Apakah anda akan bertakbir jika Daesh menyerang KL?
Dan bagaimana jika yang menjadi mangsa adalah keluarga sendiri? Adakah ia masih demi sebuah ‘Daulah Islamiyah’?
Jika IS atau Daesh melakukan serangan mereka di Kuala Lumpur, adakah anda akan bertakbir menyambut serangan itu?
Bagaimana pula jika anda melihat nama keluarga dan sahabat handai termasuk dalam senarai mangsa di akhbar keesokan harinya? Adakah anda masih bertakbir dan penuh yakin menyatakan ia demi ‘Daulah Islamiyah’?
Seperti mana anda menyambut serangan kumpulan pengganas itu di Paris, Perancis yang meragut 130 nyawa tanggal 13 November lalu, atau ketika menonton video propaganda mereka di Syria yang kini hancur?
Saya merujuk kepada 11% rakyat Malaysia yang ‘mempunyai pandangan yang positif terhadap Daesh’ seperti dapatan Pew Research Centre.
Soalan ini perlu ditanya dan dijawab, di saat ancaman Daesh semakin nyata dan telah merebak ke negara kita.
Menurut laporan Bernama 9 Feb lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman sejak Feb 2013 telah menahan 157 individu kerana disyaki terlibat dengan Daesh.
Pada 25 Jan lalu, unit Daesh di Malaysia-Indonesia yang bergelar Katibah Nusantara menyiarkan video menyatakan ancaman mereka untuk membalas dendam ekoran tindakan polis menangkap ahli mereka.
Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun juga ada mendedahkan penyerang yang terlibat dalam pengeboman di Jakarta pada 14 Jan lalu pernah membuat panggilan telefon ke Malaysia.
Kalau itu belum cukup ‘real’, polis sebelum ini menahan seorang lelaki di stesen LRT Jelatek kerana disyaki memiliki kaitan dengan Daesh. Turut dirampas adalah senjata dan dokumen berkenaan Daesh.
Stesen LRT Jelatek tidak jauh dari rumah saya.
Ketika Daesh mengebom Paris, tidak sedikit orang Islam di negara ini yang bersetuju, atau paling kurang tidak membantah. Entah apa dendam mereka terhadap mangsa-mangsa serangan yang mereka sendiri tidak kenal.
Apa kaitan mangsa-mangsa dengan ‘negara-negara barat’ yang menindas orang Islam? Dan macam mana ‘Barat’ boleh diletakkan secara mudah sebagai satu entiti?
Selain Paris, Daesh juga menyerang negara-negara majoriti umat Islam, seperti di Beirut dan Baghdad (beberapa jam sebelum serangan di Paris) serta Fallujah (Sabtu dua minggu lalu). ‘Daulah Islamiyah’ apa yang ingin dibina daripada runtuhan yang akhirnya membenihkan ratapan dan kebencian?
Dalam satu sidang antarabangsa di Kuala Lumpur bulan lalu, pakar terorisme Asia Tenggara, Dr Sidney Jones menyifatkan masyarakat moderat adalah senjata paling ampuh dalam mengekang kegiatan keganasan.
“Di Indonesia, majoriti moderat jauh lebih penting dalam menyediakan asas sosial, serta sistem politik yang demokratik dan tidak represif, dalam mengekang terorisme berbanding program kerajaan yang khusus,” kata Pengarah Institut Analisis Dasar Konflik Jakarta itu.
Adakah umat Islam moderat di Malaysia cukup kuat untuk menjadi asas tersebut? Tidak perlu disentuh tentang system politik di sini. Jangan-jangan kita hanya boleh bergantung kepada pasukan keselamatan dalam menangani masalah ini.
Menurut pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik, mereka yang menyokong Daesh melihat militan itu sebagai ‘penyelamat palsu menentang ketidakadilan terhadap umat Islam seluruh dunia.
“Keadaan politik di Timur Tengah amat rumit… tetapi ada yang membuat kesimpulan secara simplistik dengan menganggap mereka sebagai wira,” katanya.
Perang Salib (atau Perang Sabil, mana-mana yang anda suka) sudah lama tamat. Islam dan Barat bukan lagi di dua ufuk yang bertentangan. Dan sudah lama agama tidak menjadi perkiraan penting dalam konflik dunia.
Umat Islam perlu berhenti melihat Islam sebagai identiti, tetapi sebagai pegangan yang menjadikan kita manusia yang lebih baik. Musuh terbesar Islam bukanlah ‘Barat’, tetapi Muslim sendiri.
Kita sering berkata ‘jangan melihat Islam daripada sikap Muslim, tetapi melalui nilai agama itu sendiri’, namun bukankah cerminan paling baik terhadap agama adalah penganutnya sendiri?
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Ungkapan yang sering digunakan ketika berhadapan kecaman berunsur Islamofobia itu janganlah akhirnya bertukar menjadi ratib untuk memujuk kekecewaan sendiri.