Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Raja dalam faksyen

 | August 20, 2012

Seorang yang mengaku sahabat, berpura-pura untuk merealisasikan agenda tersembunyi untuk diri sendiri.

COMMENT

Saya secara penuh sedar suka menghasilkan “faksyen” (faction) iaitu gabungan “fakta & fiksyen” (fact & fiction). Atau lebih tepat lagi, fakta (kisah benar) yang disajikan dalam bentuk fiksyen.

Tentu sahaja karya berbentuk faksyen tidak mudah difahami; khususnya oleh pembaca yang tidak mengetahui sumber (fakta) yang menjadi asas kepada penghasilan karya berkenaan.

Salah sebuah faksyen yang saya tulis dan selalu juga “diperkatakan orang” – secara positif dan juga negatif – adalah cerpen “Kita Sudah Gagal, Raja” yang tersiar di akhbar Mingguan Malaysia (22 Februari 2004) sebelum dimuatkan dalam buku “Rudra Avatara” (2008).

Sewaktu menyorot cerpen berkenaan di akhbar Mingguan Malaysia (7 Mac 2004), pengarang terkenal, Zaharah Nawawi mengakui bahawa cerpen itu menuntut pembaca untuk meneliti dan mengulang baca beberapa kali.

“Sekiranya tidak, mereka tidak akan dapat memahami ‘Kita Sudah Gagal, Raja’ yang agak keliru dan mengelirukan. Dalam keserabutan penyampaiannya, cerpen ini memaparkan kisah manusia yang memakai topeng kebaikan bagi melindungi hasrat dan agenda kejahatannya,” katanya.

Rakan-rakan dan kenalan serta peserta bengkel penulisan cerpen anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sering juga mahu tahu dari mana saya mendapat idea bagi cerpen berkenaan. Mereka mahu tahu siapakah “Raja” itu.

Sesungguhnya cerpen itu adalah sebuah faksyen yang mengangkat pengalaman saya “ditikam dari belakang” oleh seorang individu yang (pada mulanya) amat saya hormati dan kagumi. Dia juga tampil mewartakan sendiri dirinya sebagai “sahabat karib” (best friend) saya.

“Seperti dalam cerpen ini, seorang yang mengaku sahabat, berpura-pura memperlihatkan kebaikan dan keintiman semata-mata untuk merealisasikan agenda tersembunyi untuk diri sendiri.” Demikian Zaharah mengulas dan memang tepat sekali.

Watak bernama “Raja” (bukan nama sebenar) itu mula-mula menghubungi saya pada 1998 untuk membantunya dalam menyelesaikan tesis yang sedang diusahakannya. Saya turut membantunya untuk menyalurkan hasil tulisannya ke akhbar dan majalah.

Dipendekkan cerita, dia mula dikenali orang sebagai penulis. Namun, menjelang tahun 2003, Raja ternyata sedang membina impian untuk menjadi penulis paling terkenal. Cara paling mudah yang dapat difikirkannya adalah dengan “mencantas” saya.

Hasil maklumat yang saya terima kemudian daripada rakan-rakan editor di beberapa akhbar dan majalah arus perdana, Raja mula mengutuk saya dan Kavyan sejak 2002 dalam usaha liciknya mengangkat diri sendiri sebagai penulis yang lebih baik daripada mana-mana penulis dalam Kavyan.

“Uthaya merungkai satu per satu kebejatan sekelompok manusia yang suka dan pandai mengampu, licik mengatur strategi, bijak menjatuhkan kawan dan hebat dalam berkonspirasi. ‘Kita Sudah Gagal, Raja’ lantang melontarkan sindiran tajam, pedas dan sinis kepada jenis manusia yang bersikap gunting dalam lipatan.”

Inside joke

Demikian Zaharah menyorot cerpen berkenaan dalam tulisannya di akhbar Mingguan Malaysia. Namun, saya percaya bahawa pengarang wanita terkenal itu tidak tahu ada “kisah sebenar” (fakta) di sebalik penghasilan cerpen berkenaan. Apa pun, ulasan yang dilakukan memang amat tepat!

Dalam cerpen “Kita Sudah Gagal, Raja” ditampilkan watak Raja yang mahu menggagalkan usaha seorang “sahabat karib” mencipta rekod dalam The Malaysia Book of Records.

Tentu sahaja kisah ini secara nyata merujuk pada usaha Kavyan mencipta rekod menerusi acara “Baca Cerpen Kavyan” pada 2003. Maka, pembaca yang tahu mengenai “Baca Cerpen Kavyan” akan lebih mudah memahami faksyen yang disajikan.

Sebuah faksyen tidak pula berciri parodi atau satira. Novel “Hanuman: Suara Hati” yang disiarkan secara bersiri di Free Malaysia Today (Februari – Ogos 2012) adalah sebuah parodi retorik. Kisah-kisah “Faksyen Pulau Cinta” yang turut disiarkan di Free Malaysia Today (April – Mei 2011) pula berciri faksyen berunsur satira.

Dalam Bahasa Inggeris, ada istilah “inside joke” yang merujuk pada lawak yang hanya difahami oleh kelompok tertentu yang tahu kisah di sebalik lawak berkenaan. Kelompok terbabit mungkin kecil dan terhad, atau sangat besar tetapi masih terhad.

Sebagaimana “inside joke”, sebuah faksyen tidak boleh diharapkan supaya difahami sepenuhnya oleh semua orang. Begitu juga dengan cerpen “Kita Sudah Gagal, Raja” yang boleh dibaca dan difahami pada lapis makna berbeza oleh khalayak yang berbeza.

Sebaik sahaja cerpen itu tersiar pada Februari 2004, Raja segera menelefon seorang rakannya di utara dan mengadu bahawa karya berkenaan adalah pendedahan terbuka mengenai dirinya. Lalu, rakan itu pula menelefon saya untuk mendapatkan pengesahan. Saya katakan bahawa terpulanglah kepada pembaca untuk memikirkan soal itu.

Sesungguhnya, faksyen berkenaan adalah berdasarkan fakta dan kisah benar. Raja turut mendaftar untuk mengambil bahagian dalam acara “Baca Cerpen Kavyan” tetapi tidak muncul pada tarikh acara berlangsung. Sama seperti watak Raja dalam cerpen itu “sengaja tidak pergi” sebaliknya “duduk di rumah dan membayangkan adegan Saif dan rakan-rakannya membunuh pemuda itu”.

Melalui pengakuan Raja sendiri kemudian, dia kononnya telah dihubungi oleh seorang individu bernama Saif dari “kumpulan” tertentu yang berjanji mahu “mencantas Uthaya dan mengangkat awak” sebagai tokoh penulis terkemuka.

Kononnya, menurut Raja, hampir 20 wakil kumpulan itu sudah turut mendaftar sebagai peserta “Baca Cerpen Kavyan” menerusi e-mel tetapi tidak akan muncul pada tarikh acara. Melalui cara itu, mereka akan “berjaya” menggagalkan rancangan Kavyan mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records.

“Tetapi pada pengakhiran cerita, kita dikejutkan dengan pernyataan lain iaitu semua watak yang diwujudkan untuk berkonspirasi iaitu Raja, Rani dan Saif semata-mata imaginasi yang dicipta dalam dunia fantasi diri watak utama.”

Agenda jahat

Demikian huraian Zaharah dan memang begitulah juga yang berlaku dalam realiti. Raja membuat pengakuan kepada saya selepas itu bahawa “kumpulan ultra Melayu itu” (katanya) telah berjanji kepadanya bahawa mereka akan menggagalkan “Baca Cerpen Kavyan” dan sekali gus “menghancurkan” nama baik Kavyan dalam dunia sastera tanah air.

Perlu dinyatakan bahawa acara “Baca Cerpen Kavyan” berlangsung tanpa henti selama 96 jam 32 minit dan berjaya mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records. Tidak pula timbul soal 20 wakil “kumpulan” tertentu mensabotaj dengan cara mendaftar sebagai peserta tetapi tidak hadir.

Hanya seorang individu yang mendaftar sebagai peserta tetapi tidak hadir. Saya percaya anda sendiri boleh mengagak siapakah orang itu. Raja, Rani, Saif dan Rakan-rakan (RRSR) adalah orang yang sama.

Dalam sorotannya, Zaharah menyimpulkan: “Melalui cerpen ini, Uthaya mengingatkan bahawa setiap impian biar sebesar gunung atau sekecil semut; tidak akan menjadi kenyataan andai hanya dirangka dan disimpan dalam ilusi, tanpa sebarang tindakan susulan.”

Ternyata begitulah juga dengan watak Raja. Apabila gagal “memusnahkan” Kavyan pada 2003, dia berpura-pura bertaubat tetapi sebenarnya bertukar menjadi “Raja Se(ri)gala Bahasa” untuk meneruskan misinya.

Menjelang hujung tahun 2010, dia bersubahat pula dengan Encik Salib, Cik Timun Busuk, Penerima Anugerah Laut dan Encik Limau (“Tokoh Lidah Bercabang”) bagi merancang siri baru agenda jahat untuk “menghancurkan Kavyan dan membunuh Uthaya”.

Tetapi itu kisah dalam faksyen yang lain pula!

Kavyan diasaskan pada 22 Ogos 1999 hasil perbincangan Uthaya Sankar SB, Raja Rajeswari Seetha Raman, Retna Devi Balan, M. Mahendran dan Ramakrishnan Ramasamy.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments