Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Penulis dan semangat Bangsa Malaysia

 | September 17, 2012

Secara langsung dan tidak langsung, golongan penulis memainkan peranan penting ke arah pembinaan negara bangsa.

COMMENT

Sempena sambutan Hari Malaysia kali ini, saya memilih untuk memperkatakan beberapa perkara yang meninggalkan kesan di hati saya mengenai sejumlah penulis yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia dengan semangat Bangsa Malaysia.

Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan pernah menjadi Penasihat Kehormat Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 2003 selepas Dr Othman Puteh meninggal dunia.

Bagaimanapun, wartawan akhbar Berita Harian, Salbiah Ani melaporkan pada 12 Julai 2007 bahawa “Dr Anwar membuat keputusan mengundur diri sebagai Penasihat Kavyan berkuat kuasa serta-merta kerana terkejut dengan kandungan sajak yang ditulis Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB.”

Namun begitu, Dekan Fakulti Penulisan Aswara itu masih bersikap profesional dan tidak pula berpatah arang dengan Kavyan berikutan hasutan yang dilakukan puak anti-Kavyan.

Malah, bagi acara “Jom Kenali Sasterawan Negara Anwar Ridhwan” pada 24 Mac 2010, saya diundang sebagai moderator.  Beliau turut mengundang saya ke “Seminar Sastera Pelbagai Kaum” di Aswara pada 6 & 7 September 2012.

Dr Anwar pernah menjadi profesor pelawat di Tokyo University of Foreign Studies (1997-2000). Sebelum bertolak ke Jepun, beliau memanggil saya ke pejabatnya di DBP dan menasihatkan saya supaya mengekalkan gaya penulisan dan jati diri agar dapat terus menyerlah sebagai seorang pengarang penting tanah air.

Walaupun menang pelbagai anugerah serta karya beliau diterjemah ke pelbagai bahasa antarabangsa, sasterawan kelahiran Sungai Besar, Selangor ini tetap merendah diri dan pertuturannya penuh santun. Itu adalah salah satu ciri istimewa Dr Anwar yang menjadi sebutan ramai.

Nilai-nilai murni

Sementara itu, saya mengenali Dr Kamariah Kamarudin semasa kami sama-sama belajar di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya pada tahun 1990-an. Persahabatan dan persaudaraan kami menjadi lebih erat apabila sama-sama menyambung pengajian di Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Aspek paling menonjol pada diri Kamariah – saya memanggilnya “Mak Cik” sejak dahulu sementara dia pula memanggil saya “Pak Cik” – adalah bahawa dia sentiasa tersenyum walaupun berhadapan dengan masalah.

Sepanjang saya mengenalinya, Kamariah juga mengekalkan ciri-ciri dan jati diri Melayu serta menjadikan Islam sebagai pegangan hidup. Pada masa sama, dia tidak ada apa-apa masalah untuk bergaul mesra serta berkongsi pandangan dengan rakan-rakan pelbagai kaum dan agama.

Sebagai seorang penulis, Kamariah menghasilkan novel dan cerpen yang menonjolkan nilai-nilai murni yang ditulis dengan penuh sedar untuk mendidik/membimbing generasi muda ke arah kebaikan.

Karya terbaru Kamariah yang saya baca adalah buku ilmiah “Takmilah dalam Novel Melayu” iaitu kajian peringkat kedoktoran yang dilakukan secara mendalam dan menyeluruh dengan mengaplikasikan Teori Takmilah bertunjangkan Islam.

Sebagai seorang pensyarah, Kamariah turut berusaha membimbing mahasiswa di Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menghasilkan karya kreatif. Hal ini mengingatkan saya kepada Dr Othman yang melakukan perkara sama di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sehingga akhir hayatnya.

Interlok jadi sebutan

Nama Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) pula tiba-tiba menjadi sebutan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat mulai akhir 2010 berikutan kontroversi novel “Interlok: Edisi Murid” yang dijadikan teks Komsas di sekolah.

Seperti mana yang saya dan Kavyan tegaskan sejak awal, Pak Lah tidak bersalah dalam isu yang timbul. Sebaliknya, hasil penelitian dan kajian lapangan, saya meletakkan tanggungjawab itu sepenuhnya pada pihak penerbit dan kementerian yang gagal menangani teks berkenaan secara profesional dan bermaruah sebelum dijadikan teks wajib di sekolah.

Akibatnya, Pak Lah menjadi mangsa kata-kata orang ramai yang menyangka novel itu adalah karya yang baru ditulis tanpa memahami sentimen agama dan sensitiviti kaum. Kemudian, ada pula pihak tertentu yang memanipulasi keadaan untuk mencetuskan ketegangan berbentuk perkauman demi kepentingan peribadi; kononnya demi “maruah penulis”.

Sepanjang saya mengenali Pak Lah, beliau seorang yang sangat lemah-lembut, bersopan-santun dan berusaha gigih memahami budaya masyarakat pelbagai kaum dan agama. Pengalaman serta pandangan beliau terhadap hidup dituangkan secara penuh seni dalam bentuk cerpen dan novel. Cerpen-cerpen beliau dalam “Dari Kota ke Kota” (1977) yang saya baca pada zaman persekolahan masih menjadi kegemaran saya.

Harapan saya agar insiden hitam yang berlaku dalam isu “Interlok: Edisi Murid” menjadi pengajaran kepada pemerintah dan pihak terbabit supaya tidak lupa akan tanggungjawab memperkenalkan para Sasterawan Negara kepada masyarakat di seluruh negara (termasuk Semenanjung Malaysia) secara berterusan.

Membimbing melalui blog

Dalam pada itu, saya mula mengenali nama Azmah Nordin pada tahun 1990-an apabila karya kami sama-sama dimuatkan dalam beberapa antologi cerpen selenggaraan Dr Othman.

Pengarang wanita kelahiran Kulim, Kedah ini bermastautin di Sabah sejak 1973 dan mula terlibat dalam bidang penulisan mulai 1985. Beliau memang seorang individu yang sangat pemalu. Namun, ini bukan pula bermakna beliau tidak mesra atau tidak suka bergaul dengan orang.

Daripada pengalaman saya sendiri, memanglah Azmah kurang bercakap apabila kami mula-mula bertemu. Apabila sudah berkenal-kenalan, maka beliau lebih selesa untuk berbual. Beliau juga kurang berkongsi kisah mengenai pelbagai rintangan dan masalah hidup yang dilaluinya. Sikap merendah diri dan pemalu yang menjadi peribadi Azmah mungkin membuatkan sesetengah pihak menganggap beliau sedikit sombong tetapi tanggapan itu adalah tidak benar.

Penulis prolifik ini menang SEA Write Award pada 2009 selain pelbagai anugerah peringkat negeri Sabah dan kebangsaan sejak 1988. Beliau ternyata membuat kajian mendalam dan teliti sebelum menghasilkan sesebuah karya.

Azmah turut menggunakan blog dan laman rangkaian sosial Facebook untuk membimbing generasi mudah yang berminat mendalami bidang penulisan kreatif. Ringkasnya, walaupun Azmah kurang menonjolkan diri di khalayak ramai atau di acara sastera, beliau terus prolifik menghasilkan karya bermutu yang sama-sama mencorakkan peta sastera tanah air.

Legasi Usman Awang

Setiap kali sambutan Hari Guru, sajak “Guru Oh Guru” (1979) karya Sasterawan Negara Datuk Usman Awang (Allahyarham) pasti mendapat perhatian. Selain daripada dibacakan pada majlis di sekolah, sajak penuh makna itu juga sering disiarkan semula di majalah, dijadikan poster di sekolah dan disiarkan menerusi televisyen.

Sajak “Keranda 152” juga sering diperkatakan dan dilaungkan orang apabila berbicara soal bahasa. Biasanya kesemua perkara ini dilakukan tanpa mengambil kira hak cipta, hak moral dan hak royalti pengarang. Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa kesemua hak cipta karya Usman Awang dipegang dan dipelihara oleh UA Enterprises Sdn Bhd.

Malah, cukup menyedihkan apabila pertubuhan penulis juga seperti sudah melupakan sumbangan arwah; khususnya pada saat waris beliau menghadapi masalah hilang hak cipta “Muzikal Uda & Dara” baru-baru ini.

Amatlah malang jika generasi muda tidak didedahkan pada karya-karya sasterawan ini yang berjiwa Malaysia dan tidak melihat pada kaum, agama dan warna kulit. Walau bagaimanapun, agak menarik untuk diperhatikan bahawa Usman Awang terus menjadi idola dalam kalangan guru dan murid/pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Bagi memastikan legasi Usman Awang tidak lenyap begitu sahaja, saya pernah menulis mengenai beliau di akhbar Sinar Harian (29 Jun 2009) selain menyampaikan kertas kerja mengenai karya-karya beliau (19 Jun 2010). Kavyan turut mengangkat sajak-sajak beliau menerusi acara “Baca Puisi Sasterawan Negara” (19 Julai 2009).

Walaupun saya tidak pernah berpeluang bertemu Allahyarham semasa hayatnya, saya melakukan semua ini kerana saya amat terkesan apabila berpeluang membaca sajak “Guru Oh Guru” buat kali pertama pada tahun 1984. Semoga legasi Usman Awang tidak akan terkubur akibat kekhilafan pihak yang sama-sama bertanggungjawab memeliharanya.

Menulis dalam dua bahasa

Antara penulis kaum India yang sudah pun aktif berkarya dalam Bahasa Malaysia sebelum saya ialah M. Mahendran. Saya mula mengenali penulis yang berasal dari Bentong, Pahang ini menerusi cerpen-cerpennya yang menang Hadiah Cerpen Maybank-DBP seawal 1988.

Mahendran turut menggunakan nama pena “M. Prabhu” dalam penulisan cerpen Bahasa Tamil sejak 1987. Sebagai pengarang yang menguasai Bahasa Malaysia dan Bahasa Tamil – secara lisan dan bertulis – Mahendran berupaya berkarya dengan selesa dalam kedua-dua bahasa berkenaan.

Cerpen Bahasa Tamil yang dihasilkannya sering menghiasai dada akhbar dan majalah manakala cerpen Bahasa Malaysia mendapat tempat dalam majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kumpulan Media Karangkraf. Karyanya juga termuat dalam beberapa buku bersama-sama penulis-penulis lain; misalnya antologi Vanakam (2002).

Saya mula mengenali pemuda ini secara peribadi sejak sekitar 1994 apabila beliau menghubungi saya untuk menulis sebuah rencana mengenai saya di sebuah majalah Bahasa Tamil. Malah, Mahendran yang berbakat besar dan sangat merendah diri adalah salah seorang individu penting yang terlibat sama dalam mengasaskan Kavyan pada 22 Ogos 1999.

Namun, belakangan ini beliau sudah jarang menulis dan perkara ini adalah amat menyedihkan dalam konteks perkembangan sastera kebangsaan. Jumlah penulis kaum India yang mampu menyajikan budaya kaum India menerusi karya Bahasa Malaysia tidak ramai dan tentulah amat merugikan sekiranya Mahendran menggantung pena pada saat khidmatnya masih amat diperlukan.

Semoga pengarang Malaysia daripada pelbagai latar budaya terus gigih mewarnai peta sastera kebangsaan. Selamat Menyambut Hari Malaysia!

Uthaya Sankar SB menulis secara profesional sejak 1992. Novel terbarunya berjudul “Panchayat: Edisi Khas”.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments