Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Penulis Tamil juga mangsa royalti

 | September 16, 2013

Golongan muda tampil bersuara menuntut hak yang dinafikan sejak dahulu.

COMMENT

Honorarium dan royalti adalah hak pengarang. Perkara ini ditegaskan secara lantang dan berterusan oleh penulis Tamil generasi baru, M Navin sejak tahun 2005.

Perjuangan guru Bahasa Tamil di SJKT Taman Melawati, Gombak itu kini semakin menampakkan hasil, walaupun terus mendapat penentangan hebat daripada kelompok pengarang veteran yang menerajui Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia.

Saya mengikuti polemik, isu dan kontroversi ini menerusi akhbar-akhbar Tamil tempatan dan media sosial, khasnya Facebook sejak beberapa bulan lalu. Rakan-rakan yang terlibat secara langsung dalam bidang penulisan Tamil juga selalu menyampaikan berita terkini.

Peluang untuk mendapatkan maklumat lanjut muncul apabila saya bertemu Navin di sebuah restoran di Brickfields, Kuala Lumpur pada 7 September 2013.

“Masalah bermula pada suatu majlis pelancaran buku esei mengenai sekumpulan pengarang wanita yang menghasilkan karya Bahasa Tamil, tidak lama dahulu.

“Presiden Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia, P Rajendran dan Ketua Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya, Dr Krishanan Maniam memperkatakan buku itu dalam acara di Kuala Lumpur,” kata guru berumur 31 tahun itu.

Rajendran khabarnya mengeluarkan kenyataan yang melukakan hati kelompok penulis. Katanya, pengarang wanita kaum India di Malaysia dapat menulis semata-mata kerana pengarang lelaki bermurah hati memberikan ruang dan peluang kepada mereka.

Krishanan pula membuat kenyataan bahawa penulis wanita di Tamil Nadu, India sudah mula menghasilkan karya-karya berunsur lucah; dan mujurlah penulis wanita di Malaysia yang menghasilkan karya Tamil tidak berbuat demikian.

“Saya mewakili kumpulan Vallinam menulis rencana balas menyelar kata-kata mereka berdua yang boleh dilihat sebagai menjatuhkan martabat pengarang wanita di Malaysia.

“Kami meminta kedua-dua mereka menarik balik kenyataan yang dikeluarkan semasa majlis pelancaran buku itu. Jika tidak, kami akan memulaukan semua acara anjuran Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia,” kata Navin yang berasal dari Lunas, Kedah.

Malangnya sehingga kini tiada sebarang maklum balas daripada mereka yang terbabit. Sikap itu menyebabkan khalayak pembaca dan penulis Tamil – khususnya generasi muda dalam kumpulan Vallinam yang diterajui Navin – semakin menyampah dengan sikap Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia yang diterajui generasi lama.

Mana pergi duit hasil jualan buku?

Secara kebetulan, seminggu selepas kejadian itu, persatuan berkenaan mengadakan majlis pelancaran sebuah antologi cerpen. Cerpen-cerpen Tamil yang terbit di pelbagai media khabarnya dipilih dan dibukukan oleh Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia tanpa izin pengarang terbabit.

Tiga daripada penulis yang karya mereka termuat dalam antologi berkenaan membuat kenyataan tidak akan menghadiri majlis pelancaran berikutan isu lama yang belum selesai. Mereka ialah Tayagi, K Balamurugan dan Pandian. Ketiga-tiganya pengarang lelaki yang tetap tidak bersetuju dengan kenyataan seksis yang dikeluarkan oleh Rajendran dan Krishanan.

“Tayagi dalam kenyataannya yang disiarkan di media menegaskan bahawa walaupun mereka bertiga tidak akan menghadiri majlis pelancaran antologi berkenaan, bayaran royalti bagi mereka tetap perlu dibayar,” Navin menceritakan kepada saya dalam pertemuan kami.

Permintaan seperti itu sebenarnya adalah sesuatu yang amat baru dalam arena penulisan dan penerbitan karya Bahasa Tamil di Malaysia; sama ada di akhbar, majalah atau buku. Saya menyedari hakikat ini hasil penelitian sejak seawal tahun 1993.

Ketiga-tiga pengarang itu – dengan sokongan kumpulan Vallinam – menegaskan bahawa Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia sudah pun melakukan kesalahan dari segi Akta Penerbitan kerana menerbitkan karya mereka tanpa izin, persetujuan dan kebenaran.

“Rajendran dan sekutunya amat marah dengan keberanian Tayagi, Balamurugan dan Pandian bersuara menuntut hak royalti. Tambahan pula, sejak awal penulisan Bahasa Tamil di Malaysia, tidak pernah ada pengarang Tamil yang berani membuat tuntutan demikian,” Navin menghuraikan.

Saya berpeluang bertemu Tayagi dan beberapa pengarang lain semasa majlis pelancaran sebuah kumpulan sajak oleh Poongulali Veeran di Petaling Jaya pada keesokan hari dan mereka mengesahkan apa-apa yang diceritakan oleh Navin.

Majlis pelancaran antologi cerpen oleh Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia tetap berjalan. Sebulan kemudian, selepas asakan demi asakan daripada ketiga-tiga pengarang terbabit, persatuan itu mengeluarkan kenyataan bahawa jualan antologi berkenaan dihentikan serta-merta.

“Umum mengetahui bahawa kebanyakan stok buku sudah habis dijual pada majlis pelancaran. Sebagai lumrah dalam dunia sastera Tamil, politikus dan pihak berkepentingan akan membeli buku-buku dengan memberikan sumbangan yang banyak semasa majlis pelancaran.

“Maka, tentu sahaja Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia sudah mendapat keuntungan yang banyak menerusi antologi yang dicetak dan diterbitkan tanpa izin pengarang,” Navin mendedahkan.

Persatuan penulis Tamil sukar digugat

Maka, katanya, amat mustahil untuk mengatakan bahawa Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia – yang juga penerbit buku berkenaan – tiada wang untuk membayar royalti dan honorarium kepada penulis.

Oleh kerana amat kecewa dengan sikap serta amalan tidak adil dan kezaliman yang dilakukan oleh Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia, Tayagi dan rakan-rakannya tidak menolak kemungkinan membuat laporan polis demi menuntut hak.

Perkembangan ini pasti sahaja mengingatkan saya kepada isu penipuan royalti teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) melibatkan beberapa rakan penulis kaum Melayu yang didedahkan menerusi Free Malaysia Today sejak Ogos 2011.

Sebagai pemilik tunggal syarikat ‘Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya’ serta presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), saya terlibat secara langsung dalam usaha membantu sekumpulan pengarang itu.

Tentulah perjuangan menuntut hak royalti menjadi amat sukar apabila Kementerian Pelajaran/Pendidikan dan menteri sendiri tidak cukup “jantan” untuk tampil membela nasib pengarang Melayu yang tertindas.

Dalam isu melibatkan tiga pengarang Tamil ini pula, tentulah tidak ada gunanya mengharapkan bantuan politikus dalam MIC mahu pun mana-mana menteri dan timbalan menteri daripada kalangan kaum India.

Sejak mendapat tahu kisah penipuan royalti daripada Navin pada 7 September 2013, saya menghubungi pelbagai pihak – termasuk tetapi tidak terhad kepada wartawan, penulis, NGO, jabatan dan politikus – dan khabarnya Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia memang “sukar digugat” kerana mendapat sokongan pihak atasan.

Namun begitu, bagi saya sebagai individu yang menentang penindasan dan kezaliman, kesalahan tetap kesalahan dan saya tidak teragak-agak untuk bersuara bagi pihak kelompok minoriti yang tertindas.

Berbalik kepada isu melibatkan Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia, Navin menegaskan bahawa kesalahan pertama persatuan itu adalah menerbitkan (membukukan) karya-karya penulis tanpa izin. Sebaliknya mereka sesuka hati memilih cerpen-cerpen yang tersiar di akhbar dan majalah Tamil tempatan.

Kesalahan kedua adalah bahawa persatuan itu menjual antologi berkenaan dan mendapat keuntungan. Akan tetapi, mereka tidak mahu membayar royalti walau satu sen kepada para penulis terbabit.

Penulis generasi muda berani tuntut hak

Tuntutan dan permintaan bagi bayaran honorarium dan royalti bagi karya Bahasa Tamil di Malaysia adalah sesuatu yang amat baru; sama ada karya disiarkan di akhbar atau majalah atau dimuatkan dalam antologi.

Secara mudah, akhbar, majalah dan penerbit buku Tamil berpendirian bahawa pengarang Tamil tempatan harus berterima kasih dan terhutang budi kepada penerbit kerana sudi menyiarkan karya mereka!

Saya secara peribadi amat menyokong keberanian kumpulan Vallinam yang diterajui Navin bangkit memperjuangkan hak royalti bagi pengarang Tamil di Malaysia.

Navin selaku pemilik Vallinam Publication menerbitkan buku rakan-rakannya sejak tahun 2005. Beliau memastikan pengarang menerima royalti yang setimpal. Budaya etika penerbitan profesional yang diperkenalkan oleh Navin adalah sesuatu yang amat luar biasa dalam bidang penerbitan buku Tamil di Malaysia.

Pada 15 September 2013, tiga lagi buku baru dilancarkan oleh Vallinam Publication; iaitu kumpulan esei oleh Navin, kumpulan puisi oleh Poongulali dan kumpulan cerpen oleh Balamurugan. Navin memastikan rakan-rakannya menerima royalti sebaik buku terbit.

“Suka saya menyarankan kepada para pengarang Tamil supaya memulaukan mana-mana akhbar dan majalah yang tidak membayar honorarium bagi karya kreatif yang disiarkan. Jika penulis terus tunduk, selagi itulah penindasan dan kezaliman akan berterusan,” pinta Navin dengan tegas dan berani semasa diwawancara bagi makalah ini.

Sejak awal, pemuda itu menerima sokongan moral daripada pengarang veteran seperti Dr M Shanmuga Siva yang menyetujui perjuangannya. Kini, Navin mendapat sokongan padu daripada sekelompok rakan-rakan pengarang generasi muda yang turut ada kesedaran tentang hak royalti dan etika penerbitan.

“Saya benar-benar berharap mentaliti pembaca dan pengarang karya Tamil akan berubah. Jangan terlalu mengagung-agungkan Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia dan menyangka mereka berkorban kerana sudi menerbitkan karya kita.

“Pada realiti, persatuan itu mengaut keuntungan besar dengan memeras keringat para pengarang Tamil,” kata Navin yang pernah terlibat secara aktif dalam persatuan itu sebelum menyedari kepincangan yang wujud.

Saya tidak pasti apakah kerajaan dan kementerian serta agensi kerajaan yang tampil menyalurkan dana dalam jumlah yang besar kepada persatuan penulis Tamil menyedari segala hakikat ini.

Uthaya Sankar SB mengucapkan Selamat Menyambut Onam kepada masyarakat Malayali dan Selamat Hari Malaysia kepada rakyat Malaysia.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments