Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Beri peluang guruji bertaubat

 | February 23, 2014

Orang ramai semakin berani membuat pendedahan mengenai guruji palsu. Mungkin sudah tiba masanya mereka gulung tikar.

Golongan “guruji” yang menipu masyarakat India serta memanipulasi ajaran Hindu untuk mengaut keuntungan masih perlu diberikan peluang untuk menebus dosa itu.

Demikian pandangan seorang individu yang saya temui baru-baru ini untuk berbual mengenai isu tersebut yang semakin hangat diperkatakan secara terbuka; khususnya melalui laman rangkaian sosial seperti Facebook.

Saya menulis “Kisah Datuk Guluji” (FMT, 2 Disember 2013) sebelum meneruskan dengan pendedahan mengenai beberapa lagi guruji berdasarkan maklumat yang diberikan orang ramai; kebanyakannya adalah mangsa golongan guruji berkenaan.

Pada 11 Februari 2014, saya ke Jalan Raya Barat, Klang untuk bertemu seorang individu yang berminat untuk bertemu dengan saya untuk bercakap mengenai golongan guruji. Beliau khabarnya mengikuti tulisan-tulisan saya sejak dahulu.

Hanya apabila sampai di tempat yang dijanjikan, barulah saya sedar bahawa individu yang menghubungi saya menerusi telefon ialah Datuk R S Thanenthiiran, presiden Parti Makkal Sakti Malaysia.

“Konsep ‘guru’ (guruji) memang wujud dalam ajaran Hindu. Malah, individu berkenaan menjadi insan yang boleh membantu penganut lebih mengenali dan mendekati Tuhan.

“Malangnya, apa yang sedang berlaku sekarang adalah keadaan di mana guruji berkenaan mula dianggap oleh pengikut tegar sebagai bayangan Tuhan, lalu didewa-dewakan,” bekas guru sekolah menengah itu memulakan perbualan di pejabatnya.

Guruji sebenar tidak bersikap material

Seorang guruji dalam budaya Hindu berada dalam kedudukan tidak lagi terikat atau teringin akan kemewahan kehidupan duniawi. Perkara ini amat jelas apabila kita meneliti kisah kehidupan begitu banyak golongan guruji dalam sejarah Hindu sejak sekitar 5,000 tahun dahulu.

“Tentu sahaja seorang guruji tulen tidak akan ada keinginan mahu memiliki wang dan harta-benda. Akan tetapi, golongan guruji palsu yang sedang bermaharajalela di Malaysia pada masa sekarang terbukti secara terang-terangan mengutip wang dan yuran daripada para pengikut,” kata Thanenthiiran.

Lebih malang apabila ajaran yang disampaikan oleh golongan guruji ini tersasar daripada ajaran sebenar agama Hindu. Ilmu magis, pukau dan sebagainya yang bertentangan dengan Hindu sudah diselitkan ke dalam model pengajaran yang dibawakan oleh mereka.

Thanenthiiran juga meluahkan rasa hairan kerana pengikut penyebar ajaran sesat seperti ini termasuk golongan profesional seperti peguam dan doktor. Perkara ini membuktikan bahawa tahap pendidikan dan pekerjaan tidak menentukan seseorang itu mampu berfikir secara waras atau sebaliknya.

Politikus berumur 51 tahun itu hairan mengapa ada orang sanggup mengeluarkan belanja yang banyak untuk menjadi pengikut golongan guruji yang amat nyata terpesong daripada ajaran sebenar agama Hindu.

Malah, para pengikut ini sanggup pula berebut-rebut mahu memeluk, membasuh kaki serta mencium kaki guruji; kononnya untuk mendapatkan berkat dan kuasa yang dimiliki oleh individu istimewa itu.

“Segala perbuatan ini amat memalukan bagi seluruh penganut Hindu di Malaysia. Lebih malang apabila golongan miskin terus menjadi mangsa manipulasi dan penipuan golongan penyebar ajaran sesat yang bertopengkan agama Hindu.

“Masyarakat perlu sedar bahawa Tuhan akan menerima doa setiap insan tanpa perlu melalui golongan guruji atau sami yang meminta sekian-sekian bayaran untuk mendapatkan sekian-sekian permintaan daripada-Nya,” Thanenthiiran meluahkan keresahan berhubung amalan dalam masyarakat.

Kelemahan masyarakat dimanipulasi guruji

Beliau yang terlibat secara aktif dalam Hindu Youth Organisation (HYO) sejak berumur 19 tahun turut mengingatkan bahawa masyarakat sebenarnya tidak perlu mencari-cari guruji; apatah lagi dengan membayar yuran dan pengeras yang begitu tinggi.

Sebaliknya, dalam konsep Hindu, seorang guruji yang tulen akan datang sendiri selepas mengenal pasti murid (individu) yang sesuai untuk menjadi pengikutnya. Malangnya, apa yang berlaku sekarang adalah semacam perniagaan ‘multi level marketing’ di mana setiap pengikut cuba menambah pengikut dengan yuran yang amat tinggi.

Apakah antara punca yang menyebabkan orang Hindu di Malaysia begitu mudah terjebak dalam ajaran sesat yang dibawakan oleh golongan guruji palsu? Itu antara topik yang saya bincangkan bersama-sama Thanenthiiran dalam pertemuan sekitar sejam di pejabatnya.

“Pada penelitian saya, salah sebab utama adalah kerana individu terbabit kurang pegangan agama atau terputus hubungan dengan ajaran sebenar agama Hindu.

“Satu lagi punca segala masalah ini adalah kerana ada orang yang cuba menggunakan jalan pintas untuk mencapai apa-apa yang dihajati. Misalnya dalam mengejar wang dan kebahagiaan,” Thanenthiiran menghuraikan.

Akibat terlalu terpengaruh dengan ajaran sesat yang disampaikan pula secara penuh licik oleh golongan guruji palsu, para pengikut mula mengimpikan kuasa-kuasa magis yang kononnya boleh menjadikan mereka kebal daripada segala masalah hidup.

Salah satu contoh yang sering diperkatakan orang adalah mengenai seorang guruji yang kononnya boleh “memindahkan” kuasa magis yang dimilikinya kepada para pengikut – yang membayar lebih RM3,700 – untuk membolehkan pengikut itu makan mentol lampu.

Guruji mengumpul dosa dan karma negatif

“Pengikut menjadi terlalu taksub sehingga sudah lari daripada tujuan asal mencari seorang guruji (pembimbing agama) dan mula mengimpikan kuasa-kuasa magik yang tidak masuk akal. Minda mereka terus dimanipulasi golongan pembawa ajaran sesat yang mahu mengaut keuntungan atas kebodohan orang ramai,” katanya.

Thanenthiiran yakin bahawa apa yang berlaku sejak lebih sedekad lalu pasti akan sampai kepada penghujung. Golongan penyebar ajaran sesat yang memanipulasi agama dan mengambil peluang atas kesusahan orang pasti tidak dapat berbuat demikian untuk selama-lamanya.

“Saya beranggapan bahawa apa yang berlaku merupakan suatu ujian besar kepada masyarakat India dan penganut agama Hindu. Kebenaran akan tetap berjaya akhirnya walaupun terpaksa melalui pelbagai rintangan dan ujian yang mencabar.

“Kalaulah benar golongan guruji ini ada kuasa ajaib seperti dipropagandakan, gunakanlah kuasa itu untuk membantu masyarakat India mencapai mobiliti sosial dan kehidupan yang lebih baik. Itulah sumbangan terbesar golongan guruji jika mereka benar-benar ikhlas dan berhati mulia,” politikus yang berasal dari Kedah itu mengemukakan pandangan.

Apa yang sedang dilakukan oleh kebanyakan golongan guruji adalah mengumpul dosa dengan menipu orang ramai. Wang dan harta-benda serta kehidupan mewah menjadi milik mereka menerusi perniagaan yang dijalankan atas nama agama.

Thanenthiiran menyatakan bahawa golongan guruji perlu menyedari hakikat mereka juga manusia biasa. Maknanya, mereka tidak akan hidup buat selama-lamanya.

Guruji perlu segera menyedari segala dosa dan penipuan yang dilakukan. Mereka pasti menerima balasan dalam bentuk hukum karma; iaitu kejahatan dibalas dengan kejahatan. Mungkin masih belum terlambat untuk mereka menebus dosa itu.

Serahkan kembali wang kepada masyarakat

“Saya benar-benar berharap golongan guruji terbabit akan segera bertaubat. Mereka perlu menyedari segala penipuan yang dilakukan selama ini. Selepas itu, mereka wajar segera melakukan sesuatu untuk menebus dosa itu.

“Mereka sudah pun mengumpulkan wang dan harta-benda yang banyak menerusi kutipan yuran tanpa resit, pengeras dan sumbangan ikhlas daripada para pengikut sejak sekian lama. Mungkin kini mereka perlu memberikannya semula kepada masyarakat,” Thanenthiiran mencadangkan.

Tentulah amat menarik jika golongan guruji – termasuk Datuk Guluji – tampil menyumbangkan harta mereka kepada masyarakat India; khususnya penganut Hindu di negara ini.

Sekiranya impian dan harapan itu menjadi kenyataan, pasti golongan guruji masih ada peluang untuk menebus dosa dan membersihkan nama mereka pada pandangan masyarakat.

Sejak belakangan ini, masyarakat semakin berani mengkritik, mempersoalkan serta mendedahkan pelbagai penipuan yang dilakukan golongan guruji. Selain FMT dan media sosial, akhbar Tamil juga sudah menjadi medan melakukan pendedahan terbuka.

Selama ini, mangsa hanya berdiam diri dan membisu kerana menyangka kononnya guruji ada kuasa yang mampu menghancurkan mereka (pengikut) jika mereka membuka mulut dan mendedahkan segala penipuan yang dilakukannya.

Kini, mangsa dan pengikut sudah berani membuka mulut dan bersuara. Mereka tidak mahu kaum-keluarga, jiran-tetangga, saudara-mara, rakan-rakan dan masyarakat turut menjadi mangsa golongan guruji palsu yang bermaharajalela.

Mungkin sudah tiba masanya golongan guruji segera bertaubat seperti disarankan Thanenthiiran, dan menggunakan “kuasa” wang dan harta yang dimiliki untuk menyumbang semula kepada masyarakat.

Sekurang-kurangnya apabila golongan guruji itu meninggal dunia nanti, masih ada orang yang akan mengenang kebaikan yang sempat mereka lakukan pada saat-saat terakhir dalam kehidupan mereka. Anggaplah ini sebagai peluang menebus dosa.

Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa dan perunding media.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments