Putih tu cantik sangat ke?
Apakah kita sangat bangang menganggap kulit putih itu cantik dan kulit gelap itu hodoh hanya kerana kita dimomok sedemikian? Ya, saya tahu, kita memang bangang…
Masuk sahaja bahagian produk penjagaan kulit muka dan badan, hampir semuanya ada jaminan untuk memutihkan kulit. ‘Putih’, ‘gebu’, ‘cerah’, ‘lutsinar’, ‘berseri’, semuanya terma yang digunakan untuk memujuk pengguna bahawa produk tersebut boleh memutihkan kulit.
Pujukan itu ternyata berjaya, kerana itulah yang kita mahukan. Kita mahu kulit putih gebu, kita mahu orang tengok kita, mereka terus kata, kita ni Melayu yang kulitnya warna macam mat salleh, India yang cerah macam bintang Bollywood (Hindustan) dan sebagainya.
Tidak cukup dengan itu, kita ada produk yang bukan sekadar sapu pada muka tetapi ditelan dalam bentuk pil, diminum dalam bentuk jus dan sebagainya. Industri putihkan kulit, inovasinya sangat menggerunkan!
Obses terhadap kulit putih ini wujud dengan promosi dan publisiti berterusan kononnya wajah yang cantik, berkeyakinan penuh, baik, cerdik, hebat dan semua yang positif berlaku kerana seseorang itu berkulit putih/cerah.
Tetapi, bukankah anda merasakan ia satu pemahaman yang sangat bodoh? Berapa banyak produk memutihkan kulit di luar sana sebenarnya selamat? Mungkin tiada satupun, kerana untuk melawan ‘sifat semulajadi’, kita perlukan sesuatu yang bertentangan dengan sifat itu, seperti racun, dan ia jelas tidak selamat.
Menurut satu kajian, perniagaan produk ‘putihkan kulit’ ini sangat booming di Asia, dengan keuntungan berbilion-bilion dollar. Saya percaya di Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Kita pun ada bukti depan mata bila pihak media menyajikan kita kekayaan usahawan produk penjagaan kulit dan kosmetik, mereka jadi kaya-raya sebab berjaya putihkan kulit kita. Sampai boleh sponsor sana sini, itu dan ini.
Kepantasan sesuatu produk memutihkan kulit tanpa perlu tunggu lama-lama, kulit menjadi empat lima kali ganda cerah, kita anggap tiada lagi rasa hodoh kerana kulit gelap. Kita anggap Tuhan bagi kita penyelesaian, kita anggap ada magis pada produk itu yang segera beri penyelesaian.
Tetapi apakah kita ini sangat bengong sangat sampai tidak sedar semua keajaiban itu sebenarnya boleh menggadaikan nyawa? Apakah kita sangat bangang menganggap putih itu cantik dan gelap itu hodoh hanya kerana kita dimomok sedemikian? Ya, saya tahu, kita memang bengong dan bangang…
Terang lagi jelas, kandungan kimia dalam produk pemutih menyebabkan pelbagai penyakit termasuk kanser kulit, kegagalan sistem saraf, kegagalan fungsi hati, keracunan merkuri dan banyak lagi; tetapi bagi kita ia masih tidak menjadi isu. Mungkin dalam tempoh masa 20 hingga 30 tahun akan datang, ‘kita’ akan menjadi top news.
Lebih menarik, ada yang buat hal apabila pihak Kementerian Kesihatan menarik balik sesuatu produk pemutih kulit yang dikesan merbahaya. Mereka bising dengan pelbagai tomahan termasuk kononnya pihak tersebut tidak selesa melihat anak tempatan berniaga dan maju.
Kalau di sesetengah luar negara sudah ada pergerakan membantah iklan dan produk pemutih, kita pula sibuk memuja dan mendewakan produk ini.
Anggaplah, kini sudah tiba masanya untuk menyedar dan mendidik semua orang bahawa berkulit gelap juga cantik dan menawan. Gelap atau hitam, bukan satu kecacatan, ia adalah rahmat. Lebih gelap seseorang lebih sihat kulitnya kerana dilindungi kandungan melanin yang boleh menyelamatkan kulit daripada sinaran matahari yang membahayakan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Alamak, rupanya krim muka saya juga ada jaminan memutihkan kulit…..