Adakah Marina Mahathir restui agama dihina?
Sewajarnya Marina menggunakan pengaruh beliau menasihati Namawee tentang betapa rapatnya Muslim dengan institusi masjid dan betapa tinggi penghormatan kita dalam perkara ibadat
Oleh Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Datin Paduka Marina Mahathir beranggapan umat Islam yang melazimi masjid dan surau untuk beribadat dan menuntut ilmu, yang mengambil Islam sebagai cara hidup, sebagai mereka yang punya banyak masa untuk tersinggung ekoran isu video penyanyi rap Namawee.
Saya tidak fikir beliau faham akan sentimen masyarakat Islam yang patuh beragama, yang menghayati kehidupan Rasulullah dan para sahabat dalam memelihara kehormatan dan kesucian rumah ibadat.
Marina yang “tersinggung” dengan sensitiviti umat Islam, barangkali tidak faham nilai menghormati masjid yang dipaparkan melalui seruan Rasulullah agar kita menunaikan solat Tahiyatul Masjid (penghormatan masjid) sebaik kita melangkah ke dalam masjid hatta sebelum kita melakukan ibadah lain.
Daripada Abu Qatadah, dia berkata, Rasulullah bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu memasuki masjid, maka janganlah dia duduk sehingga mengerjakan solat 2 rakaat”.
Maka apabila umat Islam sendiri dituntut sedemikian rupa dalam menghormati rumah ibadatnya, adakah wajar dibiarkan Namawee secara wewenang bernyanyian di ruangan solat, apatah lagi segmen tersebut bertujuan untuk melengkapkan keseluruhan video beliau dalam mempromosi fahaman pluralisme, yang juga amat bertentangan dengan ajaran Islam?
Sewajarnya Marina menggunakan pengaruh beliau menasihati Namawee tentang betapa rapatnya Muslim dengan institusi masjid dan betapa tinggi penghormatan kita dalam perkara ibadat. Betapa masjid itu institusi kesatuan Islam yang tidak terpisah dari kehidupan kita sehari-hari.
Sewajarnya beliau menggunakan pengalaman beliau untuk menasihati bahawa ada berbagai lagi kaedah untuk memupuk muhibah masyarakat, bukan dengan kaedah provokatif dan persendaan.
Marina yang juga seorang aktivis hak asasi manusia, mengeluarkan kenyataan yang saya kira keterlaluan, apabila menyentuh sensitiviti agama tidak perlu dianggap sebagai suatu jenayah, sedangkan ia adalah suatu langkah berasas dalam memelihara keharmonian negara berbilang kaum. Kita masih ingat persendaan Alvin Tan dan Vivian Lee ke atas bulan Ramadan beberapa tahun lalu.
Justeru itu, kita ingin bertanya, adakah Marina merestui, kebebasan menghina sensitiviti agama ala Charlie Hebdo bertapak di Malaysia?
* Dr Rafidah Hanim Mokhtar merupakan ketua penerangan Wanita ISMA
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT
Pautan:
Marina: What crime has Namewee committed?
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram