Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Comango, UPR dan hak asasi

 | March 24, 2014

Kesemua syor berkaitan Orang Asal ditolak oleh kerajaan Malaysia.

COMMENT

comango1   Umum mengetahui bahawa kebanyakan tuntutan yang dikemukakan oleh Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (Comango) ditolak bulat-bulat oleh kerajaan Malaysia dalam sesi penerimaan muktamad Semakan Berkala Sejagat (UPR) anjuran Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland pada 20 Mac 2014.

Laporan Bernama (21 Mac 2014) menyebut bahawa “kerajaan Malaysia tegas mempertahankan kedaulatan Islam apabila menolak pelbagai tuntutan tidak munasabah dalam 232 syor negara anggota.”

Laporan sama memetik Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno sebagai menyifatkan Comango yang dianggotai 52 Badan Bukan Kerajaan (NGO) menuntut “hak kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biskesual dan transgender (LGBT)” yang “jelas bercanggah dengan Islam”.

Pada 20 Mac 2014, saya menjadi pemudah cara (moderator) bagi sesi perbincangan mengenai UPR di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur. Sesi itu berlangsung selama sekitar sejam sementara menunggu siaran langsung dari Geneva menerusi UN Web TV (webtv.un.org) yang kami tonton beramai-ramai.

Dalam sesi perbincangan itu, Suri Kempe (Sisters In Islam) menerangkan kepadacomango2 hadirin secara ringkas tentang latar belakang UPR dan peranan NGO Malaysia yang terlibat sama di dalamnya.

Angela Kuga Thas (Knowledge and Rights with Young People Through Safer Spaces) tampil menayangkan slaid sambil melakukan analisis terhadap sebahagian syor yang dikemukakan kerajaan negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB kepada kerajaan Malaysia dalam isu-isu berkaitan hak asasi manusia.

Sesi khas analisis syor negara anggota PBB

Seterusnya, Nicole Helwig (Malaysian Child Resource Institute) menghuraikan mengenai hal-hal berkaitan hak kanak-kanak, misalnya sijil kelahiran, kewarganegaraan, pendidikan, serta kanak-kanak kelainan upaya (OKU).

Beberapa syor negara-negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB berkaitan isu pelarian, penyeludupan manusia dan golongan migran pula dikupas secara ringkas oleh Katrina Maliamauv (Tenaganita).

Oleh kerana Tijah Yok Chopil (Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia) tidak dapat hadir, maka Arul Prakash (Pusat Komunikasi Masyarakat) menjadi wakil untuk memperkatakan mengenai hak Orang Asal yang anehnya terus dinafikan.

Malah kesemua enam syor yang dikemukakan di Geneva ditolak oleh kerajaan Malaysia. Segala pendedahan ini membuatkan hadirin turut tertanya-tanya tentang hala tuju negara dalam soal hak asasi manusia.

comango4Untuk makluman, proses UPR berlaku setiap empat setengah tahun dan proses yang berlaku pada 24 Oktober 2013 merupakan sesi pusingan kedua bagi Malaysia.

Salah seorang wakil NGO yang sempat berucap memberikan komen selama sekitar dua minit semasa persidangan Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geveva pada 20 Mac 2014 ialah Yu Ren Chung (gambar), aktivis hak asasi manusia. Beliau berucap mewakili Asia Pacific Forum on Women, Law and Development (APWLD), Women’s Aid Organisation (WAO), Comango dan Child Rights Coalition Malaysia.

Dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung menerusi UN Web TV, Ren Chung merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan Malaysia kerana menerima beberapa syor berkaitan hak asasi wanita. Beliau memberikan contoh Colombia yang menyarankan polisi kebangsaan berkaitan persamaan hak gender (gender equality) diperkenalkan. Secara dasarnya (in principle) Malaysia menerima syor berkenaan.

Pelbagai syor ditolak kerajaan Malaysia

“Bagaimanapun, kami kecewa kerana kerajaan Malaysia menolak kesemua tujuh syor supaya sekatan ke atas Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Jawatankuasa Hak Kanak-kanak (CRC) dan Jawatankuasa Hak Orang Kelainan Upaya (CRPD) dimansuhkan,” katanya dalam ucapan itu sambil merujuk kepada syor yang dikemukakan oleh Sepanyol, Perancis, Norway, Albania, Belgium dan Slovenia.

Ren Chung turut menyentuh kenyataan kerajaan Malaysia bahawa tidak ada bukti menunjukkan undang-undang keluarga Islam mendiskriminasi wanita dalam isu perkahwinan. Maka, katanya, kerajaan Malaysia sepatutnya tidak menolak syor berkaitan hak sama rata dalam perkahwinan.comango3

“Kerajaan Malaysia turut menolak syor Kanada berhubung kes rogol oleh suami atau ‘marital rape’ sedangkan walaupun sudah berkahwin dan menjadi isteri orang, seorang wanita masih berhak untuk menolak pelawaan mengadakan hubungan seks secara paksa,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung.

Saya juga sempat berbual (chat) bersama Ren Chung menerusi Facebook pada 23 Mac 2014. Katanya, beliau gembira apabila kerajaan Malaysia menerima syor Belgium supaya hukuman merotan dimansuhkan di sekolah.

“Akan tetapi, jika diperhatikan, kerajaan Malaysia memberikan komentar terhadap syor daripada Ukraine, Ecuador, Albania dan Republik Czech dengan mengatakan bahawa hukuman merotan masih boleh dilaksanakan mengikut undang-undang,” aktivis hak asasi manusia itu menghuraikan.

Kerajaan Malaysia turut menerima dua syor daripada Australia dan Sierra Leone bagi memastikan pemberian sijil kelahiran bagi semua bayi yang lahir di negara ini. Turut diterima adalah syor Tunisia, China, Jamaica dan Cyprus agar pendidikan bagi kanak-kanak OKU dibaiki.

Hak kanak-kanak masih belum terbela

“Kita masih kecewa kerana peluang pendidikan percuma peringkat sekolah rendah bagi anak-anak bukan warganegara yang disyorkan oleh Norway dan Mexico ditolak oleh kerajaan kita,” kata Ren Chung yang turut memuatkan salinan teks ucapan itu di blognya.

Satu lagi topik yang menjadi perbincangan dalam kalangan kami yang berkumpul di Publika pada 20 Mac 2014 adalah berkaitan isu perkahwinan kanak-kanak (child marriage). Ramai yang kecewa dan marah dengan kenyataan kerajaan Malaysia di Majlis Hak Asasi Manusia PBB bahawa perkahwinan kanak-kanak tidak pernah menjadi amalan lazim di Malaysia – “never been a trend”.

“Perkara yang diketahui umum adalah bahawa kanak-kanak perempuan beragama Islam yang sudah mencapai umur 16 tahun boleh berkahwin secara sah. Perempuan berumur bawah 16 tahun dan lelaki berumur bawah 18 tahun boleh berkahwin dengan kebenaran khas.

“Mengikut laporan akhbar The Star (6 Oktober 2013), lebih daripada seribu ‘kebenaran khas’ seperti itu diberikan pada tahun 2012. Kita perlu sedar bahawa individu berumur bawah 18 tahun adalah budak-budak, bukannya pengantin,” Ren Chung menegaskan menerusi mesej Facebook.

Tentulah pelbagai NGO dan gabungan NGO seperti Comango berhak untuk berasa sedih dan kecewa kerana begitu banyak syor yang dianggap penting dan perlu berkaitan soal hak asasi manusia dalam UPR ditolak bulat-bulat oleh kerajaan Malaysia.

Pada pandangan Ren Chung – dan rata-rata rakan-rakan aktivis hak asasi manusia yang saya temui di Publika pada 20 Mac 2014 – kerajaan Malaysia telah mengganggu dan melakukan serangan yang tidak wajar (harassment) ke atas kumpulan hak asasi manusia yang terlibat dalam proses UPR.

Masih ada peluang pada sesi akan datang

“Contoh paling nyata adalah tindakan kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Dalam Negeri mengisytiharkan Comango sebagai pertubuhan haram seperti turut dilaporkan di akhbar The Star (8 Januari 2014),” kata pemuda berkenaan.

Ren Chung berharap kerajaan Malaysia akan bekerjasama dengan NGO, khususnya dalam melaksanakan syor hak asasi manusia yang sudah diterima menerusi UPR berikutan saranan pelbagai negara seluruh dunia.

Untuk rekod, sesi UPR yang seterusnya dijadualkan pada tahun 2017. Saya percaya, yakin dan amat berharap Comango dan sekutunya akan meneruskan perjuangan demi hak asasi manusia. Sebarang “kegagalan” pada kali ini boleh dijadikan panduan masa depan.

Dalam pada itu, Yadim pula ternyata gentar dan gementar memikirkan “kekuatan” dan “kelantangan suara” Comango membuat tuntutan menjelang sesi UPR akan datang.

Hal ini jelas menerusi kebimbangan yang dilahirkan oleh Yadim. Asyraf dilaporkan oleh Bernama (21 Mac 2014) sebagai berkata, “ancaman itu dijangka berterusan kerana Comango dijangka terus membuat pelbagai tuntutan sehingga sesi berikutnya pada 2017. … Comango akan ada susulan kerana semakan ini empat tahun sekali dan desakan ini akan terus berlaku.”

Perkembangan ini mengingatkan saya kepada kata-kata yang pernah diucapkan mendiang Mahatma Gandhi: “Mula-mula mereka tidak mempedulikan anda. Kemudian mereka mengetawakan anda. Kemudian mereka menentang anda. Kemudian anda menang.”

Uthaya Sankar SB adalah penerima Anugerah Duta Keamanan daripada Universal Peace Federation. Beliau juga pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments