Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Belum Mandi? Belum Islam?

 | March 25, 2013

Penggunaan frasa yang dilakukan tanpa sedikit pun memikirkan soal sensitiviti dan perasaan penganut agama lain di sebuah negara berpenduduk majmuk.

COMMENT

Sejarah menunjukkan bahawa tidak kira betapa majunya sesebuah ekonomi, betapa berevolusinya sesebuah tamadun, betapa terpelajarnya manusia dan betapa tingginya tahap toleransi, namun jika naluri asal yang wujud ini tidak diurus dengan baik, maka kesannya mungkin akan mengakibatkan kezaliman yang dahsyat ekoran sikap yang disemarakkan oleh sifat tabii manusiawi itu sendiri.

Penggunaan frasa “kezaliman yang dahsyat” serta rujukan terhadap naluri asal “tidak diurus dengan baik” mungkin segera membuatkan puak etnosentrik, ultra kiasu, fanatik, rasis dan anti-Uthaya bersiap-sedia untuk melakukan serangan – atau sekurang-kurangnya membuat senaman punggung atau menyalak.

Bagaimanapun, harap maklum bahawa keseluruhan perenggan pertama di atas adalah kata-kata Perdana Menteri tercinta, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Bar1san Nas1onal (BN), Presiden Umno serta pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam buku Menjuarai Transformasi (2011) terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

“Sebagai golongan majoriti, orang Melayu mempunyai tanggungjawab kepimpinan untuk ditunaikan, iaitu tanggungjawab moral yang melangkaui kepentingan kaum sendiri. … Kepercayaan berterusan oleh kaum lain mesti dijadikan perangsang agar kita sentiasa memperbaik diri dan terkedepan sebagai pemudah cara antara kaum,” katanya.

Dalam konteks Malaysia, semua orang Melayu beragama Islam. Maka, selaras dengan saranan Najib agar orang Melayu-Islam menjadi “pemudah cara antara kaum”, topik ini wajar dan sesuai diketengahkan di sini untuk perhatian bersama dan muhasabah diri.

Sebagai permulaan, apabila seseorang dikatakan “belum mandi” maka bermakna bahawa orang itu sepatutnya mandi dan memang diharapkan, disarankan, diperlukan dan diwajarkan supaya mandi.

Individu berkenaan juga tidak boleh marah dan melenting mengatakan haknya dicabuli dalam soal mandi. Dia sendiri boleh mengaku “belum mandi” dengan erti kata bahawa dia akan mandi kerana dia memang perlu/wajar mandi.

Sekarang, kita lihat pula fenomena dalam kalangan segelintir masyarakat Malaysia yang sudah khusyuk menggunakan frasa “Belum Islam” (Not Yet Muslim) secara amat meluas bagi menggantikan “Bukan Islam” (Non-Muslim) atau “Tidak Islam” (Not A Muslim).

“Saya menentang sekeras-kerasnya penggunaan frasa ‘Belum Islam’. Cadangan ini merupakan cubaan ‘creeping encroachment’ terhadap hak kebebasan beragama dan bercanggah dengan Perkara 11 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia,” kata Clifford Tan, pemuda berumur 30-an yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

Kebimbangan arkitek itu yang kini bekerja di Singapura memang berasas serta tidak sedikit pun menyentuh sensitiviti kaum Melayu atau agama Islam; apatah lagi melanggar peruntukan undang-undang. Frasa “Belum Islam” secara terang-terangan boleh menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan orang “Tidak Islam”.

Pandangan Clifford dipersetujui pembikin filem dokumentari, Norhayati Kaprawi. Katanya, penggunaan frasa seperti itu boleh membawa kepada unsur-unsur yang bertentangan dengan Perkara 11.

“Pandangan sebegitu (penggunaan frasa ‘Belum Islam’) tidak boleh diutarakan sebagai pandangan rasmi negara, termasuklah agensi-agensi kerajaan dan sekolah-sekolah kerajaan,” kata wanita beragama Islam itu.

