Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Kesabaran kami ada had

 | February 25, 2013

Jangan terus meluku apabila mangsa tunduk dan mangsa pula jangan terus tunduk apabila diluku.

COMMENT

Pada penelitian saya, selewat-lewatnya sejak awal tahun 2008 – menjelang Pilihan Raya Umum Ke-12 – kebanyakan penduduk kaum India di negara ini sudah mula menyedari dan menggunakan hak mereka untuk bersuara.

Hakikat yang boleh dipertikaikan tetapi tidak boleh dinafikan adalah bahawa di Malaysia, kumpulan-kumpulan minoriti masih menjadi mangsa penindasan, kezaliman, diskriminasi, ketidakadilan dan penipuan oleh pihak yang “ada kuasa”.

Saya berpendirian bahawa golongan minoriti seperti ini amat memerlukan ruang untuk bersuara. Secara lebih khusus, kaum India memerlukan kekuatan untuk berani menuntut apa-apa yang sebenarnya memang menjadi hak mereka menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Wasiat Raja-raja Melayu (5 Ogos 1957).

Satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi ialah Nabi Muhammad s.a.w. dan seperti diriwayatkan Abu Daud, baginda pernah bersabda:

“Berwaspada! Barang siapa yang menzalimi dan mengasari kelompok minoriti Bukan Islam, menyekat hak mereka, membebankan mereka dengan lebih daripada apa yang mampu mereka tanggung, atau merampas apa sahaja daripada mereka tanpa izin; maka aku akan mengadu terhadap orang itu pada Hari Pembalasan.”

Dalam pada itu, seperti diakui dalam agama Islam, Hindu dan semua agama seluruh dunia, Tuhan akan memakbulkan doa orang yang tertindas atau dizalimi. Dalam hal ini, saya percaya bahawa doa golongan kaum India di Malaysia juga akan didengar dan dimakbulkan-Nya.

Walaupun “maru malarchi” – kebangkitan semula; revival – mula menampakkan bibit selewat-lewatnya pada tahun 1999, semangat reformasi dalam kalangan kaum India yang bermaruah (ingat: yang bermaruah sahaja) semakin hebat menjelang akhir tahun 2007. Perhimpunan Hindraf (25 November 2007) serta Perhimpunan Bersih (10 Julai 2011) menjadi antara bukti nyata.

Kuasa yang ditunjukkan oleh masyarakat awam melalui undi pada PRU-12 menambahkan keyakinan kaum India terhadap kemampuan “makkal sakhti” iaitu “Kuasa Rakyat” atau apa yang saya gelarkan sebagai The Third Force.

Suara dan keberanian kaum India yang tidak rela diperkotak-katikkan dan diperlakukan sesuka hati juga terpancar semasa kontroversi novel Interlok: Edisi Murid sepanjang tahun 2011. Khususnya apabila ada pihak yang bermati-matian mahu mengekalkan novel berkenaan sebagai teks wajib Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) walaupun terbukti terdapat pelbagai perkara yang menyentuh sensitiviti dan menjatuhkan maruah kaum India.

Akhirnya MIC tunduk pada desakan (pujukan?) pihak tertentu dengan meluluskan percetakan semula novel itu dengan pindaan minimum yang tidak selaras apa yang dijanjikan oleh Menteri Pelajaran tersayang, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat pada Mac 2011.

Usaha menjahanamkan impian Najib

Untuk rekod, MIC adalah sebuah parti politik di Malaysia yang mengiktiraf sendiri kedudukannya sebagai parti politik tunggal yang kononnya layak mewakili kaum India dalam komponen Barisan Nasional (BN). Mujurlah tidak semua penduduk kaum India berpendirian demikian; khususnya generasi muda yang menolak parti politik berasaskan kaum.

Isu terbaru yang cuba “menguji” tahap kesabaran kaum India adalah sebuah rencana bertajuk “Kesabaran umat Islam ada had” oleh Ridhuan Tee Abdullah (Tee Chuan Seng) yang disiarkan di akhbar Sinar Harian (18 Februari 2013).

Rencana itu secara terang-terangan menggunakan isu kontroversi filem Vishwaroopam (2013) sebagai “alat” untuk Chuan Seng mengutuk, menghina dan menjatuhkan maruah kaum India beragama Hindu di Malaysia. Ringkasnya, lelaki mualaf (Cina-Muslim) itu ternyata sedang cuba menjahanamkan semangat perpaduan, persefahaman, tolak ansur dan saling menghormati yang sedang diperjuangkan oleh Perdana Menteri tercinta, Datuk Seri Najib Razak dalam keadaan amat terpaksa menjelang tarikh PRU-13.

Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan, Sivarraajh Chandran mengeluarkan kenyataan media yang turut disiarkan di media alternatif pada 19 Februari 2013. Beliau menyeru masyarakat pelbagai kaum dan agama memulaukan Chuan Seng dan mana-mana penerbit yang tetap menerbitkan/menyiarkan tulisannya pada masa hadapan.

Kenyataan Malaysia Hindu Sangam (MHS) berhubung perkara sama disiarkan (antara lain) di akhbar Malaysia Nanban pada 21 Februari 2013. Reaksi orang ramai – kaum India dan Bukan Kaum India; penganut Hindu dan Bukan Hindu – juga diluahkan menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter.

Keberanian untuk bersuara mewakili golongan minoriti (kaum India) dalam isu-isu seperti ini mungkin amat kurang dan jarang sebelum tahun 2008. Maka, hakikat yang nyata dan membanggakan adalah bahawa rakyat Malaysia semakin bersatu sebagai “Bangsa Malaysia” sejak PRU-12 dan tidak bersedia membiarkan mana-mana kaum/agama dizalimi, ditindas, dihina dan diperlakukan secara tidak berperikemanusiaan oleh mana-mana pihak; termasuk pemerintah.

MIC yang sebelum ini menjadi “tuan kecil” yang paling berkuasa menentukan nasib dan masa depan kaum India juga terbukti tidak lagi mampu mengatasi “Kuasa Rakyat” – The Third Force – yang sudah berani untuk bersuara mengikut hak dan kuasa yang diberikan secara sah oleh undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Terbaru, Pengarah Strategi MIC, Vell Paari mengirim surat kepada presidennya, Datuk G Palanivel untuk mendesak supaya tindakan segera diambil terhadap perbuatan Chuan Seng menghina orang India-Hindu dan Ibrahim Ali (Presiden Perkasa) yang menghasut orang Islam membakar Al-Kitab pada Januari 2013.

Surat terbuka itu turut disiarkan di Free Malaysia Today (22 Februari 2013) supaya mampu dibaca oleh orang ramai. Vell Paari dengan tegas mengatakan bahawa jika tiada tindakan diambil terhadap Chuan Seng dan Ibrahim Ali, maka beliau akan mengetuai gerakan meminta masyarakat India tidak mengundi mana-mana calon BN pada PRU-13 (Tamil Nesan, 23 Februari 2013).

Seperti dinyatakan Vell Paari, apa-apa yang ditulis oleh Chuan Seng dalam rencana bertajuk “Kesabaran umat Islam ada had” boleh dianggap sebagai bertentangan dengan gagasan “1Malaysia” yang dipelopori Najib. Dr Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani) juga berhujah bahawa pendapat Chuan Seng “sangat berlawanan” dengan gagasan Najib (Projek Dialog, 22 Februari 2013).

Sinar Harian akui ada nada perkauman

Tambahan pula dalam keadaan di mana Najib secara bersendirian begitu terdesak untuk mendapatkan undi kaum India dalam PRU-13 sehingga sanggup menabur wang, masa dan tenaga bagi menjayakan Perhimpunan Semenyih (12 Januari 2013), Pesta Ponggal Sayangi Selangor PM Bersama Rakyat (13 Januari 2013), Thaipusam (27 Januari 2013), Ponggal Perpaduan (2 Februari 2013) dan sebagainya.

Sementara itu, susulan bantahan sekumpulan orang di hadapan Kompleks Media Karangkraf, Shah Alam pada tengah hari 22 Februari 2013, penasihat editorial akhbar Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali dilaporkan memohon maaf kepada kaum India beragama Hindu atas penyiaran rencana tulisan Chuan Seng.

Agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa Abdul Jalil dilaporkan berkata bahawa rencana yang disiarkan itu memang sudah disunting “untuk mengurangkan nada perkauman”. Maka, bayangkan betapa banyak “nada perkauman” yang disuntik oleh Chuan Seng dalam manuskrip asal rencana yang dikirimnya kepada editor. Semoga Sinar Harian tidak cuba “menandingi” Utusan Malaysia sebagai akhbar yang khabarnya dibenci orang ramai.

Sejak lebih 55 tahun lalu, kaum India yang merupakan warganegara sah di sini sudah serik dipanggil “pendatang” dan diminta “balik India”. Apatah lagi apabila kedatangan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari India, Pakistan, Bangladesh dan negara-negara lain pula khabarnya dialu-alukan dan diberikan dokumen pengenalan sah; asalkan mereka bersedia mengundi pihak tertentu pada PRU-13.

Biarlah ditegaskan bahawa “kesabaran kaum India ada had” (meminjam nada tajuk rencana Chuan Seng dan Faisal Tehrani). Ada sebuah peribahasa Tamil yang membawa makna “jangan terus meluku apabila mangsa tunduk dan mangsa pula jangan terus tunduk apabila diluku”. Meluku, menyekeh atau menduku merujuk pada perbuatan mengetuk kepala dengan buku jari.

Minoriti yang dianiaya dan dinafikan hak juga sudah berani melaungkan “Tidak!” seperti yang dipaparkan secara penuh simbolik menerusi filem Rise of the Planet of the Apes (2011). Jika ada pihak yang masih menggelar kaum India di negara ini sebagai “pendatang” dan melakukan penindasan, maka bersedialah untuk melihat “vishwaroopam” (bukan judul filem) yang pasti menggerunkan.

Nabi Muhammad pernah bersabda, “Bantulah mereka yang dizalimi dan yang menzalimi.” Para sahabat bertanya, “Kami boleh membantu mereka yang dizalimi tetapi bagaimana membantu mereka yang menzalimi?” Nabi menjawab, “Cegahlah mereka daripada melakukan kezaliman.”

Rasulullah juga diriwayatkan bersabda kepada Muaz bin Jabal, “Takutilah kamu akan doa orang yang dizalimi kerana tiadalah sesuatu hijab (penghalang) antara doanya dengan Allah.”

Maka, kepada Chuan Seng, Ibrahim Ali, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin Albukhary serta puluhan individu, puak, pertubuhan, akhbar, politikus, penerbit dan golongan etnosentrik yang sentiasa menganiaya mana-mana golongan minoriti serta menjadi pencetus perpecahan dan perkauman, percayalah bahawa minoriti tertindas tidak akan lagi berdiam diri.

Keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Wasiat Raja-raja Melayu melindungi mereka; selain jaminan Nabi Muhammad dan Allah yang sentiasa mendengar doa golongan yang ditindas, dianiaya dan dizalimi. Atau adakah anda mahu menafikannya?

Uthaya Sankar SB tidak menyokong mana-mana parti politik. Beliau sering bersuara mewakili golongan marginal, minoriti dan tertindas.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments