Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Hudud dan perlaksanaan: realiti semasa

September 1, 2012

Atitud PAS terhadap isu ketelusan dan korupsi pasti akan membuatkan kepimpinan Umno merasa tidak selesa.

COMMENT

By Pak Sako

Umno telah mempelawa PAS untuk melaksanaan hukum hudud di bawah payung Barisan Nasional (BN). Usaha tersebut tidak realistik dan ditakdirkan gagal.

Ini disebabkan oleh tiga faktor yang fundamental.

Faktor pertama, kemunculan PAS sebagai pemain politik baru bersama Umno akan menggoyahkan formula perkongsian kuasa Barisan Nasional yang berpandukan kaum. PAS dengan 23 kerusi parlimennya mempunyai mandat kuasa yang lebih signifikan berbanding parti Cina MCA (15 kerusi parlimen), parti India MIC (3 kerusi), Gerakan (2) atau ketiga-tiganya sekali.

Ini menimbulkan dilema politik kerana MCA, MIC dan Gerakan perlu dikebelakangkan untuk memberi ruang kepada PAS.

Hasil ini tidak akan diterima oleh penyokong BN terutamanya yang bukan Melayu. Apatah lagi niat PAS dan Umno untuk berhudud semasa MCA menolak hudud. Sebaliknya jika pengagihan kuasa mengikut kepentingan kaum dikekalkan, amanah para pengundi PAS dan prinsip demokrasi pula dikebelakangkan.

Kemungkinan PAS dan Umno bertelingkah mengenai hal perkongsian kuasa dan penentuan polisi sesama mereka juga tidak boleh ditolak.

Faktor kedua ialah pemahaman dan pendekatan politik yang bercanggah. Justeru itu kerjasama PAS-Umno akan mengundang konflik dari sudut-sudut yang sukar didamaikan. Misalnya PAS sejak 1980-an telah menolak penonjolan kaum dan menekankan pendekatan politik yang berpolakan Islam.

Pendekatan Umno masih berlandaskan nasionalisma Melayu. Di sebalik retorik Islam mereka yang lantang, dasarnya padangan dan perilaku para pemimpin Umno masih moderat dan sekular berbanding kepimpinan PAS.

Atitud PAS terhadap isu ketelusan dan korupsi pasti akan membuatkan kepimpinan Umno merasa tidak selesa.

Faktor ketiga yang tidak memungkinkan kerjasama PAS dan Umno berkait dengan kehendak rakyat.

Sebilangan besar rakyat mahukan satu alternatif kepada budaya politik dan cara pembangunan Umno-BN yang amat bersandarkan kaum, kapitalis dan sistem naungan (‘patronage’).

Bunuh-diri politik

Undi masyarakat untuk PAS dan parti-parti pembangkang yang lain mencerminkan keinginan untuk sebuah paradigma baru. Sekiranya PAS mengkhianati kepercayaan masyarakat, akibatnya ialah bunuh-diri politik buat PAS.

Perselisihan di antara PAS dan DAP berkenaan hudud sebenarnya bukan satu jalan mati dan boleh diselesaikan. Cuma PAS perlu bersifat lebih pragmatik.

PAS perlu memberi tumpuan kepada matlamat dan bukan cara semata-mata. Kalau dilihat di dalam konteks asalnya, matlamat hudud ialah untuk mengatasi jenayah-jenayah tertentu yang berlaku di Tanah Arab yang khusus kepada budaya dan zaman tersebut dan disebabkan kelemahan-kelemahan keinstitusian yang berleluasa pada masa itu.

Pendek kata, ia muncul dari proses pencarian langkah-langkah untuk mengatasi jenayah dengan kebolehan yang ada.

Oleh yang demikian soal pelaksanaan apa-apa undang-undang, termasuk hukum hudud, memerlukan ijtihad atau tafsiran yang sesuai dengan situasi zaman sekarang.

Ia perlulah berdasarkan keadaan, kebolehan dan keperluan semasa, perundangan yang sudah sedia ada, penerimaannya oleh segenap lapisan masyarakat dan perlu memperhitungkan sifat dan semangat negara Malaysia yang pluralistik yang berbeza daripada keadaan dan kebiasaan negara-negara Timur Tengah.

Selain perkara-perkara di atas, pengadilan yang saksama untuk setiap warga Malaysia tidak kira Muslim atau bukan Muslim merupakan satu aspek yang perlu diambil serius. Para pemimpin juga harus menerima hakikat bahawa bukan seluruh kaum Muslimin di Malaysia mahukan perlaksanaan hukum hudud, termasuk mereka-mereka yang cukup terdidik mengenainya. Aspek demokratik ini tidak harus diremeh-temehkan.

Ini selari dengan tema cadangan yang misalnya diberikan oleh bekas mufti Perlis Mohd Asri Zainal Abidin baru-baru ini.

Kesediaan PAS untuk melangsungkan dialog berdasarkan pemahaman seperti di atas lebih bermakna dan mampu membuahkan hasil.

Jika PAS berhasrat menduduki tampuk pemerintahan negara, PAS perlu mengamalkan pendekatan baru kepada falsafah Islam yang selari dengan hasrat ini.

PAS perlu meyakinkan penyokong-penyokong akar umbinya akan realiti politik ini.

Artikel ini adalah terbitan semula dari laman web http://english.cpiasia.net/


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments