Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Forum Auku 1974: Memeriksa semula ‘sifir’ Dr M

December 24, 2016

Dr Mahathir sebenarnya menyokong Auku, tapi oleh kerana Anis Syafiqah berdemo untuk menjatuhkan Najib, maka tindakan itu kelihatan halal di mata Dr Mahathir.

KOMEN

mahathir_anis_600

Oleh Rahman Imuda

Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan seorang arkitek politik yang agung di Malaysia, beliaulah “agung tanpa tengkolok” (istilah yang saya curi daripada buku Fathi Aris Omar) di Malaysia.

Apabila saya menerima poster forum ini, saya agak gusar Anis Syafiqah tidak dapat meneutralkan aura Dr Mahathir di dalam forum itu, dan secara jujur saya lihat hal itu berlaku. Saya bukan mahu memandang rendah kebolehan Anis, tapi saya fikir sosok Dr Mahathir terlalu besar untuk dia hadapi sendiri.

Saya ingin mulakan dengan sedikit pandangan saya berkenaan moderator. Saya tidak pasti soalan yang diajukan pada forum ini disediakan oleh pihak penganjur yakni pihak Challenger atau disediakan sendiri oleh beliau dengan persetujuan panel.

Soalan pertama yang diajukan kepada saudari Anis adalah berkenaan pengalaman beliau semasa prosiding kes Demonstrasi Tangkap Malaysian Official 1 yang berlangsung Ogos lepas.

Saya fikir ini membunuh mood kebanyakkan kami pada hari itu kerana bukanlah cerita-cerita atau sesi berkongsi pengalaman individu yang ingin didengarkan, tapi lebih kepada skop tajuk Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1974 dan Dr Mahathir itu sendiri.

Soalan satu ini mempengaruhi hala tuju forum. Akhirnya, sepanjang forum Tun Mahathir tidak henti-henti mengulang kalimat ‘Saya sokong Anis, sebab tak ada ruang lain untuk bersuara, ini isu penting’.

Soalan terbaik pada forum ini pada hemat saya datang pada soalan kedua kepada Dr Mahathir, tapi Dr Mahathir banyak berlegar-legar pada isu yang lain dan pada akhirnya soalan moderator tidak terjawab.

Pada saya, moderator boleh sahaja ‘bertegas’ dengan Dr Mahathir, dengan meminta jawapan yang konkrit daripada Dr Mahathir selepas mendengar jawapan yang tidak memuaskan.

Merujuk kepada Anis pula, beliau wajar dipuji kerana berani sepentas dengan salah seorang tokoh politik yang paling berpengaruh di Malaysia dan dia tidak perlu membuktikan apa-apa lagi, apa yang beliau lakukan dan hadapi membuktikan beliau seorang pejuang.

Namun yang demikian, saya merasakan beliau perlu memperbaiki cara berhujah agar kelihatan lebih tersusun dan mudah difahami oleh mereka yang hadir. Beberapa kali juga saya cuba menghadam sebaik mungkin apa yang beliau sampaikan, sekali-sekala saya dapat perkara yang diperkatakan, sekali-sekala saya tidak tahu beliau sedang bercakap tentang apa.

Saya percaya pada forum ini Anis boleh memberi tekanan yang besar kepada Dr Mahathir dengan bertanya soalan-soalan kritikan secara ‘kinayah’ (contoh yang tersembunyi pengertiannya, yang dapat difahami tanpa keterangan lain) semasa forum, ada beberapa situasi Anis melakukan hal itu, dan itu sesuatu yang bagus.

Tapi saya rasa tekanan itu masih boleh diperkuatkan lagi, mungkin dengan penambahan panel atau penggunaan ayat yang lebih tegas. Daripada sudut teknikal pula, apabila berforum atau melakukan pengucapan awam, selain hujah yang gagah, penonton juga gemar untuk mendengar sedikit intonasi, emosi dan sedikit jenaka dalam penyusunan kata. Saya tidaklah mahir dalam hal-hal seperti ini, tapi sebagai penonton saya dahagakan sesuatu yang seperti itu.

Dr Mahathir pada forum ini jelas berpendirian beliau masih tetap menyokong Auku tetapi beliau mengatakan menyokong Anis. Saya boleh terjemahkan pendirian ini kepada: Dr Mahathir sebenarnya menyokong Auku, tapi oleh kerana Anis berdemo untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak, maka tindakan itu kelihatan halal di mata Dr Mahathir.

Itu saja rumusan saya berlandaskan hujah Dr Mahathir.

Tambahan lagi, Dr Mahathir sedang mempertahankan dirinya kerana kita semua tahu, beliau adalah antara orang yang bertanggungjawab meminda Auku. Kalau beliau mengeluarkan kenyataan mengatakan Auku tidak relevan, maka itu akan menjadi tajuk yang bagus untuk akhbar-akhbar tempatan dan umpama memerangkap diri sendiri.

Dr Mahathir mungkin boleh meyakinkan ‘gergasi-gergasi’ daripada blok pembangkang untuk bekerjasama dengan beliau, tapi bukan mudah untuk menundukkan mahasiswa. Tidak mungkin kami mahu bersatu dengan pemimpin politik yang tidak punya pendirian tapi sekadar mahu memperkudakan mahasiswa.

Sifir ‘saya menyokong Anis, mahasiswa menyokong saya’ tidak akan berlaku selagi Dr Mahathir tidak menyatakan pendirian beliau dengan jelas bahawa Auku yang selama ini memenjarakan mahasiswa adalah salah satu undang-undang yang memandulkan aktivisme mahasiswa.

Kesimpulannya, kami mahasiswa bukan sekadar ingin menjatuhkan satu-satu figura politik sahaja, tapi kami mahu mendesak semua pemimpin-pemimpin yang korup untuk meninggalkan jawatan mereka kepada yang lebih layak.

Kami juga mahu Auku dimansuhkan dan digantikan dengan undang-undang yang lebih mesra kepada mahasiswa dan mengiktiraf kebebasan akademik.

Selagi Dr Mahathir tidak mengerti soal ini, selagi itulah aktivis mahasiswa tidak akan pernah bersama beliau.

Rahman Imuda adalah aktivis mahasiswa dan pembaca FMT.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments