Adakah anda benar seorang ‘pakar’?
Buang perasaan ego dan bangga diri sebagai pakar supaya kita boleh mempelajari sesuatu yang baharu dengan pemikiran terbuka.
Oleh Azizi Ahmad
“Seorang pakar adalah seseorang yang boleh memberitahu anda bagaimana melakukan sesuatu yang tidak boleh dilakukan,” kata Robert Heinlein.
Berikutan agenda transformasi dan inovasi ke arah menjadikan wawasan satu realiti, pelbagai jenis perbincangan dan perjumpaan telah dan perlu dilakukan. Persidangan, bengkel, mesyuarat ahli pemikir dijalankan dan agenda perbincangan tidak pernah terhenti dan berterusan.
Banyak organisasi memanggil dan memilih ahli pasukan ‘pakar’ masing-masing untuk membantu mereka dalam mendapatkan objektif dan keputusan yang dikehendaki.
Kebanyakan organisasi dilihat terperangkap dalam memastikan mereka mempunyai pakar yang sebenar dalam sesi pertemuan untuk mencapai kata sepakat dalam program atau projek mereka. Kebanyakan hasil tidak menunjukkan kemajuan, hanya sekadar mencapai persetujuan sahaja.
Apa yang mereka tidak faham dan ‘mahu memahami’ adalah, bahawa apa yang mereka lakukan telah dilakukan secara berulang kali sebelum ini. Adalah tidak ‘waras’ jika kita melakukan perkara sama berulang kali dan mengharapkan hasil berbeza.
Sesebuah organisasi akan tetap melakukan perkara sama dengan cara mereka sering laksanakan. Sesebuah organisasi juga akan asyik dan tetap dengan membawa dan memanggil orang sama dan ‘tertentu’ di dalam sebarang pertemuan mahupun perbincangan.
Sebuah organisasi juga harus tidak menerima segala buah fikiran ‘pakar’ dan ‘orang tertentu’, namun ada baiknya turut menjemput mereka yang bersedia, sudi dan boleh membawa bersama idea baharu dan pemikiran berbeza.
Jika anda masih tetap mahu ‘pakar’ anda bersama, eloklah meminta mereka meninggalkan gelaran, kedudukan, jawatan, dan kepakaran seketika. Mintalah mereka untuk sudi mendengar, bersedia membuka minda, dan sudi menerima pendapat dan pandangan orang lain.
Keadaan ini mungkin agak janggal, namun bolehkah anda tidak ‘bermegah’ atau memanggil diri anda seorang pakar. Begitu jugalah kepada mereka, ‘pakar’ yang melantik diri sendiri.
Dalam hal profesionalisme, seluruh dunia pasti akan memberi tumpuan kepada yang pakar. Yang pasti, ada yang mahu diri mereka dikenali dan dirujuk kerana kononnya mereka adalah ‘pakar’ dan ‘tahu semuanya’.
Namun tidak kurang juga dan kemungkinan besar, ada yang lebih suka untuk menjadi ‘orang biasa’ sahaja. Untuk golongan wasatiyyah, mereka lebih suka bersama dengan kumpulan yang mahu mempelajari, sedia mempelajari dan mencuba sesuatu yang baharu.
Kemungkinan mendapat pengetahuan dan maklumat mengenai isu dan bidang dibincangkan akan meningkatkan dan menambahkan penguasaan apa yang kita tahu.
Rasa ingin tahu adalah perkataan yang sebaiknya. Seseorang jujur, telus, ikhlas dan baik akan mengakui apa yang mereka tidak tahu dan apa lagi yang perlu dipelajari.
Adalah membahagiakan jika dapat kita melihat ‘seorang pakar’ atau ‘seorang serba tahu’ mempunyai pendekatan yang lebih berfikiran terbuka.
Konsep keterbukaan dan membuang prasangka tentu tidak disenangi sesetengah pihak. Bahkan ia merupakan halangan terbesar apabila berurusan dengan topik seperti pendidikan dan pentadbiran, khususnya. Ini adalah berdasarkan bahawa mereka yang berada dalam bidang ini, adalah ‘pakar’ dalam bidang masing-masing. Benarkah ini?
Pemegang ijazah lanjutan adalah seorang pakar dalam bidang pengajian mereka, dia mungkin telah menulis tesis mengenai perkara, mahupun isu, tentang seseorang tertentu dalam tempoh itu dan menghabiskan bertahun-tahun menjalankan penyelidikan dan penulisan untuk menjadi pakar terkemuka dalam bidang itu. Dalam mana-mana profesion sama ada seseorang memilih untuk menjadi peguam, jurutera, doktor, atau pentadbir – ia memerlukan seseorang menjadi ‘pakar’.
Tentu menyeronokkan, menyenangkan dan membahagiakan, jika pandangan mahupun pendapat yang diutarakan dapat diterjemahkan dalam keadaan yang mengembirakan dan dipersetujui secara bersama. Daripada hanya terlalu percaya kepada ‘pakar’, menghargai dan menerima pemikiran dan pandangan baharu adalah lebih berkesan. Memang ianya sukar untuk diterima, namun ia memerlukan satu bentuk asuhan dan didikan yang perlu dilaksanakan.
Memang tidak munasabah. Tetapi, ia adalah apa yang patut kita buat dengan mengingati matlamat akhir untuk memahami pemikiran baru. Mengaku diri sendiri sebagai ‘orang biasa’ tidak akan memadam kemahiran, pengetahuan mahu pun kebolehan seseorang, sebaliknya ia membuka peluang pembangunan diri dalam bidang-bidang tertentu. Ia membolehkan seseorang untuk mendengar, membuat pertanyaan dan menambah minat serta kesungguhan. Ia membenarkan kita untuk melihat apa yang dapat difikirkan, dan bukannya apa yang TIDAK.
Sekarang tanya diri anda, adakah anda benar seorang pakar ? Adakah anda bersedia untuk mengenepikan ‘gelaran’ itu? Bersediakah anda untuk lebih bersikap terbuka kepada pemikiran baru? Bagaimanakah anda boleh mengurus ‘pakar’ di tempat kerja anda?
Untuk dianggap sebagai seorang pakar, seseorang itu bukan sahaja hendaklah berpengetahuan, berkemahiran dan kompeten dalam bidang mereka, namun, hendaklah diterima oleh rakan sekerja anda.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT