Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Inflasi Penggredan, apakah yang dimaksudkan?

March 24, 2016

Dalam persekitaran hari ini, ramai yang bergelar Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD) tidak menunjukkan kesarjanaan dan status ’falsafah’ yang mereka punyai.

KOMEN

ijazah

Oleh Azizi Ahmad

Kematian mantan Ketua Pegawai Eksekutif atau CEO Apple, Steve Jobs menjadi bualan dan perbincangan dalam media dunia. Mungkin ramai yang tidak menduga dengan pemergian beliau dalam usia 56 tahun. Beliau dilahirkan pada tahun 1955 dan meninggal dunia pada tahun 2011.
Menurut laporan, Steve Jobs adalah merupakan seorang siswa Reed College, California yang gagal atau tidak tamat pengajian. Namun, Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama dalam mesej Twitter beliau, menyatakan penghargaan dengan kenyataan “Jobs mengubah cara kita melihat dunia.”

Persoalannya, apakah kaitan kenyataan diatas dengan artikel ini? Mari kita cuba fikirkan bagaimana seorang yang gagal dalam pengajian kolej dapat mengilhamkan dan membangun satu perusahaan perkomputeran dan menjadikannya satu perusahaan gergasi dunia. Steve Jobs dan rakannya Wozniak memulakan perusahaan di garaj mereka tanpa modal.

Ini juga berlaku pada Larry Page dan Sergi Brin yang membangunkan Google. Larry dan Sergey juga siswa kolej yang tidak menamatkan pengajian mereka, namun mula membangunkan empayar perniagaan Google dari sebuah bilik kecil di bengkel motokar mereka sendiri.

Di persekitaran terkini, ramai yang bergelar Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD), namun gelaran yang ada pada mereka tidak menunjukkan kesarjanaan dan status ’falsafah’ yang mereka punyai. Tidak kurang yang berjawatan gred 52 atau 54 dan seterusnya. Bayangkanlah seorang ’sarjana’ atau ’doktor’ bergelar yang ’buta dan gagap’ namun, kelibat mereka hanya sekadar gelaran.

Padahal menurut definisi seorang ’sarjana’ maupun ’doktor falsafah’ adalah mereka yang mempunyai keterampilan, atau disebut juga scholarly person. Jika kita menonton filem `kungfu Bruce Lee’, Master Kungfu adalah seorang ahli dan mahir berkungfu, ilmu persilatannya tinggi. Lalu kenapa banyak sarjana atau doktor falsafah yang tidak mahir bekerja mahupun dibidang mereka sendiri.

Selalu juga, kita menerima surat makluman atau memo dari ketua jabatan atau pejabat pengarah dan tentunya di tandatangani oleh pengarah, timbalan pengarah atau ketua jabatan yang turut mempunyai gelaran `doktor’ dan tidak kurang ’sarjana’. Dan tentulah surat atau memo lengkap ditandatangani oleh Dr.Ir. Polan, M.Si.

Kadang kala dan kerap kali terpaksa kita membaca surat itu berkali-kali, namun, masih kita tidak memahami apa tujuan surat atau memo tersebut dan masih tidak memahami tujuan surat yang diberikan.

Kerap juga kita perlu berbincang sesama sendiri untuk memahami hasrat dan tujuan surat atau memo diedarkan dan bayangkanlah seorang yang bergelar `doktor’ menandatangani sepucuk surat rasmi, tapi suratnya tidak difahami orang. Ini bermaksud si `doktor’ itu tidak mampu mengarang surat atau memo yang mudah, yang mampu memberi maksud atau komunikatif.

Kenapakah mereka yang bergelar `Doktor’ atau `Sarjana’ didapati di bawah tahap yang memuaskan (under-qualified), sementara mahasiswa drop-out seperti Steve Jobs pula menggoncang dunia. Barangkali inilah yang disebut inflasi pendidikan; nominalnya tinggi, tapi nilainya rendah.

Status pendidikan yang diperoleh tinggi, tapi kemampuan bekerja sangat rendah. Banyak institusi (terutamanya institusi kerajaan) yang kalau dilihat dari kelayakan normatif karyawan, banyak yang bergelar sarjana strata-1 sampai sarjana strata-2. Tapi kalau diteliti lebih mendalam, kinerja dan kemampuan personal, sangat memprihatinkan.

Personal yang kurang mempunyai kelayakan biasanya memerlukan persyaratan formal, melalui ijazah, untuk mendapatkan kenaikan pangkat. Sistem kenaikan pangkat yang kurang baik, ditambah persekitaran “suka atau tidak suka” dalam lingkungan kerja, menjadikan orang berusaha mendapatkan gelaran kesarjanaan yang tinggi walaupun tidak harus atau perlu mempunyai kemampuan dan keterampilan tinggi. Keadaan atau situasi ini merupakan salah satu faktor pendorong berlakunya inflasi pendidikan.

Yang paling membimbangkan, ada dan terdapat sebilangan jumlah pendidikan tinggi yang menjual murah gelar kesarjanaan. Sejumlah pendidikan tinggi mengamalkan sistem barter dalam menentukan kelulusan.

Siswa atau pelajar akan pasti lulus dan di ’luluskan’ dengan cara mudah dan adalah memalukan amalan pendidikan berintegriti. Semuanya dipakejkan, kuliah dijalankan secara fleksibel; hadirkan diri sahaja dalam kuliah; tugasan, ujian, kuiz dan peperiksaan bertulis tidak perlu risau, walaupun tugasan di dapati di plagiat, tugasan tidak memenuhi kehendak skima jawapan dan rubrik, kuiz; ujian dan jawapan ujian disiapkan dan di maklumkan secara ’hints and tips’; siswa atau pelajar hanya hadir dan memadankan jawapan sahaja; manuskrip tugasan, projek tugasan dan/atau tesis pun ada pakejnya tersendiri.

Sudah semestinya dalam satu hingga lima tahun, pakej sarjana dengan mudah akan diperolehi dan tentunya dengan ketetapan yang sudah dipersetujui. Amalan seperti inilah yang menyebabkan berlakunya inflasi pendidikan. Pengkuliahan hanyalah ’formaliti’.

Sebenarnya inflasi pendidikan sudah dimulai sejak usia awal sekolah. Sistem pendidikan mulai dari pra-sekolah hinggalah pendidikan tinggi tidak memberi murid dan siswa menjadi kreatif. Bahkan sebaliknya, kreativiti sudah tertanam di sekolah. Murid dan siswa mengikuti sekolah seperti robot. Yang penting guru sudah mengajar, murid naik kelas, kreativiti dan budi pekerti itu soal lain, sekolah tidak ambil pusing.

Kalau inflasi pendidikan di negara tercinta ini terus berlangsung, rasanya 50 tahun lagi pun, tidak sukar membayangkan 1Malaysia akan menyamai negara lain.

Inflasi penggredan boleh disamakan dengan inflasi kewangan. Di penghujungnya , dengan inflasi, anda akan mendapat lebihan dari sesuatu barangan atau keadaan dan ini bermakna anda juga turut akan memperolehi kekurangan dalam keadaan yang lain. Harga pos setem untuk menghantar kad hari raya adalah 50 sen masa ini tetapi hanya 15 sen sebelumnya.

Buat masa kini, jumlah pendapatan atau gaji seorang guru siswazah permulaan adalah dalam lingkungan RM2500 berbanding dahulu iaitu lebih kurang RM1300 sebulan, namun, mereka memerlukan perbelanjaan seimbang untuk memastikan perbelanjaan mereka adalah dalam perspektif keadaan semasa.

Dengan inflasi penggredan, anda perlu berusaha untuk melakukan suatu tugasan yang lebih sedikit, pada suatu tahap pencapaian untuk mendapatkan gred ’A’.

Dengan perjalanan masa, lebih ramai bilangan siswa atau pelajar memperolehi gred ’A’, kerana jumlah usaha dan tahap jangkaan pencapaian telah terhakis.

Di tahap pengajian tinggi, rekod pelaporan telah menunjukkan bahawasanya sejak kebelakangan ini dan secara purata, dua pertiga dari bilangan pelajar memperolehi gred ‘B’ dan satu pertiga memperolehi gred ‘D’.

Pada kebiasaanya, bagi sesuatu kelas yang mempunyai bilangan pelajar seramai 25 orang, akan hanya ada satu hingga tiga orang saya akan memperolehi ’A’. Pelajar tahu bahawasanya tidak ada sistem kuota ditetapkan, jika mereka mampu dan berjaya mendapat ‘A’ mengikut pengajaran berasaskan silibus atau proforma maka, tentunya kesemua dari mereka akan mendapat ‘A’.

Sebilangan dari rakan sekerja di jabatan yang tidak faham mengenai penggredan akan beroperasi mengikut sistem kuota. Mereka akan tetap memberi ’A’ dalam sebarang keadaan mana sekali pun dan ianya bukanlah satu strategi intelek yang sesuai atau sepatutnya.

Apabila keputusan peperiksaan dikeluarkan maka, dengan bangga dan gembiranya mereka akan memaklumkan betapa pelajar di bawah pengajaran mereka memperolehi gred ‘A’ sepanjang belajar di bawah mereka.

Dalam keadaan biasa, mereka telah dipasungkan dengan kefahaman ‘lengkungan loceng’, di mana di bawah lengkungan norma, pelajar yang memperolehi gred A adalah mereka yang berada di kedudukan 2.5% di atas lengkungan, 13.5% dari calon pelajar akan mendapat gred ‘B’, 68% akan mendapat gred ‘C’. Di lengkungan bawahan pula, 16% dari calon pelajar akan mendapat gred ‘D’ dan ‘F’, di mana 13.5% pada tahap ‘D’ dan 2.5% tahap F.

Namun, keadaan sebenarnya tidak berlaku, walaupun keadaan sebenar skoran ujian menunjukkan ramai yang gagal atau tidak mencapai tahap yang memuaskan, pelaporannya menunjukkan lebih kurang 50% calon pelajar memperolehi keputusan kepujian dan memberangsangkan.

Berdasarkan keadaan yang sama, janganlah kita kelabu mata jika mengetahui seseorang lulusan itu dikatakan memperolehi GPA (grade point average) yang tinggi. Satu artikel dari University of Washington mengenai inflasi penggredan telah menceritakan mengenai 35 pelajar yang telah dikenalpasti untuk diberikan gred A hanya dengan menghadiri kuliah. Mungkin agak terlalu pemurah, namun saya pasti bahawasanya (walaupun pelajar merupakan siswazah sarjana muda atau sarjana bahkan doktor falsafah) jika mereka tidak mampu menjawab soalan secara intelektual atau tidak mampu berbincang dengan bijak elok sahaja mereka ‘nyahkan’ gred A yang mereka perolehi.

Carilah atau tuntutlah kemahiran dan pengetahuan, bukan gred. Berusahalah untuk mendapatkan yang terbaik dan berusahalah untuk mendapatkannya dengan yang betul dan lurus, jangan bersaing dengan orang lain tetapi bersainglah dengan diri sendiri.

Jadikanlah diri anda yang terbaik dan termampu secara akademik. Tidak perlulah mengira berapa ’A’ anda perolehi atau membuang masa mengira pencapaian GPA yang anda perolehi.

Anda boleh menggunakan gred sebagai motivasi namun apa yang penting dan perlu adalah apa sebenar yang telah anda belajar dan perolehi dari pengajaran dan pembelajaran dan bagaimana untuk menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari.

Kecemerlangan adalah suatu perjalanan bukan destinasi. Jika anda tidak menghargai maksud kecemerlangan kemungkinan besar anda tidak akan menghargai sebilangan atau banyak lagi perkara yang bermakna dalam kehidupan.

Azizi Ahmad adalah anggota Jabatan Ilmu Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa, Lembah Pantai.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments