Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Kehebatan Mitsubishi Wiralution

 | August 30, 2012

Hasil usahasama antara syarikat alat ganti kereta potong, kedai jual pelekat kenderaan dan pembeli kenderaan Proton Wira.

COMMENT

Pada zaman kegemilangannya dapat kita melihat kereta model ini memecut pancung-memancung di lebuhraya lingkaran tengah kedua ataupun tatakala anda tidur nyenyak tiba-tiba desingan ekzosnya memecah ketenangan malam mengumumkan warga kota akan kehadirannya.

Inilah dia kehebatan Mitsubishi Wiralution yang suatu ketika pernah menjadi raja lejang jalanraya desa dan kota.

Mitsubishi Wiralution adalah merupakan model usahasama antara syarikat alat ganti kereta potong, kedai jual pelekat kenderaan dan pembeli kenderaan Proton Wira.

Hasil dari reputasi Proton ketika itu yang cukup terkenal dengan teknologi tingkap automatik yang mempunyai ciri-ciri mudah rosak dan sistem penggera yang boleh mengunci kenderaan tanpa arahan tuan punya kereta maka sebahagian pengguna Proton ketika itu merasakan perlunya ada suatu anjakan paradigma.

Hasil dari pengguna yang hampa tahap hampagas, harga kenderaan import dan impian untuk memiliki kereta yang lebih baik maka terhasillah model Mitsubishi Wiralution direka bentuk khas dari pembeli Proton Wira yang banyak menonton rancangan animasi Initial D.

Walaupun kenderaan Proton hari ini tidaklah sebegitu rupa lagi namun hasil dari pengalaman memiliki kendaraan nasional ini maka rata-rata pengguna mempunyai rasa sangsi terhadap kenderaan buatan Malaysia.

Apatah lagi apabila ianya dilindungi oleh kerajaan melalui duti import membuatkan kereta lain harganya melambung.

Berdasarkan congak kasar dapat kita lihat bahawa jumlah pengguna yang hampa adalah agak tinggi, berumur dalam lingkungan boleh mengundi dan nampak akan masih lagi hidup bila sampai waktu musim pilihan raya.

Kempen ‘Turun Harga Kereta’

Barangkali sebab itulah Parti Keadilan Rakyat (bukan Pakatan Rakyat) memulakan kempen ‘Turun Harga Kereta’. Janji mereka kepada pengundi sekiranya mereka mendapat mandat untuk melangkah ke Putrajaya.

Pasti tindakan ini amat popular di kalangan pengundi. Mana tidaknya, pasti ramai yang sudi untuk memiliki sebuah kenderaan Jerman yang berkualiti tinggi pada harga yang lebih murah. Kini tidak lagi mereka perlu menggantikan logo Proton dengan pelekat jenama lain.

Namun selaku pemilik Proton Satria yang sering perasan bahawa dia sedang memandu kereta Porsche dua pintu, saya mempunyai rasa sangsi akan dasar yang diperkenalkan PKR ini.

Jangan salah faham saya sendiri pun suka kalau kereta menjadi semakin murah dan dapat kita lihat janji dan kempen PKR untuk menurunkan harga kereta mempunyai tarikan dan manfaat tersendiri.

Cuma yang membuatkan saya merasa sangat sangsi ialah menurunkan harga kereta bukanlah satu-satunya janji mereka. Malah kalau dilihat dasar-dasar yang diperkenalkan mereka melalui Buku Jingga dan ceramah-ceramah dapat kita lihat secara menyeluruh (holistic) terdapat suatu masalah yang sangat kritikal dalam dasar-dasar dan janji mereka.

Industri automotif tempatan

Saya tahu alasan untuk melindungi industri automotif tempatan yang melibatkan tenaga kerja, penyelidikan teknologi dan penghasilan pakar kejuruteraan tempatan tidak akan diterima oleh saudara-saudari sekelian terutama pengguna Honda atau Toyota yang tidak pernah jemu mengutuk kereta buatan Malaysia.

Namun kali ini saya mengajak pembaca sekelian untuk melihat perkara ini dalam sudut yang berbeza, sudut yang lebih menyeluruh, pandangan jangka panjang dan menilai akan kebijaksanaan dalam penentuan dasar.

Perlu diingat bahawa PKR bukan sahaja menjanjikan dasar penurunan harga kereta. Mereka juga berjanji untuk menurunkan harga minyak dengan drastik serta menghapuskan semua tol dalam negara. Tiga dasar ini berkait antara satu sama lain.

Cuba kita fikirkan secara logik, mudah tanpa melibatkan perkataan-perkataan canggih seperti Transformasi, Reformasi, NKRA, GDP, ETP dan lain-lain.

Bayangkan kalau semua duti kenderaan dihapuskan, harga kenderaan kini akan jauh lebih murah. Ini diikuti dengan harga minyak yang rendah akibat dari subsidi kerajaan yang tinggi seperti yang dijanjikan dan kini semua tol telah dihapuskan, juga melibatkan kos yang sangat tinggi.

Pastinya penggunaan kereta akan meningkat dengan mendadak. Mana tidaknya, buat apa anda menaiki LRT atau menunggu bas lagi, kini anda boleh memandu kereta berkuasa tinggi dengan kos minyak yang murah meluncur di Lebuhraya Duta Ulu Kelang tanpa dikenakan sebarang bayaran tol.

Secara logika akal sudah tentu kita tahu perkara ini pasti berlaku berdasarkan hukum asas penawaran dan permintaan. Maka saban tahun jumlah kenderaan dalam negara akan meningkat, dan apabila jumlah kenderaan semakin meningkat begitu juga dengan jumlah penjualan minyak.

Subsidi minyak meningkat

Jadi subsidi minyak yang terpaksa ditanggung kerajaan semakin meningkat kerana dengan setiap liter yang diisikan dalam kenderaan kerajaan harus tanggung.

Begitu juga dengan kos penyelenggaraan jalanraya, dahulu untuk lebuhraya besar pengguna akan menanggung kos penyelenggaraan manakala jalan persekutuan akan ditanggung oleh kerajaan.

Kini hasil dari janji pemimpin anugerah Tuhan pastinya kerajaan berkebajikan ini akan membayar semua kos ini yang akan meningkat tahun demi tahun.

Duti kenderaan merupakan pendapatan kepada kerjaaan, sumbangan yang besar dalam belanjawan kita, namun kini bukan sahaja kita kehilangan sumber pendapatan malah terpaksa menanggung perbelanjaan yang jauh lebih meningkat hasil dari dasar ini.

Pastinya mereka akan berkata alah sedangkan kerajaan boleh berbelanja berbillion untuk projek mega mengapa perlu berkira-kira berkebajikan kepada rakyat.

Masaalahnya projek-projek mega, sebagai contoh pembinaan KLCC, projek MRT atau pembinaan lapangan terbang Kuala Lumpur (KLIA) adalah perbelanjaan sekali gus.

Sebagai contoh katakanlah kos membina KLCC adalah sebanyak dua billion sama jumlahnya untuk kos untuk menanggung subsidi minyak pada harga baru yang lebih rendah.

Kalau kita guna wang berkenaan untuk bina KLCC, untuk 50 tahun yang akan datang kita akan mempunyai sebuah mercu tanda yang tinggi yang boleh digunakan warga kota.

Kalau kita belanjakan jumlah wang yang sama untuk subsidi minyak tahun ini, tahun depan kita perlu belanja jumlah wang yang sama lagi, malah mungkin lebih lagi kerana jumlah kenderaan akan meningkat.

Jadi cuba kita fikir secara logik dan menyeluruh, tak kisahlah walau apa sekalipun nombor-nombor yang akan dipetik oleh Rafizi Ramli berdasarkan perkiraan imaginasi beliau yang mengatakan kita akan ada lebihan billion-billion kerana pemerintahan mereka yang bebas rasuah, tangkas serta dirahmati Tuhan kerana pemimpin mereka merupakan anugerah sang pencipta.

Sumber pendapatan

Secara mudahnya apa yang akan terjadi ialah kerajaan akan kehilangan sumber pendapatan yang tinggi. Kerajaan juga  terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang jauh lebih banyak kerana tanggungan tol dan minyak dan tanggungan itu akan meningkat tahun demi tahun.

Ini baru hal kereta, belum masuk janji untuk pendidikan percuma, pemberian keuntungan minyak lebih kepada negeri, percuma ini dan percuma itu, mana kita nak dapat duit itu semua? Cukai nak potong, pendapatan semakin rendah tapi belanja nak bertambah?

Memanglah seronok sekiranya harga kenderaan murah yang mana semua kereta import kini berharga rendah, namun di sini kita perlu menilai akan perbezaan dasar, antara dasar yang popular dan dasar yang betul, antara dasar jangka masa pendek atau jangka masa panjang.

Pandangan secara cetek atau pandangan secara menyeluruh. Daripada kita buka pasaran kita begitu sahaja, bukankah lebih bijak kalau kita gunakan ia sebagai tawaran rundingan perdagangan dua hala?

Contohnya kalau Jepun boleh eksport kenderaan mereka ke Malaysia tanpa sebarang duti maka produk kita juga boleh dieksport ke negara mereka tanpa sebarang sekatan. Apa pembaca ingat selama ini Jepun atau Korea sesuka hati membuka pasaran mereka seluas-luasnya seperti cadangan pembangkang kita?

Kadang-kadang kita perlu menilai sesuatu itu bukan semata-mata dari pandangan luaran akan tetapi secara menyeluruh.

Sama seperti Mitsubishi Wiralution, sebagaimana hebat anda letak aksesori kenderaan beserta pelekat lambang Mitsubishi atau kepak dan sayap belakang ala-ala kereta Batman tahun 70an, dari luarnya nampak gak nampak tangkas nampak cantik tapi Wira tetap Wira, janganlah kita menipu diri sendiri.

Zaidel Baharuddin, seorang jurutera elektronik, boleh diikuti di WirawanWeb.com, lipassepi.blogspot.com atau @Sinatra_Z. Beliau adalah kolumnis FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments