Debat Dr Asri-Zamihan jadi pengukur kebijaksanaan ulama
Debat itu haruslah menjadi ruang untuk mencari kebenaran tentang apa yang tersirat dan bukannya dijadikan medan untuk mengaibkan di antara mereka
Jika dahulu golongan alim ini atau lebih tepat digelar agamawan diperhati ekoran cenderung menjadikan pentas ceramah sebagai medan untuk berpolitik tetapi kini mereka diperhati kerana isu-isu yang membabitkan akidah.
Misalnya, apa yang berlaku ke atas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin apabila dikatakan mempunyai pandangan yang tidak sealiran dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Disebabkan itu, beliau telah `digam’ daripada berceramah di negeri Johor bersama 15 lagi penceramah bebas yang lain.
Dalam hal ini penulis ingin berbicara mengenai pegangan umat Islam itu sendiri yang telah diajarkan oleh ibu bapa mereka sejak kecil dan perlu diamalkan hinggalah mereka akil baligh.
Bagi sesiapa yang dilahirkan di negeri-negeri seperti Selangor, Johor dan beberapa negeri lain di pantai timur mereka sudah tentu mendapat didikan di sekolah-sekolah agama milik kerajaan negeri sebagai `asas’ dalam kehidupan mereka.
Di situ mereka diajarkan mengenai hukum-hakam dan mengenal Islam sebagai sebuah agama yang syumul (menyeluruh) dan mencakupi semua aspek kehidupan.
Penulis percaya menerusi ilmu yang diperolehi di sekolah agama ini, ia boleh dijadikan penyuluh kehidupan mereka agar tidak tersesat atau tersasar daripada ajaran Islam yang sebenarnya.
Kembali kepada topik perbincangan apabila menyebut nama Dr Asri dan beberapa penceramah lain yang kononnya menjadi ancaman kerana pandangannya mengenai sesuatu perkara.
Daripada 16 orang yang disenaraikan, nama Dr Asri juga yang disebut-sebut hingga mendapat cabaran oleh Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), Zamihan Mat Zin untuk berdebat dalam isu-isu tertentu sealiran dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Debat itu pula telah diatur dan akan berlangsung pada 17 Februari ini meskipun rancangan awalnya hendak diadakan pada 10 Februari lepas.
Apa pun penulis berharap agar debat yang hendak diadakan itu bukanlah untuk mencari `hero’ tetapi ia perlu dijadikan sebagai satu saluran ilmiah yang boleh memberi manfaat dan kebaikan dari segenap sudut.
Yang penting, debat yang akan berlangsung itu janganlah dijadikan medan untuk mengaibkan sesiapa kerana tujuan ia diadakan adalah mahu mencari kebenaran demi kebaikan umat Islam sejagat.
Janganlah nanti ada pula yang bermasam-masam muka kerana terasa tewas dalam debat dan bagi yang dapat mematahkan hujah semasa debat itu janganlah pula mendabik dada kerana dalam mencari kebenaran dalam agama ia perlu dilakukan dengan cara bermuzakarah.
Ingatlah, janganlah berbalah kerana sesuatu isu hanya semata-mata mahu menutup malu sesama sendiri.
Ia kerana, natijahnya nanti akan dirasai oleh umat Islam sendiri dan dalam kalangan orang-orang bukan Islam pula mereka akan memerhati kesan daripada apa yang mereka telah lakukan.
Diharap debat itu nanti akan menjadi satu ruang perbincangan yang baik dalam merungkai isu yang diketengahkan selain dapat menjernihkan yang keruh.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram