Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Pak Samad, Sasterawan Rakyat

 | September 7, 2013

Sementara politikus dan polis bersuara, golongan sasterawan dan persatuan penulis pula memilih untuk membisu sahaja.

COMMENT

Nampaknya ramai yang sudah lupa akan kuasa sebenar yang ada pada golongan sasterawan sejati.

Tentu sahaja golongan penulis picisan dan golongan penulis tanpa tulang belakang yang hanya mementingkan urusan cari makan (“carma”) serta hanya tahu membodek golongan politikus tidak termasuk dalam kelompok yang saya maksudkan.

Negara sepatutnya berbangga kerana mempunyai sejumlah penerima Anugerah Sastera Negara yang diberikan gelaran Sasterawan Negara (SN). Pasti sahaja anugerah itu diberikan bukan kerana sasterawan berkenaan pandai membodek, tetapi kerana menghasilkan karya sastera bermutu.

Karya sastera yang bermutu pula pastilah bukan sekadar mengangung-agungkan pemerintah dan Badut Paul Lathic; sebaliknya bersuara mewakili orang ramai, masyarakat awam dan rakyat jelata.

Kalau kita meneliti sejarah silam negara, akan terbukti bagaimana golongan sasterawan – dan wartawan – menggunakan mata pena untuk memperjuangkan nasib kaum, agama, nusa dan bangsa. Mereka tidak memuji-muji dan memuja-muja pemerintah untuk mendapatkan kepingan roti atau cebisan tulang.

Apabila diperhatikan pada masa sekarang, satu-satunya SN yang lantang bersuara mewakili masyarakat, rakyat dan orang biasa dengan penuh berani ialah Datuk A Samad Said (Pak Samad). Kenyataan ini mungkin boleh dipertikaikan dan dibahaskan, tetapi tidak boleh dinafikan.

Tanyalah kepada sesiapa sahaja yang berfikiran rasional dan matang; mereka akan menyebut nama Pak Samad sebagai sasterawan yang berjiwa rakyat. Beliau berjiwa pejuang sejati tanpa mengharapkan “pulangan” dengan menyokong penguasa secara membuta.

Akibatnya, apa-apa sahaja yang dilakukan oleh Pak Samad dipandang serong oleh Badut Paul Lathic, konco-konco dan anjing-anjing belaan mereka. Perkara ini sedang berlaku secara amat nyata di depan mata. Salakan kedengaran di mana-mana; termasuk ruang siber.

Bersembunyi di pentas terbuka?

Terkini, Pak Samad ditahan pada tengah malam buta 3 September 2013 bagi soal siasat dan diambil keterangan berhubung tindakan individu tertentu mengibarkan bendera Sang Saka Malaya berdekatan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada malam kemerdekaan.

Sebelum ditahan, polis meminta Pak Samad menyerah diri dengan memberikan alasan kononnya pengarang novel “Salina” itu bersembunyi. Pak Samad menafikan dakwaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, kononnya polis telah ke rumah beliau pada petang Selasa tetapi beliau tiada.

Pada 1 September 2013, Pak Samad yang juga Penasihat Agung Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berada di pentas terbuka Galeri Shah Alam, Persiaran Tasik, Shah Alam seawal pukul 2:15 petang bagi menyertai acara “Baca Cerpen Kavyan: Sedekad Kemudian”.

Kalaulah benar pihak berkuasa benar-benar mahu menahan dan mendapatkan keterangan daripadanya, boleh sahaja datang ke Galeri Shah Alam untuk sama-sama mendengar persembahan cerpen dan kemudian bercakap dengan Pak Samad.

Maklumat mengenai acara sastera itu sudah ada di blog Kavyan sejak sebelum bulan puasa. Malah, maklumat di Facebook dikemas kini dari semasa ke semasa dan disahkan secara terang-terangan bahawa Pak Samad akan turut serta.

Sebaik sahaja Pak Samad dan isterinya, Datin Rashidah Mohd Dahan tiba di Galeri Shah Alam, foto dipaparkan di Facebook. Mustahil pihak berkuasa yang ada “mata di ruang siber” masih tidak tahu di mana sasterawan itu berada.

Atau mungkin juga walaupun insiden Sang Saka Malaya berlaku pada lewat malam Jumaat (30 Ogos 2013), sehingga petang Ahad (1 September 2013), polis masih goyang kaki kerana belum menerima arahan daripada pihak tertentu untuk mendapatkan keterangan daripada Pak Samad.

Agak menarik apabila Menteri Pelancongan, Nazri Aziz menggesa Pak Samad menyerah diri kepada polis secara sukarela. Mungkin dia fikir Pak Samad orang yang tidak tahu undang-undang dan peraturan.

Katak, anjing mula berbunyi!

Seperti kata Pak Samad, beliau tidak bersedia untuk menyerah diri jika politikus dan polis hanya membuat kenyataan di luar – dalam ucapan di majlis atau semasa sidang media – tetapi tidak mengemukakan sebarang dokumen rasmi secara hitam-putih.

Turut tumpang semangkuk dalam peristiwa pengibaran bendera Sang Saka Malaya tanpa mengetahui hujung-pangkal kejadian ialah Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Dr Ramlah Adam.

Dia dilaporkan berkata bahawa Pak Samad sepatutnya sensitif terhadap perjuangan tokoh-tokoh terdahulu daripada sasterawan itu yang berusaha memperoleh kemerdekaan negara. Sebelum polis menjalankan sebarang siasatan, “tokoh sejarah” ini sudah pun menjatuhkan hukuman terhadap Pak Samad.

Sebagaimana turut dipersoalkan oleh begitu ramai orang dari pelbagai latar belakang, Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S Ambiga juga mempersoalkan tindakan polis pergi ke rumah Pak Samad pada sekitar 12:30 tengah malam dan menahannya bagi soal siasat sebelum dibebaskan dua jam kemudian.

Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang kurang “berbunyi” sejak kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kembali bersuara dalam isu ini. Kumpulan rasis, pentaksub, fanatik dan etnosentrik itu mendesak gelaran SN yang dianugerahkan kepada Pak Samad oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1985 ditarik balik.

Sebaik sahaja saya membaca berita “bodoh” itu, saya tertanya-tanya apakah pula reaksi segera “badan-badan penulis Melayu seperti Gapena dan Pena” (The Malaysia Insider, 18 April 2011) yang pernah mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi “mempertahankan maruah sasterawan Melayu” yang menerima anugerah daripada Agong?

Pada waktu itu (2011), mereka membuat resolusi bahawa sebarang penghinaan terhadap SN samalah seperti menghina Agong. Maka tentulah saya sebagai seorang penulis mengharapkan perhimpunan besar-besaran diadakan sekali lagi bagi membela dan “mempertahankan maruah sasterawan Melayu” bernama Pak Samad.

Saya mengenali Pak Samad sejak 1991 dan beliau bukanlah individu yang mendambakan pengiktirafan dan anugerah. Malah, pada tahun 2008, beliau sudah menyatakan secara terbuka bahawa beliau tidak kisah jika gelaran SN ditarik balik.

Apa kata rakan-rakan SN?

Kata-kata itu diulang oleh Pak Samad berikutan suara-suara sumbang daripada Perkasa dan sekutunya. Serta-merta Ibrahim Ali yang lebih dikenali dengan gelaran “Katak” mengusulkan supaya Pak Samad sendiri memulangkan gelaran itu. Memang bodoh tak bertempat!

Sebelum ini, ada juga seorang SN menyelar Pak Samad menerusi kenyataan di akhbar Berita Harian berikutan penyertaan Pak Samad dalam Perhimpunan Bersih bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih. Anehnya, tidak ada pula sebarang kenyataan serupa daripada SN berkenaan apabila Pak Samad menyertai perhimpunan menentang PPSMI.

Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) yang dinobatkan sebagai SN baru-baru ini pula menunjukkan sikap rasional dan matang apabila tidak bersetuju dengan cadangan supaya gelaran SN yang dianugerahkan kepada Pak Samad ditarik balik.

Datuk Baha sedar bahawa sumbangan Pak Samad terhadap sastera, bangsa dan negara adalah amat besar dan beliau berhak dianugerahkan gelaran SN; selain gelaran “Sasterawan Rakyat” yang diberikan oleh Bangsa Malaysia.

Memandangkan Datuk Baha seorang yang lantang bersuara secara amat rasional menerusi tulisannya, saya berharap beliau akan menulis mengenai isu penting ini dalam ruangannya di majalah Dewan Sastera dalam masa terdekat. Biarlah “orang sastera” juga mendapat sedikit kesedaran mengenai makna perjuangan sebenar selepas membaca tulisan beliau.

Sementara itu, saya mencadangkan kepada polis, politikus dan konco-konco serta para pengikut mereka supaya tutup mulut sebentar. Sebaliknya pergilah ke perpustakaan atau kedai buku.

Dapatkan karya-karya Pak Samad dan bacalah dengan tenang. Sekurang-kurangnya anda akan mendapat sedikit ilmu. Sekurang-kurangnya apabila anda membuka mulut, tidaklah terus-menerus mempamerkan kebodohan dan kecetekan ilmu.

Kepada Pak Samad pula, teruskan perjuangan! Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani memperjuangkan kebenaran, seperti kata Mahatma Gandhi.

Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan manakala Datuk A. Samad Said adalah penasihat agung.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments