Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Umno masih tidak sedar perjuangannya gagal

September 8, 2012

Apabila kuasa sudah berada di tangan pimpinan itu, Umno mula naik nafsu dan keinginan hendak menjadi kaya-raya itu mula bersemi.

COMMENT
Bahagian 2
Oleh Aspan Alias

Sesungguhnya saya begitu terasa dan yakin bahawa kegagalan pimpinan Umno dalam menterjemahkan kejayaan sebagaimana yang telah terancang dan dipersetujui bersama di kalangan semua kaum dahulu, terbantut kerana masing-masing hendak menunjukkan kelainan gaya dan stail kepimpinan mereka.

Oleh itu kerana pucuk pimpinan post Hussein Onn mengambil kepentingan untuk menunjukkan kelainannya telah membantutkan perancangan jangka panjang untuk mengimbangi penguasaan kekayaan negara di antara kaum seperti yang telah dirancang oleh kerajaan itu.

Saya menyebut kenyataan ini dengan fakta dan statistik rasmi kerajaan yang penguasaan bumiputra dalam bidang perdagangan dan perindustrian telah meningkat di zaman kepimpinan Tun Razak dan Hussein Onn.

Peningkatan penguasaan bumiputra dari 2.7 peratus pada tahun 1970 kepada 18.4 peratus pada 1984 itu adalah sangat memberangsangkan kita semua semasa itu.

Tetapi sejak 1984 sehingga Mahathir bersara pentadbirannya hanya mampu untuk menambah sebanyak 1 peratus sahaja di atas 18.4 peratus yang di capai sebelum Daim mengambil alih teraju pembangunan ekonomi negara. Sehingga sekarang peratusan itu tidak melebih 20 peratus. Apakah itu kejayaan Mahathir? jawablah sendiri.

Tetapi semuanya terbantut setelah Dr Mahathir mengambil alih tampuk kepimpinan, kerana beliau telah mengalihkan arah dan proses pembangunan negara ke arah yang jauh dari apa yang telah dianjurkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Semasa beliau mengambil alih hanya tinggal 10 tahun jangkamasa pencapaian matlamat pegangan 30 peratus bagi bumiputra dalam kekayaan negara dan memang masih mempunyai masa untuk mencapainya menjelang 1990 dahulu. Tetapi sasaran itu tidak juga tercapai sehinggalah hari ini.

Mahathir mangambil masa hampir lima tahun untuk menukar segala-galanya dari memberikan fokus kepada pelaksanaan DEB kepada dasar pembangunan jangka panjang.

Mahathir tidak boleh membelakangkan DEB secepat yang beliau inginkan kerana di dalam kepimpinan beliau pada awalnya masih ramai lagi ahli-ahli kabinetnya yang masih mempunyai budaya dan cara berfikir yang mendasarkan segala tindakan yang bersistem yang kekal dan kuat.

Maka DEB masih terlaksana sehinggalah Tengku Razaleigh dialihkan ke Kementerian Perdagangan dan Perindustrian. Tempat beliau di Kementerian Kewangan (MOF) diambil alih oleh Daim Zainuddin, sahabat Dr Mahathir.

DEB terbantut

Mahathir melantik Daim secara ‘unorthodox’ kerana beliau bukanlah ahli Legislatif yang dipilih oleh rakyat tetapi hanya seorang Ahli Dewan Negara semasa beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan pada Jun 1984 itu.

Sejak dari itulah DEB diabaikan kerana peneraju dan pemandu kepada DEB, Tengku Razaleigh sudah tidak lagi memegang Kementerian Kewangan dan mempunyai pengaruh dalam kabinet kerana Mahathir sudah mempunyai sahabat kepercayaan beliau untuk mengubah hala tuju perjuangan kita untuk melaksanakan DEB. Maka DEB terbantut dari saat itu.

Segala-gala yang kita lihat sekarang ini bermula dari saat itu. Apakah dia perubahan-perubahan yang saya sebutkan itu tadi?

Buat pertama kalinya negara dipimpin oleh orang biasa malahan semasa itu gandingan Mahathir dengan Musa dipanggil sebagai gandingan 2M. Ia telah menjadi ‘brand’ pentadbiran kita. Kita semasa itu mendengar dalam kaca TV dan radio bercakap pasal 2M. Di sana 2M di sini 2M. Tak kering tekak 2M..2M dan 2M.

Tetapi gandingan 2M ini berkecai juga dan perpecahan Musa dengan Mahathir bukan tidak dijangkakan. Tidak ada sesiapa yang boleh kekal dengan Mahathir jika mempunyai pandangan yang berbeza walaupun sedikit.

Satu nilai yang mula terlihat apabila Mahathir mula mengambilalih pimpinan negara, perasaan tanggungjawab terhadap rakyat sudah mula meluntur kerana sejak itu sudah wujud sikap pimpinan hendak menjadi orang kaya-raya dan sudah ada kecenderungan yang rasuah akan menjadi budaya kepimpinan negara.

Ia telah bermula dalam kadar yang agak kecil semasa setahun dua beliau (Mahathir) mengambil alih kerajaan.

Apabila kuasa sudah berada di tangan pimpinan itu, Umno mula naik nafsu dan keinginan hendak menjadi kaya-raya itu mula bersemi.

Masing-masing sudah mula menitik air liur seperti anjing nampak tulang, maka rasuah pun bermula dengan cara yang amat sistematik.

Ia dilakukan dengan menggunakan nama pengswastaan, mengkorporatkan jabatan-jabatan yang menguntungkan, pengswastaan dan sebagainya.

Alasan untuk melakukan perkara-perkara yang saya sebutkan itu ialah untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran dan bermacam-macam alasan yang digunakan untuk menghalalkan tindakan rasuah dan salahguna kuasa itu.

Slogan ‘Bersih, Cekap, Amanah’

Masa itu jugalah slogan ‘bersih, cekap dan amanah’ diwar-warkan dan dipromosikan dengan meluas. Akhirnya ternyata ‘bersih’nya tidak ada, ‘cekap’nya entah ke mana dan ‘amanah’nya jauh sekali kedapatan selama beliau (Mahathir) mentadbir negara selama 22 tahun itu.

Kalaulah slogan itu berjaya dilaksanakan, masakan rasuah begitu hebat berlaku seperti sekarang ini?

Bukan tidak ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan Dr Mahathir membendung segala unsur rasuah ini. Ramai di kalangan pemimpin-pemimpin Umno peringkat bahagian dan yang lain-lain. Ramai pemimpin yang begitu runsing dan resah menyaksikan Dr Mahathir sudah mula bermaharajalela itu.

Malahan setengah dari ahli kabinet telah berpakat untuk menyingkirkan Dr Mahathir semasa itu sehingga berlakunya pertandingan jawatan Presiden Umno semasa itu bagi mengelakkan unsur-unsur kemungkaran ekonomi dan politik terus berlaku di depan mata dan kepala rakyat semasa itu.

Apabila beliau berjaya mempertahankan jawatan Presiden Umno dengan majoriti tipis, Mahathir tidak lagi merasa senang kerana keputusan itu memberikan makna yang beliau tidak lagi mempunyai sokongan yang padu dari ahli-ahli Umno.

Mahathir merasakan sistem yang ada dalam negara ini tidak memungkinkan beliau boleh bertahan lama, maka beliau telah membinasakan segala sistem demokrasi yang ada untuk kepentingan politik peribadi beliau.

Sistem demokrasi yang lazim diamalkan oleh mana-mana negara berdemokrasi tidak sesuai dengan Dr Mahathir. Semua sistem itu digantikan dengan sistem beliau sendiri. Beliau berkata, kita ada sistem demokrasi acuan sendiri dan berbagai-bagai lagi falsafah politik baru ciptaan Mahathir.

Lazimnya jika sistem sudah terbentuk walaupun seorang Perdana Menteri yang melanggarnya, sistem itu tetap utuh dan Perdana Menteri itu terpaksa mengundurkan diri. Bagi Mahathir jika sistem itu menghalang kehendaknya sistem itu yang terpaksa pergi. Itulah demokrasi acuan sendiri (Mahathir) yang selalu dilaung-laungkannya itu.

Jika kita serius hendakkan perubahan untuk keselamatan kita dan generasi kita, rakyat harus menolak pemimpin-pemimpin atau parti yang berada dalam sistem yang tidak bersistem itu. Sistem Mahathir ini sudah menjadi budaya yang telah diwariskan kepada pemimpin- pemimpin selepas beliau.

UMNO mentadbir negara tanpa sistem yang kekal seperti negara-negara demokrasi yang lain. Kita ditadbir oleh pemimpin-pemimpin yang membawa cara pentadbiran sistem peribadi individu pemimpin itu.

Apabila mendapat pemimpin yang lemah seperti sekarang maka rakyatlah yang menanggung akibatnya. – http//wwwaspanaliasnet.blogspot.com

Bersambung lagi esok.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments