Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Bila satira bertukar menjadi Islamofobia

 | January 11, 2017

Tidak salah umat Islam dikritik, namun kebelakangan ini, garis antara kritikan dan ejekan mula terpadam dan umat Islam yang menjadi sasaran.

KOMEN

The-Real-Housewives-of-Isis

Saya bukan peminat atau penyokong IS. Bukan juga seorang Islam yang menindas orang lain, seperti beberapa pertubuhan dan institusi Islam yang sering menimbulkan perasaan negatif golongan bukan Islam.

Saya tidak menyalahkan bukan Islam sekiranya ada perasaan sebegini. Bayangkanlah, kalau kita pun dihamun dengan retorik negatif, diancam dengan keganasan 13 Mei, dihalang menggunakan kalimah tertentu dalam upacara keagamaan, kita pun akan berperasaan begitu.

Tetapi, di kalangan golongan ini pun ada minoriti yang sememangnya bersifat suka membenci. Sejak 20 tahun yang lampau, saya memerhati Islam dan umatnya menjadi sasaran minoriti ini yang bersifat Islamofobia.

Sebuah sketsa satira mengenai IS merupakan contoh sikap Islamofobia golongan ini.

Ia dimuat naik di laman web badan penyiaran Britain, BBC, memaparkan wanita Islam yang melarikan diri untuk menyertai IS. Ia seperti siri televisyen realiti, ala “The Real Housewives of…”, di mana suri rumah berkelakuan dangkal dan berfikiran cetek.

Satira ini mendapat pelbagai respon masyarakat Islam di United Kingdom. Ada yang marah dan meminta sketsa ini diharamkan serta-merta. Ada juga yang tumpang gelak ketawa dengan sketsa ini. Dengan jujur saya katakan, saya pun ketawa terbahak-bahak!

Namun, kita perlu memikirkan implikasi sebenar sketsa ini. Memang benar ramai orang Islam tertipu dengan IS. Benar yang pemikiran mereka diputarbelitkan segelintir ulama. Tetapi, adakah ia perkara yang patut disatirakan dalam sketsa sebegini?

Saya sebenarnya mengenali remaja sebegini dalam pengalaman mengajar pendidikan agama dan falsafah di London. Mereka daripada keluarga sederhana/kelas bawahan yang mempunyai hubungan dalaman yang rapat. Apabila mereka melarikan diri untuk menyertai kumpulan tertentu, keluarga mereka yang tersiksa.

Mereka inilah yang disatirakan dalam sketsa BBC.

Pada saya, ia bukan sesuatu yang patut menjadi bahan jenaka. Tidak salah menerbitkan satira ajaran IS yang memang tidak masuk akal, atau ulama yang mengutuk IS tetapi tidak mahu meneliti tradisi ilmu mereka sendiri.

Merekalah yang memang patut dikritik kerana mereka bertanggungjawab menggelapkan tamadun Islam. Tetapi mensatirakan remaja yang mati setelah membawa penderitaan kepada keluarga masing-masing, bukanlah tindakan yang beretika.

Jangan salah faham. Saya bukan menganjurkan sketsa ini diharamkan. Apa yang saya anjurkan ialah untuk umat Islam memerhati iklim sosio-politik yang kian negatif terhadap umat Islam. Di sini kita patut memahami konsep normalisasi (normalisation).

Normalisasi ialah membiasakan diri terhadap sesuatu. Orang Melayu kata, “dah season”. Dalam budaya global, normalisasi adalah relatif. Umpamanya, dalam dekad 1970an, rancangan komedi British lazimnya mempunyai kutukan yang berunsur rasis dan anti golongan homoseksual dan transgender. Sitkom yang cukup popular di Malaysia satu ketika dulu, Mind Your Language, adalah berunsur sebegini. Rancangan itu digam kerajaan UK walaupun cukup popular di kalangan penonton tempatan.

Sekarang ini, amat payah menonton rancangan mengejek, jauh sekali mengutuk sesuatu bangsa. Komedi sebegini menjadi taboo di UK.

Walaupun begitu, rancangan yang mengutuk Islam masih lagi disiarkan dengan tiada masalah. Kritikan terhadap Islam dan umatnya dianggap tidak mengapa.

Kritikan itu satu perkara yang harus kita terima jika kita benar-benar jujur dalam menjiwai sesuatu agama atau ideologi. Tetapi bila kritikan tidak seimbang atau berat sebelah, ia bertukar menjadi fobia, dalam kes ini, Islamofobia.

Sebagai contoh, lewat tahun lalu, disiarkan dokumentari dalam televisyen UK tentang remaja Islam yang murtad. Mereka menceritakan pengalaman mereka ditohmah dan diseksa keluarga masing-masing. Dalam rancangan itu, juga diutarakan pendapat tokoh Islam yang boleh dikatakan sederhana.

Walaupun tidak menyokong tindakan remaja tersebut, dia mengaku yang dia tidak boleh menyayangi anak yang murtad. Mengapakah penerbit dokumentari itu tidak memaparkan pendapat yang lain?

Saya mengenali secara peribadi ramai orang Islam yang tiada masalah jika anak mereka tidak beriman atau menukar agama. Mereka tidak suka hukum-menghukum dan tetap akan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa dan menyayangi anak mereka. Namun, pendapat mereka tidak diminta langsung.

Inilah yang dikatakan “manufactured selective perception” iaitu membina sesuatu persepsi yang tertentu dengan mengambil gambaran yang tidak mencerminkan pendapat keseluruhan.

Ini supaya gambaran itu boleh digunakan untuk tujuan politik tertentu dan trend sekarang ialah menggambarkan umat Islam sebagai musuh manusia sejagat.

Kita bukannya tidak ada kekurangan, tetapi tiap-tiap kebaikan yang kita amalkan kurang mendapat perhatian.

Namun begitu, umat Islam patutlah menjalankan tugas membantu orang susah dan anak yatim. Usah memperdulikan golongan bersifat Islamofobia dan binalah perhubungan dengan orang yang tidak membenci.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments