Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kanak-kanak ‘stateless’ bukan binatang

January 6, 2017

Anak tanpa kerakyatan tidak berdosa. Jika tidak dapat menguruskan mereka di atas nama pemerintahan, maka uruslah mereka di atas nama kemanusiaan.

KOMEN

sijilkelahiranOleh Rahman Imuda

Saya membaca kisah Tan Yao Chun, seorang kanak-kanak berumur 7 tahun yang dibenarkan untuk mendaftarkan diri di sekolah rendah walaupun bergelar stateless. Dia dilahirkan di Hatyai Hospital, ayahnya warganegara Malaysia manakala ibunya warganegara Myanmar.

Ayah Tan gagal mendaftarkan kelahiran anaknya di Kedutaan Malaysia di Thailand. Akibatnya Tan tidak memiliki sijil kelahiran.

Memetik kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan, golongan kanak-kanak “stateless” (tanpa kerakyatan) kini sudah boleh mendaftarkan diri di sekolah kerajaan dengan syarat salah seorang ibu bapa merupakan warganegara Malaysia dan mendapat sokongan daripada ketua kampung atau wakil.

Cerita seperti ini bukanlah sesuatu yang asing untuk orang yang menghabiskan masa selama hampir 13 tahun belajar di sekolah kerajaan di Sabah seperti saya.

Ramai kawan saya ketika itu perlu berhenti sekolah kerana menghadapi masalah dokumen pengenalan diri padahal mereka mempunyai potensi dan keinginan untuk belajar.

Bagaimana anak stateless lahir?

Sepanjang tulisan ini saya akan mengambil Sabah sebagai contoh khusus berkenaan isu stateless agar memudahkan pembaca untuk memahami isu kritikal ini.

Kebanyakan imigran yang datang ke Sabah secara haram berasal dari negara Indonesia dan Filipina. Sesetengah mereka memilih berkahwin dengan orang tempatan dan sebahagian lagi lebih selesa untuk berkahwin sesama sendiri.

Apabila anak mereka lahir, pasangan di mana salah seorang ialah warganegara akan cuba mendaftarkan kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara, manakala pasangan yang kedua-duanya terdiri daripada rakyat asing berkemungkinan besar tidak akan mengambil apa-apa usaha untuk mendaftarkan kelahiran anak.

Akibat birokrasi yang terlalu tinggi untuk mendaftarkan kelahiran anak yang mempunyai ibu bapa warga asing ini dan ditambah dengan kekangan yang dihadapi oleh ibu bapa anak-anak ini, maka lahirlah golongan anak stateless. Terdapat juga kes anak yang dilahirkan di luar negara tetapi tidak didaftarkan di kedutaan Malaysia menyebabkan anak ini menjadi stateless, seperti kes Tan tadi.

Secara teknikalnya mereka ini tidak wujud (invisible child), dan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan turut dinafikan. Mereka tidak mempunyai negara, menetap di Malaysia sebagai anak haram dan jika ingin pulang ke negara asal ibu bapa, mereka juga akan memegang status yang sama di sana.

Saya ingin persoalkan, adakah kerana kesilapan ibu bapa mereka yang datang secara haram di Malaysia menyebabkan anak stateless ini menerima hukuman seteruk ini? Mereka tidak berdosa, seseorang itu tidak bertanggungjawab tentang bagaimana keadaan kelahirannya ke muka bumi ini.

Akhirnya kebanyakan anak ini tidak dihantar ke sekolah kerajaan atau swasta tetapi digunakan untuk membantu ibu bapa mencari pendapatan. Seawal usia 5-10 tahun mereka sudah terpaksa membanting tulang melakukan pekerjaaan saat anak lain sedang menyiapkan kerja sekolah di rumah. Kebanyakan anak yang bekerja ini belum lagi mengenal huruf atau nombor, dan perlu berhadapan dengan operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Sekali-sekala hal ini menerbitkan air mata untuk mereka yang mengikuti cerita mereka secara mendalam.

Melalui tekanan inilah, ada di antara mereka yang silap memilih jalan yang salah dengan terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat dan berunsur jenayah. Mereka merasakan diri mereka tidak disayangi dan dipedulikan oleh sesiapa, di samping rasa cemburu yang timbul apabila melihat anak lain memiliki kehidupan yang lebih mudah.

Pendidikan adalah hak asasi

Selain daripada makanan, pakaian dan tempat perlindungan, pendidikan juga merupakan hak asasi yang sewajarnya diberikan kepada semua manusia khususnya kanak-kanak tanpa mengira status kewarganegaraan yang dia miliki.

Saya harus memberi kredit kepada Kementerian Pendidikan apabila memberi peluang kepada Tan untuk belajar, dan saya juga mencadangkan agar selepas ini anak stateless diberikan ruang yang lebih besar untuk menikmati pendidikan asas.

Saya pernah mengenali seorang pelajar yang cemerlang dalam SPM tapi gagal melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi akibat memegang status “memohon taraf kewarganegaraan Malaysia”. Ayahnya merupakan warganegara Malaysia manakala ibunya merupakan warga Indonesia.

Saya fikir sudah masanya Kementerian Pengajian Tinggi membuka ruang untuk kes seperti ini.

Sudah pastinya mereka tidak boleh diberikan manfaat yang sama seperti warganegara Malaysia kerana itu adalah sesuatu yang mustahil.

Kita beruntung kerana negara Malaysia memiliki banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berjenama kemanusiaan dan kebajikan, seharusnya mereka lebih berfungsi dalam membantu anak-anak stateless di negara sendiri berbanding memberikan tumpuan sepenuhnya pada isu antarabangsa.

Mereka boleh sahaja mewujudkan sekolah untuk memberi pendidikan kepada anak stateless ini (hal ini sudah berlaku), dan memberi bantuan kewangan sekirannya pada masa hadapan anak-anak ini diberi ruang untuk belajar di peringkat pengajian tinggi.

Pemerintah harus mengakui mereka tidak dapat membendung kedatangan warga asing secara haram seperti mana yang berlaku di kebanyakan negara di dunia. Oleh itu, mereka perlu mencari solusi terbaik untuk menguruskan kedatangan “pelancong” ini. Terutamanya berkaitan anak stateless, jika tidak dapat menguruskan mereka di atas nama pemerintahan, maka urus dan bantulah mereka di atas nama kemanusiaan.

Rahman Imuda adalah seorang aktivis mahasiswa dan pembaca FMT.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments