Syawal suram tanpa kisah tiga bangsa
Semangat raya terjejas apabila kebanyakan berita yang menjadi polemik pada masa kini hanyalah kebencian demi kebencian yang hanya membawa kepada kehancuran.
Oleh Ishak Sairozi
Kita sering mengharapkan ada faktor menarik yang boleh membawa kita ke arah perpaduan nasional lebih utuh. Kita bermimpi ada satu perkara yang boleh buat kita berkongsi rasa, bersama-sama percaya adanya alasan untuk kita lebih bersatu padu.
Harapan itu adalah untuk melihat sambutan perayaan kita disuntik dengan semangat kepelbagaian. Syawal yang kini menjelang penghujungnya secara jelas memperlihatkan perayaan kita kini tidak diserikan dengan perpaduan.
Situasi ini sangat berbeza jika dibandingkan sambutan perayaan pada masa dahulu. Daripada aspek sambutan sama ada di pasar-pasar penyediaan juadah perayaan, perang iklan televisyen dan sambutan perayaan itu sendiri, dahulu sambutan perayaan disuntik dengan elemen perpaduan.
Beli ayam untuk dibuat rendang juga sudah nampak multi etniknya. Tidak kurang juga meriahnya iklan perayaan dahulu kala yang menampakkan majmuknya masyarakat Malaysia.
Pada perayaan kali ini, raya seakan sepi, seakan disambut sendiri-sendiri. Raya ialah medan untuk masyarakat Melayu mempromosikan budaya kepada rakan berbeza agama dan budaya. Raya ialah tempat di mana kita duduk pelbagai bangsa menikmati juadah bersama. Raya mengeratkan hubungan persaudaraan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Perayaan ini suram dengan kisah raya bersama tiga bangsa, suram dengan cerita perpaduan dalam perayaan. Adakah kita sudah tidak kisah akan semangat raya bersama atau raya bersama hanya kerana kita berkongsi perayaan yang rapat tarikhnya sahaja?
Di zaman peranti mudah alih kini yang tumbuh bagai cendawan, kita seharusnya dapat melihat lebih banyak gambar perayaan pelbagai bangsa, malangnya perayaan kali ini suram tanpa kisah tiga bangsa.
Adakah ini petanda semangat 1 Malaysia kini semakin kritikal dan tidak lagi didendangkan dalam perayaan kita?
Sebenarnya kita sudah terlalu sibuk dengan pelbagai isu. Sebelum syawal lagi, kita mendapat berita kurang enak melibatkan perpaduan.
Pembatalan program berbuka puasa anjuran gereja yang dibatalkan pada saat akhir membuatkan kita seakan takut untuk berkumpul bersama kaum lain. Keterbukaan kita sedikit demi sedikit dikoyakkan. Kita semakin tidak berani hidup bersama kerana takut dikecam mereka yang gemar menggunakan alasan agama.
Selain itu, kita juga sibuk dengan pelbagai isu yang menjejaskan semangat raya kita. Kebanyakan berita yang menjadi polemik pada masa kini hanyalah kebencian demi kebencian yang hanya membawa kepada kehancuran.
Hatta daripada isu fitnah terhadap seorang ustazah daripada ibu bapa yang anaknya konon ditampar sehingga koma, hinggalah isu kehadiran artis pop Selena Gomez yang dikatakan mencemarkan Malaysia yang berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’.
Kehadiran seorang artis juga dimanipulasi dengan bersungguh-sungguh seolah-olah ia sangat penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia.
Dalam semangat syawal ini juga, kita tidak sibukkan diri kita dengan rumah terbuka, bermaaf-maafan sesama kita, mengunjungi sahabat lama, beraya bersama kaum India dan Cina. Sebaliknya, para elitis lebih gemar berfokus kepada isu remeh. Misalnya isu aplikasi Pokemon Go yang sedang dibahaskan halal haramnya di Malaysia.
Kita juga sedang berdepan isu kleptokrasi yang membangkitkan lagi beberapa isu lain membabitkan kebencian sesama kita. Maka hilanglah nikmat perayaan yang seharusnya diisi dengan gelak ketawa dan senyuman mesra.
Ketika lebaran berbaki kurang 10 hari, ayuh kita manfaatkan untuk mencari kembali semangat perpaduan yang hilang dalam komuniti.
Sebesar mana pun isu yang sedang kita hadapi, seharusnya kita bersama-sama menyedari dalam semangat syawal ini, kita perlu sentiasa hidup dalam keadaan harmoni.
Sebagai rakyat yang penuh semangat jati diri dan ingin hidup dalam keadaan harmoni, kita bertanggungjawab mempertahankan integrasi yang kita miliki.
Perpaduan adalah semangat yang sentiasa perlu ada dalam diri kita. Semoga perayaan yang seterusnya akan menjadikan kita lebih berintegrasi daripada sebelum ini.
Ishak Sairozi ialah eksekutif Yayasan 1Malaysia.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT