Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Formula Dr M: Dulu lain, sekarang lain

 | January 8, 2017

Selama ini, ramai yang menyebut kejayaan Dr Mahathir bertahan sebegitu lama kerana ketokohannya dalam pentadbiran berganding dengan kelicikannya dalam politik.

KOMEN

mahathir-politic

Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan perdana menteri Malaysia yang paling lama memerintah Malaysia, iaitu selama 22 tahun (1981-2003).

Selama ini, ramai yang menyebut kejayaan Dr Mahathir bertahan sebegitu lama kerana ketokohannya dalam pentadbiran berganding dengan kelicikannya dalam politik.

Tapi, setelah menjadi salah seorang ahli politik pembangkang di negara ini, penulis yakin Dr Mahathir mendapat perspektif lain mengapa beliau dapat bertahan dengan sebegitu lama selain kepintaran dan sedikit nasib yang baik pada 1987 ketika menghadapi tentangan daripada Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Jawapannya mudah, selama 22 tahun menjadi PM, Dr Mahathir hanya perlu berdepan dengan sekumpulan pembangkang yang berpecah seperti yang ada hari ini.

Dr Mahathir tidak pernah melalui satu musim pilihan raya di mana pembangkang dapat duduk di bawah satu payung seperti Pakatan Rakyat seperti pada 2008 dan 2013, seperti yang perlu dilalui Tun Abdullah Badawi dan juga Datuk Seri Najib Razak.

Pada zaman beliau, DAP dan PAS sentiasa berlawan sesama sendiri di samping berlawan dengan Umno-BN. Tanpa pembangkang bersatu, dalam perlawanan 3 penjuru berleluasa di setiap penjuru negara, Dr Mahathir mentadbir tanpa sebarang ancaman kuat meskipun Umno-BN dilanda masalah dalaman.

Di kalangan parti pembangkang, hanya PAS berjaya mengambil Kelantan daripada tangan Dr Mahathir dengan bantuan parti serpihan Umno, Semangat-46 pada 1990, dan Terengganu pada 1999 selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat Dr Mahathir.

Pelbagai cara digunakan untuk mendapatkan kembali Kelantan, tetapi Dr Mahathir dan Umno-BN kekal tewas di tangan Datuk Nik Abdul Aziz sehinggalah beliau meninggal dunia.

Kini, Dr Mahathir menjadi seperti Tengku Razaleigh yang mengemudi Semangat 46 di Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada zaman pembangkang tidak lagi bersatu.

Melalui pengalamannya, Dr Mahathir tahu tanpa pembangkang yang bersatu mustahil Umno-BN dapat ditumbangkan seperti zaman beliau menjadi PM.

Ini jelas di sebalik saranan Dr Mahathir yang mendesak agar semua parti pembangkang bersetuju dan bersatu di bawah satu payung dan bertanding menggunakan logo yang sama seperti BN pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebagai parti serpihan Umno, dan untuk mengalahkan sistem yang diciptanya sendiri selama 22 tahun, Dr Mahathir pasti tahu yang diperlukan PPBM seperti juga Semangat 46 ialah sebuah rakan politik yang berasaskan Melayu dan Islam yang dominan untuk bersaing dengan Umno.

Untuk ini berlaku, Dr Mahathir perlu menggunakan formula Tengku Razaleigh pada 1990 dan juga Anwar pada 1999 iaitu berganding dengan PAS untuk menumbangkan Umno di kawasan Melayu dan bukannya formula 2008 pembangkang kerana pembangkang sudah berpecah.

Mahupun formula gila cadangan seorang naib presiden PKR yang berkeyakinan Pakatan Harapan dapat memenangi perang 3 penjuru termasuklah di kawasan ditandingi Umno.

Bezanya dulu berbanding keadaan hari ini ialah, Dr Mahathir boleh bergantung pada undi bukan Melayu untuk menyelamatkan Umno-BN pada zaman PMnya manakala Najib tidak boleh jika Umno tewas besar.

Semua ini sifir mudah melainkan ada kepentingan lain yang perlu dijaga di sebalik desakan Dr Mahathir menurunkan Najib.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments