Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

‘Allah’ dalam teks Hindu dan Sikh

 | July 22, 2013

Mungkin ramai yang terlepas pandang bahawa kalimah “Allah” turut terdapat dalam teks agama Sikh dan Hindu.

COMMENT

Pada 5 Februari 2013, saya mencatatkan di Facebook dan di blog bahawa “Tuhan tidak murka apabila sekali sekala saya merujuk kepada-Nya sebagai ‘Allah’ atau ‘God’ dalam doa sejak usia kanak-kanak”.

Petikan itu kembali “segar” apabila saya membaca laporan Bernama (16 Julai 2013) bahawa kerajaan negeri Kedah tidak mengizinkan kalimah “Allah” digunakan oleh orang Bukan Islam dalam kitab mereka.

Segera saya mencatatkan pandangan dalam bentuk gurauan di Facebook: “Bagaimana dengan istilah ‘Allah’ dalam kitab rasmi agama Sikh? Atau pun di Kedah hanya ada Sik tetapi tiada orang Sikh?”

Saya cuba membayangkan (secara gurauan) bahawa mungkin juga ada wartawan bertanya, “Bagaimana dengan orang Sikh?” lalu dijawab oleh individu terbabit: “Termasuk juga orang Sik!”

Atau saya mengimaginasikan seorang wartawan media Bahasa Inggeris bertanya, “What about the Sikh?” dan dijawab, “Yes, even if they are sick.”

Paparan di atas tidak bertujuan menghina atau mempersenda sesiapa. Sebaliknya untuk menekankan fakta dan hakikat bahawa dalam kitab suci agama Sikh iaitu Sri Guru Granth Sahib, memang kalimah “Allah” digunakan beberapa kali.

Malah, sejak kecil, saya turut menyanyi lagu bhajan berjudul “Raghupati Raghava Raja Ram” yang memaparkan frasa “Iswara Allah”. Lagu itu turut menjadi kegemaran Mahatma Gandhi dan pernah dinyanyikan semasa Satyagraha (1930).

Lagu itu masih dinyanyikan dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia; termasuk dalam filem Hindi seperti “Bharat Milap” (1942), “Jagriti” (1954), “Purab Aur Paschim” (1970), “Kuch Kuch Hota Hai” (1998), “Lage Raho Munna Bhai” (2006) dan “Gandhi, My Father” (2007).

Berbalik kepada Sri Guru Granth Sahib, The Times of India (5 Julai 2008) pernah melaporkan mengenai usaha penduduk beragama Sikh di Malaysia berjuang mempertahankan hak menggunakan (mengekalkan) kalimah “Allah” dalam kitab suci berkenaan.

“Tidak ada sepatah perkataan pun dalam Sri Guru Granth Sahib yang boleh dipinda kerana ia kitab suci. Kalaulah kalimah ‘Allah’ tidak boleh dikenalkan, seolah-olah penganut Sikh dihalang daripada mengamalkan agama sendiri,” kata presiden Majlis Gurdwara Malaysia (MGC) waktu itu, Sardar Jagir Singh.

Untuk makluman mana-mana puak etnosentrik, ultra kiasu dan fanatik yang hanya menjadi katak di bawah tempurung, ajaran Sikh diasaskan pada kurun ke-16 di wilayah Punjab yang kini terletak sebahagian di India dan sebahagian lagi di Pakistan.

Sekadar makluman juga, Lembaga Alkitab Indonesia (LAI) di laman sesawangnya pada 15 Mei 2009 menjelaskan bahawa catatan pada kurun ke-6 membuktikan bahawa kalimah “Allah” sudah digunakan oleh kumpulan Kristian Ortodoks sebelum kedatangan Islam.

“Penganut agama Kristian di Mesir, Iraq, Algeria, Jordan dan Lubnan masih menggunakan istilah ‘Allah’ dalam Bible. Maka, kalimah ‘Allah’ tidak boleh dikatakan milik satu-satu agama,” kata kenyataan itu.

Seorang individu bernama A Rahman menerusi surat yang disiarkan di Malaysiakini (6 Januari 2010) turut menekankan bahawa kalimah “Allah” sudah wujud jauh sebelum kelahiran Nabi Muhammad.

Dalam kitab Veda dan Upanishad

“Penduduk Bukan Islam di Sarawak dan Sabah menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan sejak tahun 1800-an. Saya pernah lihat menerusi internet, Bible keluaran tahun 1818 menggunakan kalimah ‘Allah’ di dalamnya,” kata Rahman sambil menekankan bahawa Quran sendiri menyebut bahawa orang Kristian memanggil Tuhan sebagai Allah (5: 72-73).

Pada 6 Januari 2010, presiden MGC, Harcharan Singh mengeluarkan kenyataan membidas usaha pihak tertentu yang cuba menghalang semua orang Bukan Islam (Tidak Islam) menggunakan kalimah “Allah”.

“Sebarang sekatan yang dikenakan pasti akan memberikan kesan negatif serta bercanggah dengan hak penganut agama Sikh membaca teks daripada kitab Sri Guru Granth Sahib,” tegasnya dalam kenyataan yang disiarkan di Malaysiakini.

Dalam amalan agama Sikh di serata dunia, nama-nama seperti Allah, Raam, Paarbrahm dan Krishan digunakan tanpa sekatan dan halangan apabila merujuk kepada Tuhan; serta tercatat dalam kitab suci agama Sikh.

Walaupun “Waheguru” adalah nama yang paling lazim digunakan di Malaysia, nama-nama lain bagi Tuhan dalam Sri Guru Granth Sahib termasuk Akal Purakh, Ek Onkar, Satnam, Hari, Govinda, Bhagavan, Rabh, Allah, Rahim, Karim dan Malik.

Sekadar perbandingan, Tuhan dalam agama Hindu (agama tauhid pertama di dunia) berciri “ekan anekan” iaitu tunggal tetapi dikenali dengan nama/sifat yang tidak boleh dibilang (infiniti). Dalam agama Islam pula ada 99 nama terpilih bagi Allah yang Maha Esa (Eka); walaupun jumlah nama-nama itu adalah tidak ada had (infiniti).

Tentu sahaja makalah ini tidak bertujuan mempersenda, mempersoalkan atau mencabar apa-apa kes yang sedang dibicarakan di mahkamah. Sebaliknya untuk membantu orang ramai mendapatkan pelbagai maklumat tambahan sebagai santapan minda.

Sekurang-kurangnya supaya mereka tidak mudah diperkotak-katikkan dan ditipu bulat-bulat oleh mana-mana puak yang licik mengatur strategi berbaur perkauman.

Pada 8 Januari 2013, presiden MGC, Jagir Singh tampil mengulangi kenyataan bahawa apa-apa sekatan/halangan terhadap penggunaan kalimah “Allah” oleh semua orang Bukan Islam (Tidak Islam) sebenarnya bertentangan dengan hak penganut agama Sikh.

“Kami ingin mendidik rakyat Malaysia bahawa kalimah ‘Allah’ adalah salah satu bahagian penting dalam Sri Guru Granth Sahib dan nama ‘Allah’ digunakan beberapa kali dalam kitab suci itu untuk merujuk kepada Tuhan,” katanya dalam kenyataan yang turut disiarkan di pelbagai media alternatif.

Karpal Singh dilaporkan berkata bahawa kalimah “Allah” muncul dalam Sri Guru Granth Sahib sebanyak 46 kali (The Star, 20 Januari 2013). Hasil pembacaan saya, khabarnya Sheikh Farid menggunakan kalimah “Allah” dalam Sri Guru Granth Sahib sebanyak 12 kali sementara Guru Nanak, Guru Arjan dan Kabeer menggunakannya 18 kali.

Pada Januari 2013, saya pernah mengumpulkan pandangan dan hujah rakan-rakan pelbagai kaum dan agama berhubung penggunaan kalimah “Allah”. Makalah berkenaan yang bertajuk “Demi Allah!” boleh dibaca di blog saya.

Sesungguhnya, kalimah “Allah” turut terdapat sekurang-kurangnya empat kali dalam Rigveda iaitu salah satu daripada empat veda yang menjadi panduan dalam agama Hindu. Salah satu versi Upanishad yang dikenali sebagai Allo Upanishad turut menggunakan kalimah “Allah” beberapa kali.

Usaha menduakan Tuhan?

Tentu sahaja segala fakta berdasarkan bukti yang dikemukakan di sini tidak bertujuan mencabar sebarang kes di mahkamah. Malah, saya pasti bahawa puak tertentu yang beranggapan kalimah “Allah” hanya layak digunakan orang tertentu tidak tahu-menahu mengenai segala fakta ini.

Tentulah puak etnosentrik, ultra kiasu, fanatik dan rasis hanya umpama katak di bawah tempurung.

Dalam pada itu, Free Malaysia Today (6 Februari 2013) melaporkan bahawa penaung Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa), Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong tindakan presiden Perkasa, Ibrahim Ali menghasut orang Melayu membakar kitab Bible di Pulau Pinang pada Januari 2013.

“Membakar buku-buku yang diharamkan memang prosedur biasa,” kata bekas pengerusi Barisan Nasional (BN) itu yang sering dikatakan orang sudah semakin nyanyuk sejak tidak memegang tampuk kuasa.

Bisop Paul Tan dalam suratnya yang disiarkan di FMT (16 Februari 2013) menyatakan pandangan yang amat logik dan sama dengan pandangan yang sering saya kongsi bersama-sama rakan-rakan pelbagai kaum dan agama.

“Dengan mengatakan bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh orang Bukan Islam akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang Islam sebenarnya sama sahaja dengan mengakui bahawa pegangan agama (keimanan) mereka begitu lemah sehingga begitu mudah tergugat,” katanya dengan penuh rasional.

Sementara itu, kajian oleh Merdeka Center (26 Februari 2013) menunjukkan bahawa 83 peratus daripada 1,021 pengundi Melayu-Islam berdaftar di Semenanjung Malaysia mahu supaya hanya orang Islam diberikan hak menggunakan kalimah “Allah”.

Usahlah terkejut kerana 34 peratus responden berkenaan turut menyokong seruan Ibrahim Ali supaya orang Melayu-Islam membakar kitab Bible versi terjemahan. Maka kita sudah boleh mengagak tahap pemikiran responden terbabit.

Walau apa pun keputusan mahkamah atau apa-apa pun fatwa yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak, sukacita saya menegaskan bahawa saya akan terus menggunakan apa-apa kalimah yang sesuai – termasuk “Allah” – apabila berbicara dengan Tuhan.

Saya juga akan menjauhi puak-puak yang mengatakan kalimah “Allah” hanya boleh digunakan orang Islam sementara orang Bukan Islam (Tidak Islam) perlu menggunakan kalimah/istilah lain apabila merujuk kepada Tuhan.

Pandangan mereka sebenarnya seolah-olah mengundang kesesatan kerana cuba menghasut orang ramai – termasuk orang Bukan Islam – secara penuh halus dengan ajaran bahawa ada lebih daripada satu Tuhan!

Uthaya Sankar SB memblog di www.uthayasb.blogspot.com


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments