Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kisah Datuk Guluji

 | December 2, 2013

Ajaran sesat berleluasa bertopengkan nama kursus motivasi dan meditasi.

COMMENT

Sekitar sedekad lalu, saya pernah mendengar tentang suatu kumpulan yang boleh diklasifikasikan sebagai puak penyebar ajaran sesat dalam kalangan kaum India beragama Hindu.

Nampak gayanga kumpulan itu masih giat menjalankan operasi dan tidak ada apa-apa tindakan diambil oleh pihak berkuasa, mahu pun Malaysia Hindu Sangam (MHS) walaupun khabarnya laporan sudah dikemukakan kepada pertubuhan kebangsaan itu.

Seorang rakan di Facebook mencatatkan pada ruangan status pada pagi 1 Disember 2013 mengenai kisah rakannya menelefon untuk mengajak menyertai suatu “kursus sehari” meditasi yang bakal mengubah hidup setiap individu yang menghadirinya.

Ketua kumpulan ajaran sesat itu dikenali dengan nama timangan “Datuk Guluji” (bukan nama sebenar) dan khabarnya kawan kepada kenalan saya diberikan tawaran istimewa bayaran RM200 sahaja untuk menyertai kursus sehari.

Agak menarik juga kerana sewaktu saya menyamar dan menghadiri kursus sama dahulu, bayaran yang dikenakan adalah RM730 seorang. Khabarnya, bayaran kini mencapai sehingga RM3,300 seorang, bergantung pada tahap “kehebatan” yang mahu dicapai dengan bantuan Datuk Guluji yang didewa-dewakan para pengikut sebagai pemilik “mukjizat”.

Rakan Facebook saya menyatakan bahawa dia percaya bayaran RM200 itu hanya taktik untuk “memancing” orang untuk hadir; tentu akan ada bayaran tambahan sebaik mereka “terpancing”.

Semuanya tidak ubah seperti skim jualan langsung – Multi Level Marketing (MLM) di mana sekumpulan “penipu” terlatih akan keluar menipu dan memperdaya mangsa secara amat licik.

Semasa saya “menyeludup” masuk sedekad dahulu ke sebuah dewan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, jumlah peserta bukan ratusan tetapi lebih seribu orang. Bagi bayaran tunai yang wajib dilakukan, tiada resit diberikan. Kononnya ia adalah “pengeras” atau “sumbangan ikhlas” bagi ilmu yang bakal diperoleh peserta.

Apabila kisah itu mula diungkit kembali menerusi Facebook, rama juga yang tampil memberikan komen dan maklum balas. Rata-rata bekas mangsa – atau golongan yang hampir-hampir menjadi mangsa – meluahkan rasa sedih dan hairan bahawa kumpulan ajaran sesat tersebut masih bebas beroperasi walaupun laporan sudah dibuat kepada MHS selaku badan tertinggi dalam mengeluarkan “fatwa” berhubung soal-soal berkaitan agama Hindu.

Ribuan orang sudah jadi mangsa

“Ada sesiapa yang pernah menjadi mangsa penipuan sebuah MLM yang menggunakan topeng meditasi spiritual Datuk Guluji (bukan nama sebenar) untuk memperdayakan penganut agama Hindu supaya membayar sumbangan (tanpa resit) antara RM700 dan RM3,000 bagi mendapatkan ‘restu’ Tuhan?”

Demikian saya paparkan menerusi Facebook sebaik memutuskan untuk menulis mengenai manipulasi yang berlaku dan mendedahkan jenayah penipuan yang dilakukan organisasi berkenaan.

Tentulah saya memutuskan untuk tidak mendedahkan identiti rakan-rakan yang tampil memberikan maklumat. Maka, saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala maklumat yang dipaparkan di sini.

Rupa-rupanya, memang ada maklumat serta pendedahan di beberapa blog mengenai kumpulan ajaran sesat ini. Malah, ada juga mangsa yang mendedahkan bagaimana mereka diugut dan dikasari apabila mereka tampil mendedahkan penipuan yang dilakukan.

Memandangkan saya menggunakan gelaran/timangan “Datuk Guluji”, ada yang bertanya apakah individu yang dimaksudkan adalah seorang “mahaguru” bernama “Datuk Seri Guruji” yang khabarnya juga dikenali sebagai “Yoga Jnana Sitthar Om Sri Raja Yoga Guru Saranam”.

Organisasi yang dikendalikan “mahaguru” itu adalah Rajayoga Power Transcendental (RPT) yang beribu pejabat di PJS, Petaling Jaya – hanya beberapa meter jauhnya dari ibu pejabat MHS.

Akan tetapi, “Datuk Guluji” yang saya dedahkan di sini tidak merujuk kepada Balakrishnan a/l Vellasamy atau mana-mana “mahaguru” yang ada kaitan dengan RPT. Sebaliknya mengenai sebuah kumpulan ajaran sesat yang bukan sahaja menyesatkan kaum India tetapi juga menipu wang orang ramai.

Seorang individu menyatakan kepada saya bahawa sebenarnya ribuan individu sudah menjadi mangsa kumpulan penyebar ajaran sesat itu. Bagaimanapun, mereka tidak berani mendedahkan kegiatan kumpulan itu kerana takut diugut dan diapa-apakan.

Bayangkan! Sebuah organisasi yang diketua seorang “mahaguru” bergelar “Datuk Guluji” dan sepatutnya membawa orang ramai ke jalan menuju Tuhan boleh pula menimbulkan ketakutan dalam jiwa pengikut (atau bekas pengikut) kerana nyawa mereka terancam.

Guluji disembah menggantikan Tuhan

Seorang menceritakan bagaimana apabila seorang mangsa bertegas mahu mendedahkan penipuan yang dilakukan kumpulan ajaran sesat itu, mereka tergamak membakar kereta individu terbabit sebagai memberikan amaran kepadanya supaya menutup mulut.

“Orang Hindu dari hampir seluruh negara menjadi mangsa, termasuk adik saya sendiri. Anehnya, meditasi yang diajarkan oleh Datuk Guluji itu adalah amat asas dan boleh dilakukan oleh sesiapa tanpa perlu membayar begitu banyak wang.

“Saya juga mendapat tahu bahawa Datuk Guluji mempunyai satu pasukan khas untuk memperdaya orang ramai supaya menyertai kursus yang diadakan. Pasukan ini menggunakan pelbagai muslihat untuk memperdaya orang,” kata seorang lagi pemuda.

Khabarnya “Datuk Guluji” akan mengajar suatu mantra (mantera) rahsia yang perlu diucapkan sambil melakukan meditasi. Rupa-rupanya mantra itu adalah puji-pujian terhadap diri mahaguru itu sendiri!

Semasa berdoa dan melafazkan mantera, pengikut perlu membayangkan wajah Datuk Guluji. Di pusat meditasi, para pengikut berdoa “berkiblatkan” kerusi kosong (dan empuk) yang perlu dibayangkan oleh pengikut, kononnya diduduki oleh mahaguru berkenaan.

“Dia mengangkat dirinya ke tahap dewa dan mahu para pengikut menyembahnya bagaikan dia adalah Tuhan! Para pengikutnya diingatkan supaya hanya mengingat tiga tarikh dalam hidup mereka; iaitu tarikh lahir ‘Datuk Guluji’, tarikh lahir ‘Datin Guluji’ dan tarikh ibu pejabat kumpulan ajaran sesat itu dirasmikan.”

Demikian diceritakan serta diakui oleh beberapa individu yang kecewa kerana ahli keluarga mereka turut terpedaya dan menyertai kumpulan ajaran sesat itu yang secara amat licik berjaya memesongkan kepercayaan orang Hindu daripada Tuhan; sebaliknya perlu menyembah mahaguru berkenaan.

“Unit pemasaran” kumpulan itu biasanya akan mensasarkan golongan wanita yang didapati menghadapi masalah dalam hidup; misalnya kemiskinan, kurang pelajaran, masalah rumahtangga, beban hutang, anak-anak bermasalah dan seumpamanya yang amat lazim dalam kehidupan seharian.

Boleh terkenal dalam bidang sastera Melayu

“Selepas berjaya menghasut dan menarik golongan wanita seperti itu masuk, maka bermula pula kerja-kerja MLM secara lebih agresif. Ada seorang wanita yang saya kenali menceritakan bagaimana bayaran bulanan hutang keretanya dengan bank tiba-tiba sudah langsai!

“Maka wanita itu mula menjadi penyebar kehebatan Datuk Guluji sebagai mahaguru yang memiliki mukjizat dan boleh menyelesaikan segala masalah hidup manusia. Akan tetapi, sebenarnya hutang bank itu dibayar oleh organisasi itu sebagai ‘pelaburan’ untuk menjadikan si wanita tadi alat pemasaran mereka,” seorang rakan menceritakan menerusi mesej Facebook.

Khabarnya wanita tadi berhutang RM1,700 kepada bank sebagai tunggakan bayaran ansuran kereta. Datuk Guluji meminta wanita tersebut berdoa dan yakin sepenuhnya pada “mukzijat” yang dimiliki mahaguru itu.

Pada masa sama, kumpulan ajaran sesat itu membayar tunggakan tersebut tanpa pengetahuan si wanita. Berikutan rasa takjub dengan “mukjizat” (kuasa “menghilangkan” hutang) yang dimiliki Datuk Guluji, wanita tadi berjaya membawa masuk hampir 40 pengikut baru; masing-masing membayar minimum RM730 untuk mendapatkan restu mahaguru berkenaan.

Beberapa tahun lalu, saya bertemu seorang rakan yang saya kenali semasa saya mengaji di Universiti Malaya dahulu. Rakan itu kini pensyarah bidang sains di sebuah universiti tempatan.

Dia dan isterinya cuba memujuk saya menyertai kumpulan meditasi itu; tanpa menyedari saya sudah tahu latar belakang kumpulan berkenaan. Katanya, ada seorang wanita dalam kumpulan itu yang merupakan seorang penulis sajak terkenal.

“Dalam sesi berkongsi pengalaman baru-baru ini, penulis wanita itu mengakui bahawa sejak menyertai kumpulan ini dan melakukan meditasi, membaca mantera memuja Datuk Guluji serta menyerahkan hidupnya kepada Datuk Guluji, dia banyak mendapat ilham dan idea menulis sajak-sajak bertema Islam.

“Jadi, awak pun masuklah. Nanti awak juga boleh menjadi terkenal dalam dunia sastera Melayu seperti penulis wanita itu yang sangat dikagumi pembaca Melayu sejak dia mendapat restu Datuk Guluji,” katanya; sementara saya berpura-pura tidak mengenali penulis wanita yang dimaksudkan.

Seorang graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menceritakan bagaimana dia dan kawan-kawannya pernah menjadi mangsa. Katanya, pada sekitar tahun 2003-2004, ramai mahasiswa UKM berjaya dipujuk menyertai kumpulan ajaran sesat itu.

Promosi, iklan di akhbar dan televisyen?

Kononnya Datuk Guluji boleh membantu mahasiswa cemerlang dalam pengajian dan peperiksaan di universiti! Bagaimanapun, ramai yang kembali ke pangkal jalan apabila “mukjizat” mahaguru itu terbukti hanya penipuan yang bermotif merampas wang golongan terdesak.

Saya tidak tahu mengenai gerak kerja dan amalan kumpulan seperti RPT (sekadar contoh), tetapi kumpulan ajaran sesat yang dimaksudkan di sini mempunyai polisi “wang tidak dikembalikan”. Tambahan pula memang tiada sebarang resit diberikan sebagai bukti bayaran. Malah, tentulah “sumbangan ikhlas” dan “pengeras” dalam bentuk bayaran tunai itu tidak dibayar cukai.

Memanglah segala apa yang berlaku ini amat melucukan dan pasti membuatkan masyarakat Bukan India-Hindu tertanya-tanya apakah memang wujud ribuan anggota masyarakat India yang boleh ditipu dengan begitu mudah oleh seorang penyebar ajaran sesat yang bertopengkan gelaran “mahaguru” dan “Datuk”.

Ada juga ura-ura bahawa iklan dan promosi serta slot khas ucapan Datuk Guluji mendapat liputan meluas menerusi media cetak dan media elektronik (radio dan televisyen) tempatan, tetapi saya tidak pasti tentang perkara itu.

Mungkinkah stesen radio/televisyen, akhbar dan media, serta jabatan dan kementerian terbabit “terlepas” pandang akan perkara ini.

“Saya memohon agar orang ramai segera tampil dan membongkar kegiatan kumpulan ajaran sesat ini supaya rakyat Malaysia tahu akan warna sebenar kumpulan ini yang sedang bermaharajalela tanpa kawalan,” kata seorang individu dengan penuh harapan.

Khabarnya “mangsa” yang cuba diperangkap “unit pemasaran” dan pengikut setia Datuk Guluji belakangan ini bukan hanya orang India-Hindu.

Penganut Kristian dan Islam juga didekati dan cuba dihasut secara halus supaya menumpukan sepenuh kepercayaan dan kesetiaan hanya kepada Datuk Guluji; bukan kepada “mana-mana kuasa lain” termasuk Tuhan.

“Saya bukan pengikut, tetapi hampir-hampir berjaya direkrut oleh kumpulan ajaran sesat itu. Saya kasihan melihat kaum India yang tidak berpelajaran, miskin dan kurang pengetahuan agama terus-menerus terpedaya dan membiarkan diri mereka diperbodohkan,” luah seorang lagi.

Sementara MHS masih belum mampu bersuara – apatah lagi bertindak – menyelamatkan orang Hindu, apa kata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ridhuan Tee Abdullah (sekadar contoh) melakukan siasatan segera sebelum akidah orang Islam mula dipesongkan secara amat licik oleh Datuk Guluji dan konco-konconya.

Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi [email protected] untuk berkongsi pengalaman.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments