Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Hari malang untuk sukan

 | July 22, 2012

Malaysia hanya bersedia dan membuat penambaikan kemudahan sukan dan melahirkan atlit dalam acara tertentu dalam bentuk ad-hoc.

COMMENT

PETALING JAYA: Pengumuman Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi bahawa Malaysia bersedia menjadi tuan rumah Sukan Sea 2017 membuat peminat sukan tanahair gembira kerana berpeluang menyaksikan kejohanan sukan terbesar peringkat Asia Tenggara dalam tempoh lima tahun lagi.

Walaupun kejohanan ini tidaklah sebesar Sukan Asia atau Sukan Olimpik, tetapi berdasarkan penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah sebelum ini, sambutan daripada peminat sukan tanah air memang menggalakkan.

Ini ialah kerana peluang negara mencipta kemenangan dalam seberapa banyak acara di dalam Sukan Sea adalah lebih cerah berbanding Sukan Asia dan sukan Olimpik.

Pengumuman Sieh sudah tentu membuat peminat sukan tidak sabar menanti Sukan Sea pada 2017, kerana kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Sea ialah pada tahun 2001.

Bermakna jika Malaysia sah menjadi tuan rumah Sukan Sea pada tahun 2017, maka Sukan Sea kembali ke Malaysia selepas tempoh 16 tahun.

Tidak bincang dengan KBS

Bagaimanapun apa yang mengejutkan ialah apabila Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata bahawa beliau terkejut dengan pengumuman Sieh yang menurut Ahmad Shabery, MOM atau Sieh tidak berbincang terlebih dahulu dengan beliau dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ahmad Shabery berkata beliau perlu mengusulkan perkara tersebut kepada kabinet kerana ia membabitkan perbelanjaan yang tinggi dan tempoh lima tahun tidak cukup untuk menyediakan kemudahan untuk kejohanan Sukan Sea.

Sementara itu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong turut menyatakan pendapat bahawa penganjuran temasya terbesar peringkat Asia Tenggara itu perlu mendapat kelulusan kerajaan dan memerlukan dana besar.

Pendirian Ahmad Shabery dan Zolkples bahawa penganjuran temasya sukan yang besar perlu mendapat persetujuan kerajaan ada logiknya kerana ia membabitkan kos yang tinggi dan agar tidak bertembung dengan sebarang peristiwa utama di dalam negara seperti Pilihan Raya Umum.

Bagaimanapun bila dikatakan kos tinggi itu berapa banyak? Kita tidak perlu membina sebarang kemudahan sukan yang baru kerana hampir semua kemudahan acara sukan utama telah kita miliki selepas penganjuran Sukan Komanwel 1998.

Begitu pun, beberapa alasan yang diberikan oleh Zolkples di dalam akhbar Sinar Harian (21 Julai) menimbulkan beberapa persoalan yang mengejutkan.

Alasan MSN

Zolkples berkata tempoh lima tahun singkat dan beberapa venue sukan perlu penambahbaikan dan Malaysia masih belum memiliki velodrom tertutup (lumba basikal) dan pusat sukan di Bukit Jalil perlu diperbaiki.

Persoalannya apakah dasar sukan negara? Apakah kemudahan venue sukan di Malaysia hanya akan ditambahbaik apabila ingin menganjurkan satu kejohanan sukan besar?Tidak adakah satu prosedur bahawa venue sukan tersebut perlu diperiksa setiap tahun dan penambahbaikan perlu dilakukan apabila ada kerosakkan tanpa menunggu untuk sebuah acara sukan besar dianjurkan.

Kenyataan Zolkples memberi gambaran bahawa tahap penyelengaraan dan penjagaan venue sukan di negara ini lemah dan berasaskan ad-hoc.

Tiada kemudahan velodrom tertutup juga membuktikan kita tercicir di dalam latihan atlit sukan berbasikal.Kali terakhir kita menganjurkan Sukan Sea pada tahun 2001. Kini setelah 10 tahun kita masih gagal menyediakan velodrom tertutup.

Tidak cukup masa

Zolkples juga berkata Malaysia kekurangan atlit dalam beberapa acara seperti Judo dan Gusti serta tempoh lima tahun tidak cukup untuk melahirkan mereka.

Kenyataan Zolkples ini amat mengejutkan sesiapa yang mengikuti perkembagan sukan tanahair. Ini menunjukkan satu lagi kelemahan pembangunan sukan di Malaysia.

Zolkples memberikan gambaran bahawa penyediaan atlit dalam acara tertentu hanya akan dilakukan apabila Malaysia sah menjadi tuan rumah untuk penganjuran sukan besar sahaja.

Itu pun agaknya notis lebih daripada lima tahun harus diberikan kepada MSN untuk menyedia atlit terbabit berdasarkan kenyataan Zolkples.

Kenyataan Zolkples menandakan satu hari malang kepada peminat sukan tanahair kerana kenyataan beliau tidak meyakinkan peminat sukan bahawa dalam tempoh tertentu kita akan melahirkan lebih ramai atlit bertaraf antarabangsa dan menjadi kuasa sukan sekurang- kurangnya di Asia Tenggara atau Asia.

Sementara alasan Ahmad Shabery berhubung kos pula memberi indikasi bahawa rakyat Malaysia boleh melupakan jika berangan-anga untuk menyaksikan temasya sukan lebih besar seperti Sukan Asia, Sukan Olimpik dan Bolasepak Piala Dunia di Malaysia pada masa akan datang.

Penambahbaikan venue sukan

Walaupun pengumuman Sieh mencetus kontroversi namun pujian harus diberikan kepada beliau kerana disebabkan pengumuman beliau lah kini peminat sukan negara dapat melihat betapa lemahnya negara dalam faktor penganjuran sukan termasuk penyelengaraan kemudahan venue sukan dan persiapan atlit.

Seolah-olah Malaysia hanya bersedia dan membuat penambaikan kemudahan sukan dan melahirkan atlit dalam acara tertentu dalam bentuk ad-hoc jika sesuatu kejohanan sukan besar ingin berlangsung dan bukannya secara konsisen.

Sukan Sea 2013 akan berlangsung di Myammar sementara Sukan Sea 2015 pula di Singapura sama ada pada tahun 2017 atau 2023.

Dalam perkembangan terbaru Sieh berkata jika Malaysia enggan menjadi tuan rumah Sukan Sea 2017, Malaysia perlu menunggu tahun 2023 untuk giliran seterusnya dan proses penganjuran tuan rumah Sukan Sea berdasarkan giliran tanpa perlu membuat tawaran.

Sepatutnya Brunei yang menganjurkan Sukan Sea 2017 tetapi mereka terpaksa menolak atas beberapa sebab. Sieh juga mengingatkan pihak yang mengkritik beliau bahawa pada tahun 1999 Malaysia sepatutnya menjadi tuan rumah Sukan Sea.

Bagaimanapun disebabkan Malaysia baru sahaja menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 1998, Malaysia terpaksa menolak menjadi tuan rumah dan Brunei mengambil tanggungjawab itu atas semangat setia kawan.

Sieh menambah penganjuran Sukan Sea di Kuala Lumpur pada tahun 1989 dan 2001 menjana keuntungan kepada kerajaan melalui MSN dan MOM.

Acara sukan untuk semua negeri

Diharapkan kerajaan tidak memberikan alasan remeh dan bersedia menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah Sukan Sea pada tahun 2017.

Peminat sukan juga dahagakan aksi antarabangsa secara langsung di dalam negara.

Boleh dikatakan hampir semua jenis sukan kini mengalami kemerosotan sokongan peminat dan ghairah melihat aksi atlit tempatan semakin berkurangan.

Ada dua sebab utama iaitu prestasi sebahagian besar atlit negara di dalam kejohanan besar terutama acara sukan popular semakin merosot seperti hoki, olahraga dan  bolasepak.

Keduanya, peminat Malaysia terlalu lama tidak dihidangkan satu kejohanan sukan besar dan paling terakhir iaitu 10 tahun lepas (Sukan Sea 2001).

Untuk memeriahkan lagi penganjuran Sukan Sea dan agar kos penganjuran turut boleh dikongsi oleh kerajaan negeri, adalah disarankan setiap negeri di beri peluang menjadi tuan rumah sekurang-kurangnya untuk satu acara sukan.

Dengan ini peminat sukan di semua negeri berpeluang menonton acara sukan di stadium berdekatan di negeri masing-masing.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments