Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Bukan warga di negara sendiri

 | August 6, 2012

Selagi polisi tidak diubah, selagi itulah masalah dokumen pengenalan diri tidak akan selesai.

COMMENT

Sejak hampir setahun lalu, saya sering mendengar dan membaca mengenai kempen pendaftaran dokumen pengenalan diri yang diterajui pihak tertentu. Kempen dan jerayawara (roadshow) diadakan di pelbagai tempat, khabarnya untuk membantu orang ramai mendapatkan kad pengenalan dan sijil kelahiran.

Bagaimanapun, dua perkara membuatkan saya ingin tahu lebih lanjut mengenai usaha berkenaan. Pertama, adakah “kempen” itu bersifat sementara atau masalah yang timbul benar-benar diteliti pada peringkat akar-umbi lalu diselesaikan sepenuhnya.

Dengan erti kata lain, apakah benar-benar dilakukan dengan ikhlas atau sekadar kempen bagi kepentingan politik pihak tertentu. Selepas tempoh kempen selesai, mangsa tetap kekal sebagai bukan warganegara di negara sendiri.

Persoalan kedua yang muncul dalam fikiran saya adalah mengenai penglibatan Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar, Malaysia (DHRRA Malaysia).

Setahu saya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu terlibat secara aktif dan berterusan sejak 2003 dalam usaha-usaha menyelesaikan masalah dokumen pengenalan diri. Lalu, mengapa nama DHRRA Malaysia tidak muncul langsung dalam kempen dan roadshow kali ini?

Saya bertemu presidennya, Saravanan M. Sinapan untuk mendapatkan penjelasan berhubung persoalan itu serta beberapa isu berkaitan.

Menurutnya, isu ketiadaan sijil kelahiran, kad pengenalan dan kewarganegaraan (statelessness) sesungguhnya diketengahkan oleh DHRRA Malaysia dengan kerjasama ERA Consumer Malaysia sejak 2003.

“Kami menjalankan pelbagai kempen untuk membantu anggota masyarakat yang menghadapi isu dokumen pengenalan diri. Kami berusaha mendaftar mereka agar mereka mendapat hak-hak asasi mereka,” katanya sewaktu ditemui di pejabat DHRRA Malaysia di Petaling Jaya pada 2 Ogos 2012.

Saya difahamkan bahawa suatu seminar diadakan pada 2005, melibatkan sekitar 250 individu yang menghadapi masalah dokumen pengenalan diri. Sambutan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sendiri didapati kurang baik kerana gagal menghantar wakil ke seminar berkenaan.

“Tetapi kami mendapat wakil dari UNHCR dan pelbagai NGO lain yang menghadiri seminar polisi itu untuk berkongsi pengalaman cara-cara mengatasi masalah dokumen pengenalan di Thailand, Sri Lanka dan sebagainya. Selepas itu, kami cuba berhubung dengan agensi kerajaan terbabit dan menegaskan bahawa salah satu isu dalam kalangan masyarakat India di Malaysia adalah dokumen pengenalan diri,” Saravanan menghuraikan.

Kempen MyDaftar

Sambil mengakui bahawa pihak-pihak tertentu tidak mengambil serius isu tersebut, beliau menegaskan bahawa DHRRA Malaysia tetap meneruskan usaha dan kempen secara berterusan bagi membantu masyarakat pelbagai kaum.

“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak menubuhkan satu pasukan khas yang dipengerusikan beliau sendiri dan bertujuan mengenal pasti apakah punca-punca masyarakat India tidak menyokong (mengundi) Barisan Nasional pada 2008,” katanya.

Agak menarik bahawa salah satu isu yang turut dibangkitkan oleh DHRRA Malaysia dalam perbincangan Rancangan Malaysia Kesepuluh adalah isu dokumen pengenalan diri. Tentulah amat wajar kerana tiada gunanya segala RMK sekiranya rakyat negara ini tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang membolehkan mereka mendapat apa-apa kebaikan daripada RMK itu.

Hasil daripada saranan itu, Special Implementation Task Force (SITF) ditubuhkan dan dipengerusikan Datuk Dr S Subramaniam, lalu memulakan kempen “MyDaftar”.

Wajar disebutkan bahawa jawatankuasa itu mengundang DHRRA Malaysia untuk melatih pegawai terbabit supaya kempen “MyDaftar” dapat dijalankan dengan berkesan; dan bukan hanya hangat-hangat tahi ayam atau indah khabar dari rupa.

“Semasa perbincangan dengan kumpulan SITF, kami telah tegaskan bahawa masalah dokumen pengenalan ini tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat kerana isu sebenar adalah berkenaan dengan polisi,” Saravanan menegaskan.

Perkara ini amat penting kerana kebanyakan individu yang berdepan dengan masalah ketiadaan dokumen pengenalan tidak mempunyai bahan bukti yang cukup; sekali gus sukar untuk diselesaikan dalam masa yang singkat – misalnya dalam tempoh kempen selama dua minggu.

Maka, suatu hakikat yang perlu diterima adalah bahawa walaupun kempen “MyDaftar” diadakah secara besar-besaran selama beberapa minggu di seluruh negara, isu sebenar yang dihadapi “mangsa” masih belum selesai.

Sebagai sebuah NGO yang bukan mementingkan “hasil” dan “nama” dalam masa yang singkat, DHRRA Malaysia meneruskan pula kempen berterusan yang dinamakan “My Document” dan mendapat sokongan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Turut dilancarkan adalah “My Search” iaitu talian Pusat Panggilan Komuniti yang beroperasi sepanjang tahun, dari 9:00 pagi hingga 9:00 malam. Dengan menggunakan Bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil sebagai bahasa pengantar, DHRRA Malaysia sedia membantu masyarakat pelbagai kaum di seluruh negara untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

Saya sendiri sentiasa mengikuti perkembangan aktiviti DHRRA Malaysia melalui laman sesawang dan Facebook. Namun, di media arus perdana, kredit sentiasa diberikan kepada pihak lain; khususnya politikus atau agensi kerajaan.

Apabila dikemukakan pertanyaan itu, Saravanan menjelaskan bahawa akhbar-akhbar Tamil sering memaparkan berita mengenai usaha-usaha yang dilakukan NGO itu dalam membantu masyarakat.

“Dalam akhbar-akhbar dan media lain, mereka menumpukan pada inisiatif yang diambil oleh kerajaan. MyDaftar adalah salah satu inisiatif seumpama itu, maka keutamaan liputan media arus perdana lebih menjurus ke sana,” katanya.

Negara asal: Malaysia

Ringkasnya, DHRRA Malaysia tidak mendambakan pengiktirafan atau liputan meluas di akhbar dan media arus perdana atas sumbangan dan inisiatif yang diambilnya. Sebab itulah juga ramai yang tidak tahu bahawa wakil DHRRA Malaysia pernah membentangkan kertas kerja di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai peranan NGO dalam menyelesaikan isu-isu dokumen pengenalan diri.

Apakah cara terbaik dan paling berkesan untuk mengatasi masalah rakyat negara ini yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri seperti sijil kelahiran, kad pengenalan dan dokumen kewarganegaraan?

“Saya percaya, Ahli-ahli Parlimen dan Kerajaan Persekutuan harus mengadakan seminar polisi dan seterusnya menukar polisi sedia ada. Contohnya, apabila seorang individu diminta mengemukakan bahan bukti kelahiran dan saksi, dia tidak dapat berbuat demikian kerana estet tempat asalnya sudah tidak wujud,” Saravanan menghuraikan.

Saranan DHRRA Malaysia adalah supaya kes-kes seperti ini diberi sedikit kelonggaran. Jika tidak, generasi demi generasi keluarga itu akan kekal tanpa dokumen pengenalan diri dan tanpa kewarganegaraan. Misalnya, individu yang disahkan “negara asal: Malaysia” tetapi hanya diberi taraf “pemastautin tetap”.

“Kami mencadangkan supaya mereka yang lahir di Malaysia, ibu bapa mereka juga orang Malaysia, dan mereka tidak mempunyai sebarang kerakyatan lain, maka harus diberi kewarganegaraan secara automatik mengikut peruntukan Perlembagaan,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai DHRRA Malaysia boleh diakses di laman web www.dhrramalaysia.org.my atau talian 03-78747680.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments