Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Tentang penguasaan bahasa

 | September 11, 2012

Usaha memupuk minat terhadap Bahasa Malaysia tidak akan berjaya jika sekadar berorientasikan peperiksaan.

COMMENT

Semasa saya tinggal di Aulong Lama, Taiping, Perak, saya mengendalikan kelas tambahan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Matematik bagi sekumpulan kanak-kanak dan remaja.

Kelas tambahan itu dijalankan atas permintaan jiran-tetangga memandangkan saya dilihat sebagai individu yang mempunyai penguasan yang memuaskan dalam mata pelajaran terbabit.

Bagaimanapun, bagi saya secara peribadi, saya melihatnya sebagai peluang untuk memupuk minat pelajar terhadap bahasa. Saya percaya bahawa usaha saya tetap meninggalkan kesan kerana rata-rata bekas pelajar saya dari Aulong Lama mempunyai penguasaan Bahasa Malaysia yang baik.

Mereka dan adik-beradik mereka masih memanggil saya sebagai “Cikgu” hingga hari ini. Semuanya kerana usaha kecil-kecilan saya menyuntikkan semangat mencintai dan menguasai Bahasa Malaysia sejak usia muda.

Sejak April 2004, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengendalikan program yang dinamakan “Apresiasi Sastera Kanak-kanak” dan “Apresiasi Sastera Remaja”. Program dikendalikan di sekolah rendah dan menengah serta di kolej swasta sebagai serampang dua mata memasyarakatkan sastera dan mendaulatkan Bahasa Malaysia.

Sambutan yang diterima daripada guru dan murid sekolah jenis kebangsaan Tamil – seperti SJKT Hicom, SJKT Seafield, SJKT Midlands dan SJKT Emerald – amat menggalakkan.

Pendirian saya dan Kavyan adalah bahawa minat terhadap bahasa, sastera dan pembacaan tidak boleh dipaksa. Melalui program yang dikendalikan, kami berjaya mencapai objektif mendaulatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu.

Tuntutan sistem pendidikan

Walau bagaimanapun, lama-kelamaan, tuntutan sistem pendidikan di negara ini memaksa pihak sekolah lebih berminat menumpukan pada aspek Bahasa Malaysia sebagai suatu mata pelajaran semata-mata. Bukan salah pihak sekolah dan guru-guru. Sebaliknya, demikianlah tuntutan sistem pendidikan di negara bertuah ini.

Maka, buat sementara waktu, Kavyan terpaksa mengubah suai program yang dikendalikan. Nyanyian lagu “Rasa Sayang” dan sesi membaca petikan cerpen oleh murid-murid didapati kurang mendapat sambutan daripada guru besar dan guru-guru.

Sebaliknya pihak sekolah – mahu tidak mahu – terpaksa menumpukan pada program-program yang menjanjikan keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia pada peringkat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Kavyan tetap yakin bahawa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia yang berorientasikan peperiksaan/ujian hanya akan melahirkan “robot” yang mampu mendapat ‘A’ tetapi tidak menguasai bahasa itu sepenuhnya.

Malah, walaupun berjaya menghafaz dan memuntahkan semula semua maklumat di dewan peperiksaan serta mendapat keputusan cemerlang, tidak bermakna pelajar/murid itu mencintai Bahasa Malaysia dan mahu sama-sama memartabatkannya.

Di pihak Kavyan pula, mulai 2010, kami mengubah – menjenamakan semula – Apresiasi Sastera Kanak-kanak dan Bengkel Penulisan Cerpen Kanak-kanak menjadi Bengkel Cereka UPSR. Hasilnya cukup menggembirakan kerana kami berpeluang membimbing murid-murid menulis karangan cereka yang bermutu pada peringkat UPSR.

Harapan kami adalah agar objektif asal Apresiasi Sastera Kanak-kanak masih dapat dicapai; iaitu memupuk minat membaca, menggalakkan penulisan kreatif dan mendaulatkan Bahasa Malaysia.

Bukan untuk peperiksaan

Sejak Mac 2012, saya juga terlibat secara langsung dalam mengendalikan kelas tambahan Bahasa Malaysia bagi sekumpulan kanak-kanak di USJ, Subang Jaya. Kelas itu dimulakan atas pemintaan ibu bapa yang mengenali saya sebagai seorang penulis dan individu yang mencintai Bahasa Malaysia.

Sejak awal, saya sudah memaklumkan bahawa saya tidak akan mengajar kumpulan kanak-kanak berumur antara 8 dan 12 tahun itu bagi tujuan peperiksaan semata-mata. Sebaliknya, saya akan membimbing mereka mencintai Bahasa Malaysia, memupuk minat membaca buku cerita, menggalakkan penulisan kreatif dan menguasai Bahasa Malaysia sepenuh jiwa.

Lima bulan kemudian, saya berasa bangga dengan hasil yang diperoleh. Memandangkan kanak-kanak terbabit tidak pernah dipaksa untuk menghafaz sesuatu semata-mata untuk lulus peperiksaan, akhirnya mereka berjaya menguasai Bahasa Malaysia pada tahap yang membanggakan.

Khirthika Kalai Selvan, murid Tahun 2, mampu menulis karangan, membaca buku/majalah dan membicarakan topik-topik yang setaraf UPSR. Dia bukan hanya cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia tetapi mampu menguasai bahasa itu dengan amat baik.

Murid Tahun 5, Khishaayini Sures Maran sebelum ini selalu gagal dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Saya sedar bahawa dia sedikit lemah, lalu berusaha membimbingnya serta memberikan sokongan moral. Kini, pencapaiannya dalam mata pelajaran itu bertambah baik, sekali gus membuatkan dia semakin yakin pada kemampuan yang dimilikinya.

Kedua-dua kanak-kanak ini mengakui bahawa kelas tambahan yang tidak terlalu berorientasikan peperiksaan/ujian membuatkan mereka berasa seronok dan berminat menguasai Bahasa Malaysia dengan lebih baik.

Sesi membaca buku cerita dan majalah, permainan bahasa dan perbualan topik-topik di luar sukatan pelajaran turut membantu mereka berasa lebih selesa dan yakin menggunakan Bahasa Malaysia untuk berkomunikasi.

Proses pengajaran dan pembelajaran

Seorang lagi murid Tahun 4, Taanis Naidu Rathnasamy Naidu turut mendapat markah dan keputusan yang lebih baik dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia sejak menjadi murid saya. Dia menganggap kelas saya sangat lucu dan menyeronokkan.

Memang begitulah hasrat saya. Saya mahu supaya seluruh proses pengajaran dan pembelajaran bahasa menjadi suatu pengalaman yang menyeronokkan dan lebih cepat menyerap ke dalam minda dan jiwa. Bukannya sesi menghafaz itu dan ini semata-mata untuk dimuntahkan pada kertas peperiksaan/ujian.

Rishika Sures Maran akan menduduki UPSR pada 11-13 September 2012. Dia mengakui bahawa kelas yang diikutinya banyak membantu untuk lebih yakin pada diri dan kemampuan berbahasa. Aktiviti membaca buku cerita, perbincangan pelbagai topik, panduan penulisan dan latihan yang dibuat berjaya menyuntik semangat positif dalam dirinya.

Dari 1999 hingga 2007, saya turut berpengalaman menjadi pensyarah di beberapa kolej swasta. Mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pengajian Malaysia menjadi bidang tumpuan. Pada waktu itu juga saya sentiasa memastikan bahawa apa-apa yang diajar dan dipelajari tidak sekadar berorientasikan peperiksaan.

Hasil daripada pengalaman membimbing pelajar pelbagai peringkat sejak awal 1990-an, saya yakin bahawa cara terbaik untuk menjamin penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan kanak-kanak pelbagai kaum adalah dengan membantu mereka mencintainya bahasa itu; bukan semata-mata sebagai suatu mata pelajaran bagi tujuan peperiksaan.

Uthaya Sankar SB gemar membaca buku cerita Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris sejak sekolah rendah. Minat itu masih diteruskan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments