Kematian Jayalalitha mendominasi berita Tamil di Malaysia
Jayalalitha digelar Amma (ibu) di Tamil Nadu dan dalam kalangan bangsa India sini.
Berkulit sawo matang, bersaiz kecil dan sedikit berisi, Jayalalitha bukan sekadar pelakon yang memakai solekan tebal, menari dan menyanyi bahkan bakatnya lebih daripada itu.
Testimoni pendidikannya boleh diterjemah apabila menjadi penerima Pingat Emas (kedudukan pertama) Peringkat Negeri, dalam peperiksaan Tahun Ke-10 (sama taraf SPM) di Tamil Nadu. Dia kemudian terus menyerlah dalam bidang pendidikan. Namun atas desakan ibunya, Jayalalitha menyertai dunia perfileman.
Atas pengaruh MGR, Jayalalitha turut mewarnai dunia politik yang didominasi secara kukuh oleh golongan lelaki di sana. Kreadibiliti itu menjadikannya dipandang tinggi termasuk pihak lawan. Dalam politik, Jayalalitha berhadapan onak dan duri apabila ramai yang berpakat menjatuhkan beliau dengan mengheretnya dalam kontroversi yang tidak diduga.
Menggunakan tiketnya sebagai pelakon, kuasa dalam politik terus berputik subur, lebih-lebih lagi menggunakan nama MGR, beliau berjaya mencapai kejayaan dalam bidang politik.
Kini, beliau bukan sahaja Ketua Menteri Tamil Nadu tetapi lebih dikenali dengan gelaran wanita besi, “Iron Lady of Tamil Nadu”.
Mewakili parti AIADMK, bukan ramai yang tahu mengenai parti itu di sini tetapi hanya mengenalinya sebagai parti “Amma”, gelaran yang digunakan seluruh Tamil Nadu merujuk kepada wanita ini. Jayalalitha digelar Amma (ibu) di Tamil Nadu dan dalam kalangan bangsa India sini.
Menurut seorang penulis bebas Tamil di sini, Vijaya Rani Sellapa, kontroversi termasuk korupsi dalam kerajaan, menjana pendapatan di luar jangkaan, memiliki terlalu banyak harta benda, seolah satu perkara yang diketahui umum termasuk kaum India di Malaysia.
“Semua orang sedia menerima kesalahan Jayalalitha dan beliau terus berpengaruh kerana merupakan seorang yang bijak dan sangat berprinsip,” katanya.
Kematian wanita itu semalam dirasai di negara ini. Kalau anda lihat gambar foto seorang wanita sedikit berusia di laman sosial Facebook milik rakan berbangsa India dengan mesej takziah, itulah wanita besi yang dimaksudkan.
Sebelum disahkan meninggal, wanita ini sudahpun berada di hospital selama 75 hari kerana kritikal akibat serangan kardio. Sepanjang itu, pelbagai spekulasi mengenai wanita ini terus mewarnai media masa India termasuk di Malaysia.
Sehingga malam tadi, beberapa rakan media dari akhbar Tamil di negara ini, saling berhubungan untuk mengesahkan berita yang diterima. Pada mulanya Jayalalitha dikatakan meninggal dunia, kemudian dinafikan stesen televisyen berpengaruh di Tamil Nadu, Sun TV dan disahkan semula pada tengah malam.
Bayangkan semua akhbar Tamil di Malaysia yang selama ini memainkan berita keadaan kesihatan beliau, hari ini sampai ke tahap kemuncak apabila muka depan menyiarkan berita kematian beliau, gambar tangisan orang ramai serta gambar hitam putih zaman kegemilangannya dalam dunia hiburan. Berita mengenai beliau dijangka akan berterusan beberapa hari, termasuk menganjurkan hari berkabung/sembahyang.
“Beliau bukan sahaja dilihat sebagai ikon politik tetapi pejuang, wanita dalam politik sebuah negeri dengan 77.88 juta penduduk. Kalau bukan pejuang, mustahillah seorang wanita memerintah selama 6 sidang,” kata Vijaya yang kerap ke Tamil Nadu untuk melawat keluarga sebelah ibunya.
“Orang India di sini tahu betapa kuatnya dominasi lelaki di sana. Namun seorang wanita berjaya menawan Chennai (pusat pemerintahan Tamil Nadu). Itu menyebabkan kita merujuk beliau sebagai idola. Ibu saya, ibu anda, mereka yang membesar pada era 60an hingga awal 80an pasti akan menjunjungnya,” tambahnya.
Timbalan editor dari portal Tamil di sini, Selliyal.com, S.Dassan berkata Jayalalitha mempengaruhi orang Malaysia dengan tindak-tanduknya yang berani, tidak berpaling tadah dan berkeyakinan selain pengaruhnya sebagai pelakon.
“Beliaulah yang menulis surat sokongan meminta pembebasan 7 banduan yang terlibat dalam pembunuhan Rajiv Ghandi (Perdana Menteri India). Tindakan berani di luar jangkaan seperti itu sememangnya memberi kesan kepada Tamil di sini. Ia memberi nilai kepada wanita yang kekal dengan pendirian walau apapun menimpa dirinya,” kata Dassan.
Manakala Dhayalan, wartawan dari akhbar Tamil Nesan berkata kematiannya memberi kesan namun tidaklah seteruk di Tamil Nadu. “Di sana sudah ada 6 orang bunuh diri dan premis niaga diserang, jalan ditutup, sesetangah pengangkutan awam dilarang masuk Tamil Nadu dan sebagainya. Menurut laporan akhbar di sana, orang ramai bertindak ganas kerana tidak dapat menerima berita kematian “Amma”. Beberapa kawasan dikawal ketat polis.”
“Di Malaysia tidaklah sampai ke tahap itu, cuma ramai orang khususnya mereka yang berusia sekitar 40an atau lebih kelihatan agak terkesan,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram