Siapa kamu untuk halang poligami
Farouk A Peru mendakwa Allah memberikan hak kepada wanita untuk menghalang lelaki daripada berpoligami. Sedangkan ini adalah bertentangan dengan ajaran Qur’an.
Oleh Rehan Ahmad Bin Jamaluddin Ahmad
Farouk A Peru dalam rencana tulisannya bertajuk “Poligami: Menyangkal Jakim melalui prinsip keadilan Islam”, bertarikh 12 Oktober 2016, yang disiarkan oleh Free Malaysia Today mengkritik pendapat Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Kata Farouk, “kenyataan yang lelaki yang mahu mengamalkan poligami tidak perlu mendapat kebenaran isteri pertama mereka. Wujud persoalan: Adakah keputusan Jakim ini selari dengan Islam?”
Farouk menyangkal pendapat Ketua Pengarah Jakim dengan alasan ianya tidak berlandaskan prinsip keadilan dalam Islam. Kami ingin melihat secara lebih dekat apakah hujah yang berikan oleh Farouk dalam hal ini. Pertama sekali, Farouk merujuk perkataan “a’dl” dengan maksud “kesamaan”.
Ini tidak selari dengan pengunaan perkataan ini di dalam al-Qur’an mahupun bahasa Arab. Ulama tafsir juga tidak pernah menterjemahkan a’dl sebagai kesamaan. Pada hakikatnya a’dl bermaksud adil dan begitu juga dengan perkataan qist. Namun demikian terdapat satu perbezaan antara kedua-duanya daripada konteks keadilan.
A’dl merujuk kepada keadilan dalam keadaan umum yang diketahui ramai. Sebagai contoh, berlaku adil dalam kontek berbaris semasa membeli belah. Berlaku adil dalam konteks ini adalah untuk beratur mengikut giliran dan tidak memotong barisan. Qist pula merujuk kepada keadilan dalam keadaan yang tidak diketahui orang lain, dan juga secara umum. Perkataan qist adalah lebih menyeluruh daripada aspek keadilan kerana merangkumi keadilan dalam keadaan rahsia dan juga keadaan umum.
Manakala a’dl adalah merujuk kepada keadilan dalam keadaan umum yang diketahui ramai. Sebagai contoh perkataan qist, boleh merujuk kepada seorang penjual yang menimbang jualannya dengan adil walaupun pembeli tidak mengetahui timbangan tersebut. Yakni, tidak menipu dalam timbangan merupakan perbuatan qist kerana timbangan sebenar tidak diketahui orang lain.
Itu kesalahan pertama yang ingin ditegur. Yang kedua, adalah konsep keadilan yang berdasarkan kesaksamaan. Konsep keadilan sangat dituntut dalam Islam, malahan setiap orang Islam itu wajib berlaku adil dalam setiap urusannya. Akan tetapi konsep kesaksamaan ini tidak wujud di dalam Islam.
Kesaksamaan tidak semestinya bererti keadilan. Sebagai contoh, di dalam membantu orang lain kita perlu berlaku adil. Jika terdapat dua orang, seorang yang kaya dan seorang lagi miskin, dan kita bantu kedua-duanya dengan bantuan kewangan. Ini dinamakan kesaksamaan. Sungguhpun duit itu mungkin tidak dihargai oleh orang kaya tersebut.
Daripada aspek keadilan pula, seseorang yang dibantu adalah mengikut keperluannya bukan mengikut kesaksamaan. Sebagai contoh untuk berlaku adil, orang kaya itu tidak perlu dibantu dengan bantuan kewangan, akan tetapi perkara lain yang mungkin lebih diperlukannya sebagai contoh, bantuan untuk mendengar luahan hatinya, bantuan untuk memajukan perniagaan dan sebagainya. Daripada perspektif orang miskin pula bantuan kewangan mungkin sesuatu yang diperlukannya di samping bantuan-bantuan lain.
Dalam kes ini, kesaksamaan tidak dapat memberi keadilan malah berlaku zalim. Konsep keadilan dari perspektif ideologi liberal dan Quranis (anti-hadith) adalah tidak selari dengan konsep keadilan dalam Islam. Nyata pendapat Farouk tidak selari dengan maksud ayat-ayat di dalam Qur’an.
Beliau juga membuat kenyataan berikut, “Tidak ramai tahu yang gerakan intelektual pertama dalam sejarah Islam, iaitu Mu’tazilah (golongan yang mementingkan penggunaan akal)”. Seolah-olah dalam Islam tidak pernah ada penggunaan akal sehingga munculnya golongan mu’tazilah.
Ini tidak tepat, ini kerana di dalam Qur’an penggunaan akal untuk memahami nas sangat dititikberatkan. Begitu juga dengan Nabi S.A.W. yang mengajar kita untuk menggunakan akal untuk memahami Qur’an. Jelas Farouk tidak arif mengenai sejarah perkembangan ilmu Islami.
Perbezaan mu’tazilah dengan Ahlu Sunnah adalah bahawa, mu’tazilah menggunakan akal semata-mata dalam hujah mereka untuk menterjemahkan nas. Mereka meletakkan akal mengatasi wahyu, ini merupakan satu kesesatan yang nyata. Seolah-olah akal manusia adalah lebih ulung daripada wahyu.
Pendapat sebegini bukan sahaja batil akan tetapi memberi tanggapan yang salah kepada orang ramai mengenai Islam. Mereka yang kurang ilmu berkenaan hal ini sudah tentu akan mudah terperangkap dengan penyelewengan puak-puak liberal, neo-mu’tazilah dan Quranis (anti-hadith).
Hujah utama yang dibangkitkan oleh Farouk adalah izin daripada isteri pertama untuk perkahwinan yang kedua. Farouk juga menempelak lelaki-lelaki Melayu kerana berpoligami, seolah-olah dalam agama dan bangsa lain tiada konsep poligami.
Selain daripada itu Farouk meletakkan satu syarat dalam kontrak perkahwinan “Setiap perkahwinan perlu ada syarat tertentu dan wanita perlu memberi syarat yang suami tidak boleh berpoligami. Ini adalah hak yang diberi Allah kepada mereka walaupun Jakim cuba merampas hak tersebut.”. Maka terserlah niat sebenar Farouk dan mereka yang seangkatan dengannya.
Niat mereka adalah untuk menjauhkan diri dan orang ramai daripada Qur’an dan sunnah. Mereka ingin menghalang lelaki daripada berpoligami sedangkan Allah membolehkannya. Sebaliknya Farouk mendakwa Allah memberikan hak kepada wanita untuk menghalang lelaki daripada berpoligami. Sedangkan ini adalah bertentangan dengan ajaran Qur’an.
Allah S.W.T. membenarkan pihak lelaki berkahwin sehingga empat pada satu-satu masa di dalam Surah Nisa’ ayat yang ke-tiga. Selain daripada itu terdapat juga penyelewengan maksud ayat Qur’an yang sering dilakukan oleh Farouk.
Farouk berpendapat bahawa ma’ruf di dalam Qur’an sering disalah tafsir sebagai “apa yang benar” akan tetapi maksud sebenarnya adalah “diperakukan”. Pelik sungguh pendapat Farouk ini, kerana secara umumnya perkataan ma’ruf diterjemah sebagai kebaikan dan bukan kebenaran.
Sesungguhnya apa yang pada hakikatnya baik itu adalah benar. Namun Farouk mempunyai kaedah penterjemahan yang sama sekali tidak mengikut ilmu tafsir Qur’an yang wujud. Tidak ada tempat untuk asbab nuzul dan sebagainya. Pendapat-pendapat yang tidak selari dengan ajaran Qur’an ini hanya akan membawa kepada keburukan.
Sesuatu yang batil, jika diburukkan tetap akan kekal sebagai batil akan tetapi jika kebenaran dicampur dengan kebatilan walau sedikit akan menjadi batil. Adalah lebih baik untuk menimba ilmu sebagaimana telah diajarkan kepada kita oleh Rasulullah S.A.W. sebelum memberi pendapat-pendapat yang kurang tepat. Mencampurkan kebatilan dengan kebenaran hanya akan menghasilkan kebatilan dan menjauhkan kebenaran.
Memberi pendapat yang bertentangan dengan pandangan ulama untuk mendapatkan populariti bukan sesuatu yang baik. Populariti mungkin dikecapi tapi dengan bayaran yang sangat mahal. Adakah berbaloi menyeleweng kata-kata Allah S.W.T., Tuhan sekalian alam? Usaha penyelewengan ini hanya membuktikan bahawa, kebatilan tidak berpeluang untuk berdiri di depan kebenaran. Maka satu usaha untuk membatilkan kebenaran dilakukan.
Ini menjelaskan mentaliti pihak-pihak yang ingin menyeleweng Islam untuk kepentingan mereka. Ini kerana mereka inginkan Islam sebagaimana kehendak mereka dan bukan Islam yang hakiki. Mereka sanggup menyeleweng maksud dan tafsiran al-Qur’an demi mencapai hajat mereka.
Mereka sanggup menolak hukum-hukum Tuhan demi kepentingan nafsu mereka. Mereka meletakkan nafsu mengatasi akal mereka. Di dalam Qur’an terdapat banyak ayat yang bermaksud “tidakkah kamu berfikir”. Harus diingati bahawa frasa ini bukan satu soalan tapi retorik yang menempelak mereka-mereka yang menafikan wahyu dan tidak menggunakan akal.
Tidak mungkin seseorang itu tidak mengetahui perbezaan antara kebenaran dan kebatilan setelah sampainya kebenaran padanya. Sebagaimana Firman Allah S.W.T. di dalam Qur’an,
Dan katakanlah:” Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap”.
Qur’an Isra’:81
Semoga kita semua menjadi insan yang bertaqwa dan sentiasa bertaubat pada-Nya. Sesungguhnya Allah menyayangi mereka-mereka yang sentiasa bertaubat.
Rehan Ahmad Jamaluddin Ahmad adalah felo Penyelidik, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM)
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.