Reaksi golongan minoriti dan marginal

Apabila saya memaparkan fenomena frasa “Belum Islam” di Facebook baru-baru ini, ramai yang mengaku tidak sedar mengenainya. Ramai pula yang mengirim mesej peribadi untuk meluahkan rasa tidak senang (tidak selesa) dengan penggunaan frasa itu secara berleluasa dan bebas oleh pihak tertentu tanpa mengambil kira sensitiviti kaum dan agama lain.

Pautan beberapa blog dan laman sesawang juga diberikan kepada saya. Ramai yang selama ini memilih untuk membisu (kerana takut untuk bersuara) akhirnya menghubungi saya secara peribadi. Namun, kebanyakan daripada mereka meminta identiti diri disembunyikan. Saya menghormati pilihan mereka. Biarlah saya “bersuara” mewakili golongan minoriti dan marginal itu setakat termampu.

“Penggunaan istilah ‘Non-Muslim’ lebih sesuai digantikan dengan ‘Not Yet Muslim’. Kenapa? Sebab penggunaan istilah yang pertama itu, seolah-olah sudah tetap sampai kesudah mereka akan kekal dengan agama mereka sekarang. Penggunaan istilah yang kedua lebih bersifat anjal, boleh berubah dan masih ada harapan untuk berubah (masuk Islam). Istilah ini perlu diperluaskan! Orang Bukan Islam? Bukan! Orang Belum Islam.”

Demikian catatan di sebuah blog yang boleh diakses dan dibaca oleh umum. Saya turut melakukan pencarian dan menemui begitu banyak laman sesawang yang menggunakan frasa “Belum Islam” dalam konteks amat jelas “mereka perlu/wajib masuk Islam”. Seolah-olah macam kes “belum mandi” tadi!

Dalam hal-hal seumpama ini, Kannan Perumal dari Kajang mengakui secara terbuka bahawa “perkara-perkara ini menyebabkan saya semakin tidak berminat untuk mendekati ajaran agama Islam”. Kata-kata eksekutif pengurusan berumur 30-an yang berasal dari Jasin, Melaka ini ada benarnya.

Dakwah negatif (atau anti-dakwah) yang dilakukan kumpulan tertentu kurang berjaya dalam usaha menarik orang ramai mendekati dan mengenali agama rasmi negara ini; sebaliknya menjauhkan mereka daripada agama itu.

Seorang rakan Melayu-Islam yang hanya mahu dikenali dengan nama samaran “Antheros Athlon Radeon” turut meluahkan rasa kurang senang dengan penggunaan frasa “Belum Islam” dalam usaha pihak tertentu menambah penganut agama Islam.

“Kalau istilah ‘Belum Islam’ merupakan istilah baru kepada ‘Bukan Islam’, adakah kita boleh pula membenarkan penggunaan istilah ‘Belum Kafir’ atau ‘Belum Murtad’?” Demikian pertanyaan pedas blogger itu yang lahir di Baling, Kedah dan kini tinggal di Melaka.

Sebagai penganut Katolik yang amat mencintai agamanya, anak jati Kuala Lumpur, Melinda Marie Ambrose turut tampil meluahkan rasa tidak senang hati apabila dirujuk – sama ada secara langsung atau tidak langsung, secara khusus atau secara umum – sebagai individu “Belum Islam”.

“Amalan ini sememangnya bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama bagi orang selain penganut Islam. Perbuatan itu juga memberi gambaran seolah-olah agama-agama lain tidak wujud dan tidak diiktiraf di Malaysia. Semua penduduk Malaysia bagaikan dianggap akan memeluk Islam suatu hari nanti,” ulasnya.

Dalam pada itu, seorang kakitangan awam, Siva Perianan dari Petaling Jaya melahirkan rasa hairan kerana beliau “belum pernah” mendengar penggunaan frasa “Belum Islam” dalam majlis rasmi, khususnya pada peringkat kementerian di mana beliau bekerja.

Beri kesan negatif jangka panjang

“Jika apa yang dinyatakan itu benar dan memang berlaku penggunaan frasa ‘Belum Islam’ khususnya di sekolah, saya rasa itu perbuatan yang agak jahil. Saya hormat Islam sebagai agama rasmi persekutuan serta kebebasan beragama seperti terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Soalnya, adakan frasa ‘Belum Islam’ bermaksud semua rakyat Malaysia ditakdirkan perlu memeluk Islam? Ini memang jenaka betul!” Pemuda berumur 30-an dan berasal dari Sungai Petani, Kedah itu bertanya dengan penuh hairan.

Kebimbangan yang hampir sama diluahkan oleh Muthannah Marawan, pemuda berumur 20-an yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah dan kini sedang meneruskan pengajian di Shah Alam.

“Frasa ‘Belum Islam’ berbunyi biadab dan seolah-olah mahu menarik orang memeluk Islam secara paksa. Akan tetapi, secara teknikal, perbuatan itu tidak melanggar peruntukan Perkara 11 (kebebasan beragama) dalam Perlembagaan Persekutuan selagi tidak ada sesiapa dipaksa masuk Islam,” katanya.

Bagi Venubalan Rajaram pula, walaupun tidak berlaku sebarang paksaan meninggalkan agama asal dan memeluk Islam, penggunaan frasa itu sendiri bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dari aspek hak asasi dan kebebasan beragama.

“Pada saat Perdana Menteri dan media arus perdana sedang giat mempromosikan gagasan 1Malaysia, penggunaan frasa ‘Belum Islam’ pula ternyata adalah bertentangan dengan semangat itu. Pihak terbabit mungkin berasa seronok dan bangga tetapi percayalah, ia pasti memberi kesan negatif jangka panjang kepada negara dan bangsa,” kata anak jati Pulau Pinang berumur 20-an itu.

S Ghanthimathi yang saya kenali sejak zaman sekolah rendah di Aulong, Taiping pula tertanya-tanya sama ada frasa “Belum Islam” boleh digunakan secara sah/rasmi mengikut undang-undang. Sekadar perbandingan yang diberikannya adalah frasa “Belum Kristian” atau “Belum Hindu” yang pasti membuatkan pelbagai pihak melenting.

“Bagaimana agaknya perasaan orang Melayu-Islam jika mereka tinggal di sebuah negara majoriti penganut agama Kristian dan mereka ini dilabel sebagai ‘Belum Kristian’? Kita perlu sedar bahawa dalam konteks sebuah negara majmuk yang meraikan kepelbagaian, penggunaan frasa ‘Belum Islam’ hanya akan menimbulkan kegusaran dan pergeseran yang tidak menguntungkan sesiapa.

“Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan penggunaan istilah atau frasa itu kerana ia menyinggung perasaan golongan yang tidak beragama Islam,” kata pegawai teknologi makanan itu yang kini tinggal di Sungai Buloh, Selangor.

Rakan penulis bebas, Saras Manickam yang lahir di Teluk Intan, Perak juga marah dan kecewa dengan pendedahan mengenai penggunaan frasa “Belum Islam” oleh golongan tertentu.

“Saya bukan sahaja marah; saya juga sedih dan takut memikirkan pemikiran sempit yang dimiliki pihak terbabit. Mungkin ada perkara tertentu dalam agama Hindu yang tidak saya senangi tetapi saya masih seorang individu beragama Hindu.

“Saya tidak faham mengapa ada pihak yang merasakan amat perlu untuk melaungkan kehebatan fahaman mereka sambil memperlekeh fahaman-fahaman lain. Adakah pihak terbabit berasa begitu tergugat dan tiada keyakinan diri sehingga perlu melakukan perkara-perkara pelik seperti ini?” Demikian Saras tertanya-tanya penuh kehairanan.

Beliau yang tinggal di Kuala Lumpur turut memberikan contoh suatu anekdot yang memang diketahui umum – dan amat sesuai dijadikan penutup bagi makalah ini untuk renungan bersama.

“Saya pergi ke Amerika Syarikat dan menemui agama Islam di sana – tetapi saya tidak menemui orang Muslim. Saya kembali ke Malaysia dan menemui orang Muslim di mana-mana tetapi saya tidak menemui agama Islam di sini.”

Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel [email protected]


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments