Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Menjual buku pada ‘harga runtuh’

 | July 16, 2012

Niat saya adalah supaya khalayak pembaca seluruh negara berpeluang mendapatkan buku pada harga lebih murah dan ditandatangani pula oleh penulis.

COMMENT

Pada Ogos 2009, saya pernah menjual stok terhad beberapa judul buku saya pada harga diskaun yang saya namakan sebagai “harga dari kubur”.

Hal ini adalah kerana apabila novel dan kumpulan cerpen saya yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah tiada dalam pasaran, saya mengirim surat menyatakan bahawa saya mengambil semula hak penerbitan (publishing right) bagi buku-buku berkenaan.

Anehnya, saya diberitahu bahawa masih ada stok. Rupa-rupanya buku-buku saya “terkubur” bersama-sama puluhan (mungkin ratusan) judul lain di stor.

Maka, saya “membangkitkan” semula buku-buku itu – membeli sendiri pada harga murah – dan menjual kepada orang ramai pada “harga dari kubur”. Seterusnya, saya mengambil semula hak penerbitan semua karya saya daripada DBP.

Tiga tahun kemudian, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) menerbitkan 30 judul karya asli dan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 3 Julai 2012.

Tiga daripada pengarang terbabit yang saya kenal secara peribadi ialah Dr Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani), Roslan Jomel dan Jimadie Shah Othman.

Saya mengusulkan kepada mereka, “Mengapa tidak buku-buku anda dibeli pada harga diskaun penulis dan dijual kepada orang ramai di seluruh negara dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran?”

Mereka bertiga bersetuju tetapi mengakui bahawa mereka bermasalah untuk menguruskan perkara itu. Maka saya menawarkan diri menerusi ‘Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya’ untuk menguruskannya mewakili mereka. Tentunya tanpa apa-apa komisyen.

Perbincangan bersemuka diadakan pada 7-8 Julai 2012 dan kami mencapai kata sepakat. Maka, saya mempromosi novel “Perempuan Nan Bercinta” (Faisal Tehrani), kumpulan cerpen “Selamat Datang Ke Malaywood” (Roslan Jomel) dan kumpulan puisi “Helo-helo Kepada Bush” (Jimadie Shah Othman) menerusi blog dan Facebook.

Saya memaklumkan kepada rakan-rakan dan kenalan bahawa sejumlah stok terhad buku-buku berkenaan dijual kepada orang ramai pada “harga runtuh” di mana pembeli boleh menjimatkan antara RM5 dan RM10, manakala kos penghantaran ditanggung oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sebagai sebahagian kempen galakan membaca.

“Harga runtuh” yang ditawarkan adalah sama di seluruh negara (termasuk Semenanjung Malaysia) kerana saya percaya bahawa setiap warga Malaysia berhak membayar harga yang sama bagi produk (buku) yang sama; apatah lagi buku dikirim melalui pos.

Memandangkan stok buku adalah terhad, saya meletakkan beberapa syarat. Misalnya, tempahan hanya dianggap sah apabila bayaran dilakukan sepenuhnya menerusi deposit ke akaun bank. Konsep “siapa (bayar) cepat, dia dapat” dan “yang dahulu didahulukan, yang kemudian dikemudian” digunakan dalam kaedah penjualan buku-buku stok terhad itu.

Bagi mempastikan saya boleh mewakili ketiga-tiga pengarang terbabit untuk membeli buku-buku mereka daripada ITBM dengan diskaun penulis, saya menghubungi Encik Mohd Khair Ngadiron dan Mohd Khairulanuar Manshor.

Mereka memahami dan memberikan kerjasama penuh selepas penjelasan lengkap diberikan; khususnya bahawa kaedah penjualan ini tidak bertujuan mengaut untung.

Kaedah alternatif

Sejak awal, niat saya adalah supaya khalayak pembaca seluruh negara berpeluang mendapatkan buku pada harga lebih murah dan ditandatangani pula oleh penulis.

Saya sedar bahawa mungkin tidak ramai yang membeli buku melalui kaedah ini tetapi sekurang-kurangnya khalayak mempunyai kaedah alternatif jika berminat.

Sebaik sahaja promosi dilakukan dan tempahan dibuka, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Tentu sahaja orang ramai – khasnya peminat bahan bacaan bermutu – tidak mahu melepaskan peluang membeli buku baru pada “harga runtuh”.

Sebagaimana buku-buku terbitan pelbagai pihak, buku-buku ITBM juga dijual pada harga lebih tinggi di Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun, saya secara penuh sedar menetapkan “harga runtuh” yang sama bagi seluruh negara.

Ramai juga yang bertanya mengapa dan bagaimana saya menjual buku-buku pada “harga runtuh” sedangkan saya tidak mendapat apa-apa keuntungan. Sebaliknya saya dan Kavyan dianggap “rugi” kerana menanggung kos penghantaran melalui pos.

Pertama, saya memang tidak berniat mendapat untung walau satu sen. Saya melakukan perkara ini demi niat mahu khalayak mampu membeli buku pada harga murah. Saya juga tidak mahu meletakkan harga berbeza antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak kerana Malaysia sesungguhnya adalah satu negara.

(Dan saya tidak memerlukan slogan muluk seperti “1Malaysia” untuk mengingatkan saya secara ‘penuh retorik dan kurang ikhlas’ bahawa Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak adalah satu negara bernama Malaysia! Tidak hairanlah juga Roslan Jomel menulis mengenai “Malaywood” dan “Semenanjung Borneo”.)

Lebih 25 tahun lalu, saya kurang mampu membeli buku cerita kerana terlalu “mahal” bagi sebuah keluarga miskin yang tinggal di sebuah kampung. Maka, alasan saya amat mudah: Saya tidak mahu orang lain (generasi kini) mengalami masalah/kesukaran seperti yang pernah saya alami.

Pegangan saya juga amat mudah: Permudahkanlah urusan orang sebagaimana Tuhan permudahkan urusan kita. Berbuat baiklah kepada orang sebagaimana Tuhan berbuat baik kepada kita.

Kedua, saya menghargai kerjasama para penulis terbabit yang memungkinkan saya mampu mendapatkan stok terhad buku-buku mereka pada harga diskaun. Maka, ucapan terima kasih perlu ditujukan kepada mereka dan ITBM.

Ketiga, saya mahu wujud “keintiman” (silaturahim) antara penulis dan pembaca/peminat. Saya sekadar menjadi “orang tengah”. Sebab itulah juga saya mendapatkan tandatangan penulis pada buku-buku berkenaan sebelum dipos kepada pembeli.

Kepuasan yang saya terima … Nah! Itulah nikmat (ganjaran) yang tidak ternilai oleh wang. Maka, saya sangat “beruntung” walaupun keuntungan yang diterima bukan dalam bentuk wang.

Tawaran “pusingan pertama” bagi pembelian buku-buku pada “harga runtuh” ditutup pada 12 Julai 2012. Bermula keesokan hari, “pusingan kedua” dimulakan di mana buku-buku masih dijual pada “harga runtuh” tetapi pembeli perlu menanggung kebahagian kos kiriman pos. Hal ini adalah supaya pembeli “pusingan pertama” dapat menarik nafas lega dan rasa beruntung.

Tawaran pembelian ketiga-tiga buku ini pada “harga runtuh” akan ditutup pada 20 Julai 2012. Hal ini adalah kerana saya sedar bahawa penjual dan pengedar lain juga mahu mendapat peluang menjual buku-buku berkenaan pada harga pasaran dan mendapat sedikit untung. Saya tidak mahu menjadi penghalang kepada keinginan mereka.

Jika diizinkan Tuhan, mulai 21 Julai 2012, naskhah terhad buku “Dari Salina ke Langit Petang” dan kumpulan puisi “Rindu Ibu” yang ditandatangani khas oleh Datuk A. Samad Said akan dijual pada harga istimewa. Sedikit untung yang diperoleh akan disalurkan ke dalam tabung dana penerbitan semula novel “Salina” yang sedang diusahakan oleh Wira Bukit Sdn Bhd.

Maklumat lanjut berkenaan jualan buku pada harga runtuh boleh dirujuk di www.uthayasb.blogspot.com


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments