Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Demi masa depan!

 | May 4, 2013

Perunding media ini menjelaskan antara sebab beliau tidak akan mengundi calon bebas dan calon BN di kawasannya.

COMMENT

Benar, undi adalah rahsia. Akan tetapi, jika anda sudah benar-benar bersedia untuk melakukan perubahan, mengapa perlu risau tentang kemungkinan kertas undi anda dikesan menerusi nombor siri?

Demikian antara paparan saya menerusi ruangan status di laman rangkaian sosial Facebook pada 29 April 2013. Saya tekankan bahawa saya tidak kisah jika selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), ada pihak yang menyiarkan di akhbar bahawa “Uthaya Sankar SB telah mengundi calon PAS bagi Parlimen Kota Raja dan calon PKR bagi DUN Sri Muda”.

Saya tidak menghadiri mana-mana ceramah politik; khususnya menjelang PRU-13. Walau bagaimanapun, harus saya akui bahawa Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak telah “membantu” saya membuat keputusan muktamad pada 16 April 2013.

Beliau mengangkat Zulkifli Noordin sebagai calon “rakan BN” bagi kerusi Parlimen Shah Alam. Saya tidak akan mengundi calon dari mana-mana parti politik yang menyokong – atau tidak membantah – pencalonan Zulkifli. Kalau Najib berani meletakkan calon-calon yang etnosentrik, rasis, fanatik dan ultra kiasu di Selangor, saya juga berani menyeru para pengundi di Selangor supaya menolak BN 100 peratus pada PRU-13.

Selain daripada calon BN, beberapa individu dari pergerakan Hindraf juga bertanding sebagai calon bebas di tempat saya. Misalnya, wakil dari Human Rights Party (HRP) yang dipimpin oleh P Uthayakumar. Bagaimanapun, kumpulan yang cuba memanipulasi aura Hindraf itu “tersingkir daripada senarai simpanan” sebaik saya melihat risalah rasmi mereka yang berbaur perkauman pada 5 April lalu.

Sudah saya nyatakan menerusi paparan di Facebook dan beberapa tulisan bahawa saya tidak akan mengundi mana-mana calon yang ternyata hanya memperjuangkan nasib “kaum India/Cina/Melayu miskin”. Saya mahukan parti politik – dan kerajaan – yang mampu memperjuangkan nasib semua.

Agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa Uthayakumar (HRP) pernah cuba mendapatkan kerusi daripada PKR bagi PRU-13 tetapi gagal. Lalu HRP memutuskan untuk bertanding sebagai calon bebas bagi “kacau daun” seperti diakui oleh Bendahari HRP menerusi Facebook.

Sementara itu, adiknya yang bernama Waythamoorthy (Hindraf) mengadakan mogok lapar dan akhirnya Najib bersetuju untuk menandatangani memorandun persefahaman antara BN dan Hindraf. Untuk rekod, Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf) pimpinan Waythamoorthy adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diluluskan pendaftarannya dua hari sebelum Waythamoorthy memulakan mogok lapar.

Demi kepentingan politik BN

Permohonan pendaftaran Hindraf sebagai NGO khabarnya dikemukakan pada 2007 dan tiba-tiba diluluskan pada 8 Mac 2013; manakala pada 22 Mac 2013, “Hindraf menerima undangan untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri” seperti dinyatakan dalam e-mel kempen Hindraf yang dikirim kepada saya pada 28 April 2013.

“Selama bertahun dalam perjuangannya, pertubuhan ini (Hindraf) kini mengambil keputusan untuk menjalin kerjasama dengan BN,” kata Najib pula dan demikian dilaporkan media arus perdana.

Pada penelitian saya, pihak yang akhirnya menjadi mangsa dalam “perkahwinan” BN-Hindraf adalah HRP pimpinan Uthayakumar. Rakyat (dan kaum India, khasnya) tidak menjadi mangsa kerana mereka sudah menghidu “drama politik” BN-Hindraf sejak sekurang-kurangnya setahun lalu.

Uthayakumar pula menjadi “mangsa” kerana berkempen politik menjelang PRU-13 menggunakan nama “Hindraf” sedangkan nama itu sudah didaftar secara rasmi oleh adiknya dengan penuh licik demi kepentingan BN dan sekutu.

Dalam pada itu, bermula 26 April lalu, siri artikel yang dikeluarkan oleh Hindraf bagi menyokong BN mula disebarkan melalui e-mel dan saya turut menerima begitu banyak kiriman daripada sejumlah individu yang tidak dikenali. Artikel-artikel kempen politik itu disasarkan oleh Hindraf kepada kaum India secara khusus tetapi saya yakin bahawa khalayak tidak akan mudah tertipu pada kali ini.

Sementara itu, kempen “Sayangi Selangor, Yakini BN” dijalankan sejak tahun lalu sehingga membuatkan orang ramai – khususnya pengguna Komuter – terasa loya dan mahu termuntah. Wang rakyat dibazirkan untuk kempen BN dalam usaha “merampas” negeri Selangor.

Maaf, saya tidak nampak keperluan untuk “ubah”. Saya berpuas hati dengan pencapaian cemerlang BN sebagai pembangkang sejak Mac 2008 dan saya fikir BN perlu diberikan lebih banyak peluang untuk meneruskan kecemerlangan itu.

Frasa yang sebenarnya lebih sesuai dijadikan bahan kempen adalah “Sayangi Selangor, Selamatkan Selangor”. Maknanya, jangan biarkan Zulkifli dan sekutunya memusnahkan keharmonian yang sedia wujud dalam kalangan penduduk pelbagai kaum dan agama di Selangor.

Beribu-ribu tahniah, MIC berjaya?

Saya terus terang memaparkan pandangan di ruang siber untuk menasihati rakan-rakan supaya jangan memusnahkan masa depan anak-anak dengan mengundi calon yang rasis serta calon yang hanya berjuang bagi kaum sendiri. Politikus perlu disedarkan bahawa Rakyat (huruf besar disengajakan) menolak politik perkauman dan parti politik berasaskan kaum.

Bercakap mengenai parti politik berasaskan kaum dan sekutu BN, tentulah MIC akan muncul dalam fikiran. Untuk rekod, MIC dan Hindraf tidak membantah pencalonan Zulkifli, sebaliknya menyeru pengundi kaum India menyokong calon itu yang secara terang-terangan menghina agama Hindu dan kaum India.

Tepat pada masanya – 24 April 2013 – Dheephan Chakkravarthy memuat naik lagu “Beribu-ribu Tahniah” yang didedikasikan kepada MIC dan BN. Tidak sampai 24 jam, penyanyi itu terpaksa membuang klip video berkenaan selepas ia menjadi bahan lawak; bukan hanya kerana kandungan yang memuja-muja BN/MIC tetapi juga kerana membunuh Bahasa Malaysia.

Pelbagai versi lagu itu mula dihasilkan oleh golongan yang kreatif dan saya turut berkongsi klip-klip video itu menerusi Facebook dan blog. Memanglah rakan saya di laman rangkaian sosial terdiri daripada ahli dan penyokong pelbagai parti politik dan/atau agen jualan langsung (MLM).

Saya meraikan kepelbagaian dan terus menerima mereka sebagai rakan; selagi mereka tidak memujuk saya menjadi ahli mana-mana parti politik dan/atau MLM. Namun, ada masanya saya terpaksa membuang individu yang fanatik dan/atau tidak tahu menggunakan bahasa yang betul apabila menulis komen.

Di sisi lain, hasil perbualan dengan orang ramai – dan ramai orang – saya mendapati bahawa antara dilema yang dihadapi sebahagian pengundi di Selangor adalah keadaan di mana beberapa calon bebas hanya mengharapkan undi daripada “kaum India miskin” manakala calon “rakan BN” pula mempunyai rekod menghina agama Hindu dan kaum India.

Sementara itu, rata-rata calon BN tidak cukup berani untuk mengkritik calon “rakan BN” yang melakukan penghinaan agama/kaum. Apa yang pasti, PRU-13 menandakan penolakan mutlak masyarakat pelbagai kaum/agama terhadap politik perkauman.

Rakyat akan mengundi pada 5 Mei 2013 untuk menentukan masa depan negara yang bakal diwariskan kepada anak-cucu. Masih belum terlewat untuk membuat keputusan bijak mengikut suara hati; bukan mengikut “arahan menteri” atau “arahan bos”.

Bagi saya, satu undi bagi mana-mana calon yang menghina mana-mana agama bermakna satu undi menyokong kemusnahan masa depan negara tercinta. Kini pilihan di tangan anda. Undi adalah rahsia tetapi masa depan anak-cucu jangan digadaikan.

Uthaya Sankar SB adalah pengundi di DUN Sri Muda dan Parlimen Kota Raja.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments