Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Rahmat yang hilang

January 8, 2014

Pertikaian betul atau tidak tindakan JAIS boleh dibahaskan dari sudut perundangan dan kebijaksanaan bertindak

COMMENT

Mujahid Yusof Rawa

Kerahmatan adalah perkataan yang indah namun sukar dinikmati dan kerana hakikat ini, mengecapi kerahmatan adalah sesuatu yang merupakan kemuncak perasaan belas dan ihsan kepada ciptaan Allah.

Tidak mungkin kerahmatan ini dihargai jikalau tidak terasas dalam diri kita sebagai seorang muslim sifat insaniah yang dianjurkan oleh Islam.

Muqadimah di atas membuka ruang untuk saya menyinggung perkembangan terkini rampasan beberapa ratus naskhah Injil dari premis Persatuan Injil Malaysia oleh pihak penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

MEMBETULI SALAH TANGGAP

Adalah jelas di sini pertikaian betul atau tidak tindakan JAIS boleh dibahaskan dari sudut perundangan dan kebijaksanaan bertindak dan inilah yang berlaku kepada setiap penguatkuasaan yang dilaksanakan.

Saya tidak berminat untuk membahas aspek itu kerana JAIS pasti akan mempertahankan tindakannya dan terserahlah kepada pihak pengamal undang-undang untuk membuat penilaiannya.

Saya lebih cenderung untuk melihat dalam artikel ini dari sisi prinsip yang memantulkan sifat rahmatan Islam yang mencakupi keseluruhan alam ini termasuk kepada penganut agama lain.

Apa yang saya nyatakan sebelum ini dalam kenyataan saya selepas peristiwa rampasan kitab Injil itu berpandukan kepada prinsip Islam dalam konteks hubungannya dengan penganut agama lain supaya kejelasan kita kepada isu tidak diheret dengan sentimen dan emosi buta yang boleh mencemarkan nama baik Islam.

Saya bimbang dengan sesetengah pihak dari kita yang memandang serong kepada saya sehingga mereka tidak dapat membezakan apa yang saya katakan dari kerangka prinsip dan kemarahan mereka yang tidak berasas.

Kita dididik untuk berpegang kepada prinsip, walaupun dalam keadaan marah sekalipun, kita memerlukan prinsip untuk memandukan kita dan Islam sarat dengan prinsip khususnya dalam memahami hubungan Islam dengan agama lain.

Semoga prinsip yang saya akan jelaskan di bawah difahami oleh mereka yang kenyataan dan tindak-tanduk mereka telah mencemarkan nama baik Islam.

PRINSIP PERTAMA: RAHMATAN LIL ALAMIN

Prinsip Rahmatan diambil dari kenyataan Al Quran yang mengasaskan و ما ارسلناك الا رحمة للعالمين iaitu “Tidak kami utuskan dikau wahai Muhammad melainkan untuk membawa rahmat ke alam ini” (Al Anbiya’ 107).

Sebarang tindakan ataupun undang-undang mestilah tidak bercanggah dengan sifat Rahmatan yang diasaskan oleh Islam . Demikianlah kita menentang ISA dan lain-lain akta yang tidak bersandarkan prinsip utama Syariat.

Bagi sesebuah otoriti yang bertindak atas nama Islam prinsip ini lebih-lebih lagi hendaklah diutamakan kerana walaupun bertindak atas nama Islam tetapi apabila tidak memantulkan makna Rahmatan maka ia bukanlah daripada Islam.

Makna Rahmatan bagi hubungan sesama manusia membawa maksud berlembut dan bersantun dalam memelihara hak Allah kepada manusia walaupun manusia tidak dapat menerimanya.

Hak Allah ke atas hamba-hambanya tanpa mengira keturunan dan agama ialah menghormati kebebasan mengamalkan agama masing-masing termasuklah upacaranya dan kitab sucinya.

Islam hanya menentang dan tidak dapat menerima aspek teologinya (aqidah) dan caranya ialah dengan menjelaskan kepada mereka melalui dakwah dan berdebat dengan cara yang terbaik. Allah berfirman dalam An Nahl: 33,

ومن احسن قولا ممن دعا الى الله و قال انني من المسلمين

“Dan apakah yang lebih baik dari seseorang yang menyeru kepada jalan Allah dan mengatakan bahawa aku adalah dari kalangan muslimin.”

Para musfassir berpendapat bahawa kerana ayat ini turun di Makkah maka ia adalah ayat tentang tugas Nabi yang besar dalam menerangkan kebenaran Tauhid melalui hujah dan keterangan dari Allah.

Kecuali Aisyah (r.a.h) menyatakan ayat ini ialah pujian kepada para muazin yang menyeru untuk mendirikan solat (sedangkan azan hanya disyariatkan selepas hijrah).

Kerahmatan Islam juga terserlah dalam menegakkan keadilan tanpa mengira bulu atau agama dans alah satu keadilan yang dibela oleh Islam ialah hak untuk beragama malah segala keperluan ibadat mereka adalah hak yang tidak boleh dirampas dan hendaklah diperuntukkan kepada mereka.

PRINSIP KEDUA: LARANGAN MENGUTUK AGAMA LAIN

Nabi menunjukkan contoh kepada kita bahawa seorang muslim hanya bertanggungjawab menyampaikan kebenaran tetapi tidak boleh mengecam tuhan-tuhan golongan yang tidak beriman kerana balas membalas kecaman hanya akan mengheret pihak lain akan memaki hamun Allah pula sebagai tindak balas. Allah berfirman dalam Al An’am:108

ولا تسبوا الذين يدعون من دون الله فيسبوا الله عدوا بغير علم كذلك زينا لكل أمة عملهم ثم إلى ربهم مرجعهم فينبئهم بما كانوا يعملون ( 108 ) ) .

“Jangan kamu memaki hamun tuhan mereka yang menyeru selain daripada Allah, kelak mereka akan balas memaki Allah dengan permusuhan dan mereka tidak ada pengetahuan tentangNya (Allah), Demikianlah dihiaskan pada setiap umat (yang menganuti sesuatu agama, mereka amat menyukainya dan akan mempertahankan apa yang mereka ada) perbuatan mereka, dan kemudian kepada Tuhan mereka akan dikembalikan dan diberitakan kepada mereka (apa yang kesesatan yang mereka lakukan, dan kebenaran yang dibawa oleh Muhamaad s.a.w)”

Ayat sebelum 108, iaitu 107, dengan tegas menyebut bahawa Muhammad s.a.w bukan penjamin dan boleh memaksa mereka untuk beriman kerana hakikatnya Allah menyatakan bahawa Dia berkuasa untuk menjadikan mereka beriman tetapi Allah tidak berbuat demikian. Nabi dan orang Islam hanya dituntut dengan penuh hikmah menyeru mereka.

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا أَشْرَكُوا ۗ وَمَا جَعَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا ۖ وَمَا أَنتَ عَلَيْهِم بِوَكِيل

“Jikalau dikehendaki Allah pasti mereka tidak akan mensyirikkan diri dengan Allah, Kami tidak jadikan engkau wahai Muhammad sebagai penjaga mereka (untuk beriman) dan engkau bukanlah penjamin mereka (supaya beriman).”

PRINSIP KETIGA : TIADA PAKSAAN DALAM AGAMA

Islam tersebar keseluruh dunia bukan dengan kekerasan dan pemaksaan. Telah terbukti bahawa penerimaan Islam berlaku secara pilihan dan pemerintahan Islam tidak pernah memaksa mana-mana bangsa yang dikuasainya untuk memeluk Islam.

Malah rumah ibadat dan kitab suci mereka dibiarkan untuk penganut masing-masing tanpa ada urusan campurtangan dalam urusan agama orang lain. Sebenarnya umat Islam dipandu dengan prinsip “tiada paksaan dalam memeluk Islam”.

Ia diasaskan oleh firman Allah dalam Al Baqarah:256

لا اكراه في الدين قد تبين الرشد من الغي فمن يكفر بالطاغوت و يؤمن بالله فقد استمسك بالعروة الوثقى لا انفصام لها والله سميع عليم

“Tiada paksaan dalam agama, telah jelas petunjuk dari kesesatan, barang siapa yang kufur dengan Thagut (selain dari Allah) dan beriman dengan Allah maka dia telah berpegang dengan ikatan yang kuat, tiada tercerai daripadanya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Ayat ini turun di Madinah di kalangan ibu-ibu yang Islam bertanya kepada Rasulalah s.a.w apakah dizinkan mereka memaksa anak-anak mereka yang beragama Yahudi untuk peluk Islam?

Menjadi amalan kepada ibu-ibu yang susah mendapat anak untuk bernazar dengan berkata, “Jikalau aku dapat anak akan ku jadikan anak ini nanti memeluk agama Yahudi.”

Apabila mereka mendapat anak mereka memenuhi nazar ini lalu setelah mereka menerima Islam, mereka mahukan anak -anak mereka dipaksa supaya memeluk Islam.

Dalam riwayat yang lain apabila Bani Nadhir dihalau dari Madinah anak-anak mereka berada dalam itu lalu untuk menyelematkan anak mereka, mereka mahu memaksa anak -anak mereka memeluk Islam, dan turunlah ayat menerangkan prinsip besar ini iaitu “tiada paksaan dalam agama”.

Prinsip ini konsisten hatta semasa Nabi di Makkah apabila Allah menegaskan bahawa jika dikehendaki semua orang akan beriman. Sifat Nabi yang ambil berat kepada kaumnya menyebabkan dia bimbang keengganan mereka untuk tidak beriman lalu Allah menegur Nabinya dalam Yunus:99,

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَآمَنَ مَن فِي الْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا ۚ أَفَأَنتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ

“Jika Tuhan mu kehendaki maka akan berimanlah semua yang dibumi, apakah engkau mahu memaksa mereka sehingga mereka beriman?”

Kaedah tiada paksaan menerangkan kepada kita juga tentang perlunya umat Islam menghormati agama lain termasuk rumah ibadatnya dan segala apa yang mereka anggap suci termasuklah kitab mereka.

Hormat bukan bererti mengiktirafi mereka tetapi akur kepada realiti kepelbagaian dan bersikap terbuka lewat interaksi dakwah dan mendorong mereka ke arah menghayati keindahan Islam. Abu Bakar As-Siddiq menulis surat kepada Kristian Najran dengan berkata:

“Dengan nama Allah Maha Pengasih, Maha Penyang, ini adalah surat dari hamba Allah Abu Bakar, pengganti Muhammad sebagai pemimpin kamu untuk penduduk Kristian Najran bahawa aku melindungi mereka dengan perlindungan Allah dan jaminan Muhammad, Rasulallah ke atas diri mereka dan tanah mereka, agama mereka, harta mereka, binatang ternakan mereka, ibadat mereka dan semua yang ada serta uskop mereka, rahib mereka dan jual beli mereka dan apa yang ada dalam milikan mereka sedikit pun tidak dikurangkan atau diambil dari mereka, tiada uskop yang ditukar dan rahib yang ditukar” (dalam Kitab Kharaj).

Abu Bakar selaku khalifah Islam pertama meletakkan asas hubungan atas prinsip “tiada paksaan” menjadi ikutan sepanjang sejarah Islam dalam hak orang bukan Islam khususnya Ahlul Kitab yang perlu dilindungi oleh pemimpin Islam.

Tidak pernah dalam sejarah Islam mana-mana kitab suci dirampas atas apa juga alasan kerana ia mencemari prinsip tiada paksaan.

“Tiada paksaan” juga bermakna bahawa setiap penganut mempunyai caranya tersendiri memahami keperluan agamanya tanpa ada hak untuk kita mencampuri urusan agama dan kitab suci mereka apatah lagi menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh untuk mereka kerana mereka mempunyai undang-undang dan cara mereka tersendiri. Dalam al-Maidah ayat 48 menegaskan:

….لكل جعلنا منكم شرعة ومنهاجا ولو شاء الله لجعلكم امة واحدة ولاكن ليبلوكم في ما اتاكم فاستبقوا الخيرات…..

“…pada setiap umat Kami jadikan mereka undang undang dan cara masing-masing, jikalau dikehendaki Allah dijadikan kamu atas satu agama  tetapi adalah untuk menguji kamu apa yang diberikan maka berlumbalah berbuat baik..”

Kitab suci Taurat dan Injil ada undang undangnya dan caranya walaupun Islam merangkumi kitab sebelumnya tetapi hakikatnya Injil dan Taurat masih ada hari ini dan tiada hak untuk kita menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dipakai dalam keperluan kitab mereka kerana itu juga adalah satu bentuk paksaan.

PRINSIP KEEMPAT: BERDIALOG

Keindahan Islam dan Rahmatnya kepada agama lain terserlah dengan jambatan dakwah dan dialog sebagai interaksi Islam dengan bukan Islam.

Walaupun kebenaran Islam tidak diragui lagi, Allah tetap menyatakan prinsip berdialog dan berbincang dengan cara yang baik seperti firmanNya dalam An Nahl ayat 125:

ادع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن إن ربك هو أعلم بمن ضل عن سبيله وهو أعلم بالمهتدين

“Serulah kamu ke jalan Tuhan mu dengan penuh bijaksana dan hikmah dan jika berdebat maka berdebatlah dengan cara yang terbaik(lembut) Maka Tuhamu mengetahui siapa yang sesat dan siapa yang mendapat petunjuk”

Prinsip dialog menuntut supaya dalam apa jua hal maka rundingan dan dialog adalah lebih baik dalam menentukan hubungan dengan agama lain, apatah lagi jika berlaku kekeliruan ataupun sesuatu yang sensitif yang boleh menjejaskan hubungan antara agama di negara ini.

RUMUSAN PRINSIP

Prinsip-prinsip di atas membentuk Rahmatan Islam kepada keseluruhan Alam dan khususnya dalam hubungan Muslim dan non Muslim.

Kita diajar bahawa setiap apa yang kita lakukan tidak boleh bercanggah dengan prinsip di atas selagi tidak ada apa-apa keadaan dan situasi yang membolehkan orang Islam bertindak sebaliknya seperti mempertahankan diri ataupun apabila terbukti sesuatu ancaman itu berlaku.

Adalah sesuatu yang bertentangan dengan prinsip juga apabila Islam cuba mencampuri urusan agama orang lain dengan menentukan mana yang boleh dan mana yang tidak boleh lalu bertindak ke atas mereka.

Premis hubungan muslim dengan bukan Islam diasaskan oleh kedamaian dan situasi sebaliknya seperti permusuhan adalah sesuatu yang mendatang atas sebab-sebab yang jelas dan bukti yang nyata.

Dakwaan kristianisasi jika benar hendaklah ditangani dengan bukti kerana itu bertentangan dengan semangat negara ini yang terbina atas Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Apa yang berlaku hari ini ialah ialah hubungan dengan bukan Islam seolah berada atas premis permusuhan manakala kedamaian adalah pengecualian.

Asas fahaman ini amat bahaya dalam konteks membina negara bangsa dan perpaduan nasional kerana ia rapuh dan boleh dirampas perpaduan yang dibina selama ini oleh pihak-pihak yang sempit gagasan negaranya pada bila-bila masa.

Saya menyeru kepada mereka yang tidak setuju dengan pandangan saya bahawa berhujahlah atas prinsip yang saya kemukakan dan jangan berhujah atas emosi dan amarah apatah lagi tuduhan pro Kristian dan malah ada yang mempersoalkan keIslaman saya.

Apakah sebahagian kita ini sudah hilang kewarasannya dengan menyebarkan kejahilan dan kebodohan dan menyerang prinsip dan menidakkannya atas nama Islam?

Penulis ialah Ahli Parlimen Malaysia merangkap Jawatankuasa PAS Pusat. Beliau juga merupakan Pengerusi Forum Dialog Antara Agama Untuk Kedamaian peringkat Asia Tenggara.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments