Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Portugis tak mahu status Bumiputera

 | December 18, 2013

Komuniti unik di perkampungan berusia lebih 130 tahun ini mahu mengekalkan tradisi.

COMMENT

Sebelum ini saya beranggapan penduduk keturunan Portugis di Perkampungan Portugis, Ujong Pasir, Melaka sudah berjaya mendapatkan kedudukan istimewa sebagai golongan Bumiputera.

Pada masa sama, saya juga tertanya-tanya mengapa pula penduduk keturunan Chetti di Kampung Chetti, Melaka tidak menikmati kedudukan istimewaan yang serupa. Sebaliknya penduduk di Perkampungan Warisan itu sedang berdepan kepupusan akibat pembangunan di kawasan bersebelahan.

Walau bagaimanapun, rupa-rupanya masyarakat keturunan Portugis di Malaysia hanya berjaya mendapatkan peluang pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Pengesahan ini diperolehi semasa sesi perbincangan dan taklimat dengan Regedor (Ketua Kampung) merangkap Pengerusi JKKK Perkampungan Portugis, Peter Thomas Gomes (gambar) pada 14 Disember 2013.

Sesi khas itu sempena Kunjungan Perpaduan Kavyan anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang turut disertai Nor Arlene Tan (Projek Dialog), Shahrul Nizam Abd Hamid (Kavyan) dan Rayner Yeo (Kavyan).

“Satu-satunya keistimewaan Bumiputera yang kami nikmati adalah Amanah Saham. Peluang itu pun hanya berjaya didapati selepas kami berjaya membuktikan bahawa penduduk Portugis di sini memiliki tiga kriteria istimewa; iaitu satu agama (Roman Katholik), satu bahasa yang unik, dan satu budaya unik,” Peter menghuraikan kepada kami.

Keadaan ini agak berbeza dengan masyarakat Chetti dan Baba Nyonya. Walau bagaimanapun, persamaan nyata antara orang Portugis dan Chetti adalah bahawa kedua-dua komuniti istimewa ini terhasil ratusan tahun dahulu berikutan perkahwinan lelaki India/Portugis dengan wanita tempatan (Melayu).

Kehidupan biasa sebuah perkampungan

“Cara berpakaian wanita Chetti, Nyonya dan Portugis juga sangat serupa itu baju kebaya. Wanita Nyonya lebih ramping dan mampu memperagakan kebaya pendek berbanding wanita Portugis yang berbadan lebih besar,” kata lelaki itu sambil ketawa.

Berbalik kepada soal status Bumiputera, Peter menghuraikan bahawa suatu gabungan badan-badan penduduk Eurasian di seluruh Malaysia pernah mengadakan perbincangan untuk sama-sama menuntut status berkenaan.

“Kami sudah bersiap-sedia untuk mengemukakan cadangan kepada Tun Mahathir semasa beliau masih menjadi Perdana Menteri; beberapa tahun sebelum beliau melepaskan jawatan. Malangnya suasana politik negara pada masa itu tidak begitu baik.

“Satu jawatankuasa khas pernah ditubuhkan untuk membuat kajian terperinci. Hasil penemuan sangat positif. Malangnya Tun Mahathir tidak sempat mengumumkan kami sebagai Bumiputera. Selepas itu, kami tidak meneruskan tuntutan status Bumiputera,” katanya.

Sesungguhnya ini kali pertama saya, Shahrul dan Rayner sampai di Perkampungan Portugis. Bagi Arlene pula, dia ada saudara-mara di sini tetapi amat jarang berpeluang bertemu.

Apabila berada di perkampungan tepi laut ini, ternyata ia tidaklah semeriah selalu digambarkan menerusi iklan pelancongan. Sebaliknya para penduduk di sini hidup seperti biasa sahaja; seperti yang boleh dilihat di mana-mana kampung.

Peter yang dilantik sebagai Regedor pada tahun 1998 mengakui bahawa kehidupan di sini memang biasa sahaja. Kemeriahan yang menjadi tarikan pelancong adalah semasa Festa San Pedro (Jun) dan Krismas (Disember).

Segala lampu dan perhiasan yang dipasang menjelang Krismas dibeli menggunakan wang sendiri; bukan hasil sumbangan kerajaan negeri seperti disangka oleh saya selama ini. Masing-masing penduduk mengumpul wang untuk membeli lampu dan perhiasan mengikut citarasa dan kreativiti.

‘Bantuan kerajaan akan membuatkan kami malas’

Terdapat sekitar 325 keluarga yang menghuni di 118 rumah. Maknanya, sebuah rumah dikongsi oleh beberapa keluarga; di mana anak-anak yang sudah berumahtangga akan tinggal bersama ibu bapa si suami sebagai suatu keluarga besar.

Apabila berjalan-jalan di sekitar Medan Portugis yang dirasmikan oleh Mahathir pada Januari 1985, amat nyata bahawa rupa fizikal komuniti ini agak berbeza. Maka, amat mudah untuk mengenali orang Portugis.

Peter menekankan bahawa walaupun mereka berbangga dengan jurai keturunan dan darah Portugis yang dimiliki, penduduk Portugis ini berbangga mengatakan bahawa mereka adalah Bangsa Malaysia. Atas dasar itulah juga mereka tidak meneruskan tuntutan hak istimewa Bumiputera.

“Hasil perbincangan, kami memutuskan secara sebulat suara bahawa jika kami mendapat kedudukan istimewa dan disuapkan (diberikan) pelbagai kemudahan, kami mungkin menjadi orang malas. Kedudukan kami tidaklah terlalu teruk dan kami juga mampu berdikari tanpa mengharapkan simpati. Bantuan khas yang diberikan mungkin akan memberikan kesan negatif jangka panjang,” Peter mengakui tanpa berselindung.

Dalam sesi taklimat yang berlaku dalam keadaan santai, Peter turut menceritakan bahawa semasa Mahathir menjadi Perdana Menteri, penduduk Portugis mahu memohon menjadi ahli Umno. Katanya, kalau mereka mahu menjadi anggota parti politik, eloklah memilih parti politik yang paling besar, paling berkuasa dan paling signifikan.

“Sebenarnya, sejak Umno ditubuhkan (11 Mei 1946), ada masyarakat Portugis yang menjadi ahli. Ada penduduk di sini memiliki nombor keahlian Umno bawah angka 100. Maka, cadangan kami untuk menyertai Umno secara beramai-ramai bukan sesuatu yang baru atau asing,” katanya.

Bercerita lebih lanjut, Peter mengatakan bahawa Umno Melaka dan Johor kurang bersetuju dengan cadangan itu. Maka penduduk Portugis memutuskan untuk tidak mengemukakan borang permohonan keahlian.

Hal ini tidak pula bermakna penduduk di Perkampungan Portugis berusia 130 tahun itu bersikap pro-Umno atau pro-Barisan Nasional (BN). Sebaliknya mereka memilih Umno kerana parti-parti politik lain pada masa itu tidak sekuat parti politik berkenaan.

Perjuangan yang belum selesai

“Kami memilih sikap menyokong kerajaan yang memerintah. Kami tidak menyokong mana-mana parti politik. Hal ini tidak menjadi masalah kerana kami tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak. Maknanya, kami tidak bernaung di bawah sesiapa,” Peter menjelaskan.

Penduduk keturunan Portugis ini sering disebut sebagai orang Serani atau Eurosian. Malah, selalu juga digelarkan sebagai Nasrani sedangkan gelaran itu sebenarnya merujuk kepada orang Yahudi dari Nazareth.

“Rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pernah menyebut kami sebagai ‘Lain-lain’ dan ‘White European’. Istilah ‘Eurosian’ terlalu umum kerana tidak menyebut negara mana yang dimaksudkan di Eropah. Kini, kami memastikan keturunan kami dicatatkan sebagai ‘Portugis’ dalam semua dokumen rasmi,” kata Peter.

Ada beberapa kes pelik yang berlaku berikutan kecuaian penduduk pada masa lalu. Misalnya, jika seorang individu keturunan Portugis berkulit gelap sedikit, pegawai JPN merekodkan keturunan mereka sebagai ‘India’ tanpa cuba mendapatkan kepastian. Individu berkenaan disangka individu kaum India beragama Kristian.

“Tidak lama dahulu, apabila seorang warga emas meninggal dunia, baru kami sedar bahawa keturunannya direkodkan dalam sistem JPN sebagai ‘Maldives’! Ada pula orang yang direkodkan sebagai penganut agama Islam. Maka, kami mengambil langkah membuat semakan bagi memastikan tidak berlaku apa-apa kesilapan yang boleh menyebabkan keunikan komuniti ini terjejas,” ketua kampung yang peramah itu menceritakan.

Peter menegaskan bahawa beliau sudah memutuskan untuk membeli alat khas yang boleh membaca maklumat pada cip kad pengenalan (MyKad) bagi memastikan maklumat yang terkandung di dalamnya adalah betul, tepat dan benar.

Tindakan itu mungkin dipandang ringan oleh pihak tertentu tetapi sesungguhnya amat penting bagi memastikan maklumat peribadi tidak dimanipulasi secara licik dalam usaha melakukan penghapusan etnik; seperti yang khabarnya sedang giat dipromosikan oleh Ridhuan Tee Abdullah.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments