Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Keinginan Jeevaa yang meluap-luap

 | August 27, 2012

Walaupun banyak kali menjadi mangsa penipuan, artis muda ini tidak mahu melupakan cita-citanya.

COMMENT

Di tengah-tengah lambakan lagu-lagu Tamil oleh artis tempatan, mampukah bakat baru muncul meraih kejayaan?

Demikian pertanyaan kecil yang muncul dalam minda apabila mendengar anak saya, Devishi Prabha Sankari, semakin berminat mendengar lagu-lagu Tamil tempatan yang berkumandang menerusi dua stesen radio Tamil iaitu MinnalFM dan THR Raaga.

Maka, apabila berpeluang bertemu Jeevaa @ Jaffar di Shah Alam pada 24 Ogos 2012, saya mengemukakan soalan berkenaan kepada pemuda itu yang menghasilkan “single” berjudul “Asai Miripochi” menggunakan nama Puthummai Pitthan.

“Saya percaya bahawa kalau seorang artis mampu memberikan sesuatu yang lain daripada yang lain, maka akan mendapat sambutan daripada khalayak pendengar yang sentiasa mahukan sesuatu yang segar, baru dan asli,” kata Jeeva yang lahir di Seremban, Negeri Sembilan.

Pertemuan kami adalah selepas saya berpeluang mendengar lagu “Asai Miripochi” (“Keinginan Meluap-luap”) yang menampilkan muzik oleh Big Syze, gubahan lagu dan lirik oleh Jeevaa, serta turut memperkenalkan Easwari Kugathasan.

“Sejak awal, hasrat saya adalah untuk menyajikan lagu Tamil yang sedap didengar dan senang difahami. Saya menggabungkan melodi dengan rap supaya lebih sesuai dengan citarasa semasa.

“Saya mengambil masa satu setengah tahun untuk menyiapkan lagu ini yang merupakan lagu sulung saya yang berjaya dirakam sepenuhnya secara profesional,” kata pemuda berumur 26 tahun itu yang juga menggunakan nama Emcee J dalam industri muzik.

Buat masa ini, “Asai Miripochi” boleh didengar menerusi YouTube dan dikongsi oleh ramai peminat muzik menerusi Facebook sejak dua bulan lalu.

Dalam perbualan kami, pemuda itu yang membesar di Jerantut, Pahang turut menceritakan secara ringkas pelbagai rintangan yang terpaksa diharunginya untuk muncul dalam industri muzik Tamil di Malaysia.

Sambil tertawa, Jeevaa menceritakan bagaimana dia banyak kali menjadi mangsa penipuan oleh individu dan kelompok tertentu yang kononnya mahu membantu merealisasikan cita-citanya menghasilkan album.

“Sewaktu saya mula-mula mahu membuat album, seorang individu tampil berjanji mahu membantu. Saya diminta membayar RM8,000 tetapi sekitar satu setengah bulan kemudian, dia menghilangkan diri bersama-sama wang saya dan kerja yang separuh siap.

“Apa yang menyedihkan, orang itu juga seorang artis dan masih aktif menyanyi pada masa sekarang. Saya menganggap kejadian itu sebagai suatu pengajaran besar dalam hidup,” kata Jeevaa yang kini tinggal di Petaling Jaya.

Sambutan menggalakkan

Akan tetapi, hasil perbualan saya bersama-sama pemuda itu, ternyata dia turut menjadi mangsa kepada beberapa lagi rapper (individu dan kumpulan) yang pernah berjanji mahu membantunya; tetapi tidak dapat dihubungi selepas wang bertukar tangan.

Malah, bagi album (single) “Asai Miripochi”, Jeevaa sudah berusaha bekerjasama dengan dua penggubah muzik sebelum akhirnya menemui Big Syze. Akhirnya, “single” ini berjaya dikeluarkan sekitar empat bulan lalu.

Namun begitu, pemuda ini yang sedang belajar bidang kejuruteraan audio dan pembikinan filem masih menunggu dengan penuh harapan agar MinnalFM (slot “Minnalin Mannin Nachathiram”) dan THR Raaga memutarkan lagunya untuk didengar dan dinilai orang ramai.

Kita sedia maklum bahawa kedua-dua stesen radio Tamil itu memberi ruang yang agak lumayan kepada artis-artis tempatan untuk mengasah bakat. Maka, saya mempunyai sebab untuk berasa hairan mengapa “single” yang diserahkan mengikut prosedur sekitar empat bulan lalu masih belum kedengaran di corong radio.

Walau bagaimanapun, Jeevaa ternyata masih terus bersemangat dan berfikiran positif, serta sabar menanti saat bakatnya diketahui umum. Buat masa ini, dia selalu diundang membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan dan di kelab malam. Sambutan yang diterima bagi “Asai Miripochi” nampaknya amat menggalakkan.

Pemuda ini juga tidak mahu melupakan cita-citanya untuk muncul sebagai artis, penggubah muzik, penulis lirik, penggubah lagu dan penyanyi yang dikenali ramai.

“Inilah impian dan cita-cita saya sejak kecil dan saya tidak akan meninggalkannya walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan sering menjadi mangsa penipuan dalam industri muzik tempatan,” katanya dengan penuh yakin.

Jeevaa turut rasa bertuah kerana mendapat sokongan moral daripada kakaknya, Salma Dhineswary yang turut menjadi tempat untuk merujuk sekiranya timbul sebarang masalah dalam proses menghasilkan lagu. Tambahan pula, Salma adalah seorang guru, graduan bidang lingustik Bahasa Tamil dari Universiti Malaya dan penulis Tamil yang dikenali di dalam dan luar negara.

Berbekalkan sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan, Jeevaa masih menyimpan hasrat menghasilkan album sulung yang memuatkan enam lagu ciptaannya.

“Saya sangat optimis bahawa album itu akan terbit dengan jayanya kerana saya mendapat sokongan padu daripada beberapa individu yang sangat saya kagumi. Misalnya Big Syze, OG Nanba, Nathan Lock Up, Haze Freaky-G, Mazter G-Loz, Leelai ORC, Abieramy Munisamy dan Easwari Kugathasan,” katanya.

Jeeva menunjukkan minat dalam industri muzik sejak kecil. Murid sekolah jenis kebangsaan Tamil ini berpengalaman menulis lagu-lagu “urumi” selain menyanyi lagu-lagu “bhajan” dan “thevaram”.

Mendapat tawaran

Soalan yang saya tanyakan berulang kali kepadanya dalam pertemuan kami tempah hari adalah berkenaan bagaimana dia yakin boleh berjaya dalam industri muzik Tamil di Malaysia sedangkan sudah ada lambakan artis yang begitu ramai. Serta Jeeva sendiri sudah banyak kali ditipu orang dalam industri itu sendiri.

Pemuda yang ternyata sentiasa berfikiran positif itu pula berulang kali juga menegaskan bahawa sekiranya dia mampu menyajikan lagu/muzik yang berkualiti, lain daripada yang lain dan menggunakan Bahasa Tamil yang betul, maka pasti ada ruang untuknya mencipta nama dalam kalangan peminat muzik Tamil tempatan.

Salinan “single” pertama sudah diserahkan kepada pihak berwajib hampir empat bulan lalu. Selepas menunggu selama dua bulan, barulah Jeevaa memutuskan untuk memuat naik lagu itu di YouTube. Langkah itu adalah wajar kerana sekiranya dia terus menunggu, trend dan citarasa muzik akan berubah dan lagu “Asai Miripochi” mungkin ketinggalan zaman.

Keputusan Jeevaa untuk menyebarkan lagunya di ruang siber ternyata membuahkan hasil kerana lagu itu dimuat turun dan didengar oleh khalayak di dalam dan luar negara.

“Ternyata ramai juga artis Tamil tempatan yang berpeluang mendengar lagu itu dan menghubungi saya secara peribadi untuk mengucapkan tahniah. Malah, saya turut mendapat e-mel dan mesej menerusi Facebook daripada artis Tamil dari Jerman, Sri Lanka dan Britain yang berpeluang mendengar lagu itu,” katanya dengan gembira.

Jeevaa turut mendapat tawaran menulis lirik dan menyanyi bersama-sama seorang artis di India yang sedang dalam proses menghasilkan “single” pertamanya.

Nampaknya cita-cita Jeevaa tidak dapat dihalang atau disekat oleh sesiapa! Sementara itu, sama-sama kita nantikan dengan penuh harapan agar stesen radio Tamil tempatan turut mengesan bakat pemuda ini dan bersedia memutarkan “Asai Miripochi” sebelum diputarkan stesen-stesen radio luar negara.

Uthaya Sankar SB adalah kolumnis FMT sejak Januari 2011. Beliau memblog di www.uthayasb.blogspot.com


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments