khususnya setiausaha-setiausahanya sendiri bahawa kumpulan-kumpulan pemecah kesatuan ini digerakkan oleh organ luar parti yang mahu lihat kesatuan di peringkat PKR itu lebur. Soal sebab dan justifikasi, tidaklah terlalu jelas.

Namun besar kemungkinan ianya berpunca daripada dendam dek kerana ketegasan di peringkat kerajaan negeri dalam memecat syarikat-syarikat yang tidak ‘perform’ dalam pelaksanaan sesuatu projek pembangunan. Tidak kurang juga ada tanah-tanah yang gagal dibangunkan sebelum ini yang kerajaan negeri ambil semula apabila wujud kalangan yang terbabit yang gagal membayar premium. Justeru dendam tersebut langsung telah digunakan untuk memecahbelahkan PKR.

Ianya mungkin klise bagi pandangan sesetengah orang, tapi itulah realiti yang berlaku. Sebagaimana yang telah saya sebut di peringkat awal, ianya mustahil jika ingin dikatakan langsung tiada percanggahan pandangan. Tapi hal yang lebih menyedihkan apabila ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan cuba melaga-lagakan & membentuk seolah-olah ‘orang-orang MB Selangor’ bermusuh dengan ‘orang-orang Pengerusi PKR Selangor’.

Sebetulnya dakwaan yang mendakwa ada berlakunya sabotaj itu harus diteliti siapa yang membawa beritanya. Kekhuatiran saya ialah mereka yang membawa berita tersebut sudah mempunyai perancangan lain lantas mahu mempergunakan pihak tuan yang terkini dilihat lantang & kritikal pada Pakatan Rakyat, khususnya PKR.

Tentang isu video ‘blowjob’ yang dikatakan ‘pelakonnya’ ialah Azmin Ali & isu kamera tersembunyi yang kononnya dipasang oleh ‘orang-orang Azmin’, saya kira yang harus diteliti di pihak tuan ialah motif individu-individu tersebut menyalurkan ‘sebab-sebab’ ianya berlaku pada pihak tuan & mengapa mereka memilih pihak tuan. Ianya pastinya bukan hanya sebab mereka ‘percaya’ tuan ataupun tuan merupakan ‘harapan’ mereka.

Saya tidak lihat tujuannya ke arah itu. Dan melalui penelitian saya yang mentah ini, sejujurnya saya lihat individu-individu yang menceritakan plot-plot sebab (walaupun saya maklum ianya rekayasa) sebenarnya mahu mempergunakan tuan sebagai ‘peluru’ mereka dalam usaha mereka meruntuhkan keutuhan PKR. Saya kira mereka maklum bahawa apa-apa sahaja yang tuan ‘tembak’ pastinya ianya menimbulkan ‘parah’, paling-paling tidak meninggalkan kesan luka.

Lantas, segala ruang yang mereka nampak berpotensi digunakan untuk menyerang, mereka akan gunakan sebaik mungkin. Kerana itu tidak hairanlah surat yang asalnya berstatus ‘endorsement letter’ telah tiba-tiba bertukar menjadi ‘surat sokongan’ yang pada dakwaan mereka dilakukan oleh Faekah Husin.

Ianya merupakan sesuatu yang lucu apabila sepucuk surat yang dikatakan ‘surat sokongan’ langsung tidak mempunyai terma ‘menyokong’ atau ‘saya sokong’. Yang ditulis hanyalah ‘saya panjangkan cadangan ini untuk pertimbangan pihak tuan’. Seperti biasa, hal ini dimanipulasi & mereka gunakan pihak lain untuk menjayakan misi mereka.

Oleh yang demikian, besarlah harapan saya agar pihak tuan RPK meneliti surat balas saya ini sebaiknya. Tuan merupakan antara blogger yang saya hormati dalam puluhan blogger ‘otai’ yang wujud di Malaysia ini. Dek kerana itu, saya tidak pantas melihat tuan dipergunakan oleh pihak berkepentingan untuk meruntuhkan keutuhan yang sedia dimapan dalam Parti Keadilan Rakyat.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments