Menangkis serangan ateis terhadap agama
Sebenarnya, agama juga memerlukan penggunaan akal. Al-Quran menyarankan agar pengikutnya tidak mengikut apa yang tidak boleh disahkan oleh mata, telinga dan otak.
Sejak sedekad dua ini, iaitu semenjak bermulanya “War on Terror” (Perang ke atas keganasan) yang ironinya mengakibatkan lebih banyak kematian daripada mana-mana serangan keganasan, terdapat peningkatan ke atas golongan beragama oleh golongan ateis, mereka yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan.
Walaupun Islam menjadi sasaran utama mereka kerana ia dikatakan menjadi ideologi pengganas seperti IS dan sebelum itu Al-Qaeda, agama lain turut menjadi sasaran kritikan dan tohmahan mereka.
Pada mereka, agama adalah ciptaan manusia dan mempunyai amalan kuno yang merosakkan masyarakat. Bahkan konsep Tuhan sendiri dipersoal dan ditolak kerana ia dikatakan tidak logik dan tidak sesuai dengan masyarakat moden.
Saya menghormati hak mereka untuk berpegang kepada pandangan ini. Saya juga tidak peduli kalau mereka dulu beragama Islam dan kini murtad. Itu hak mereka.
Pada saya, sebagai seorang yang mempercayai kewujudan Tuhan dan memilih Al-Quran sebagai kitab hidayah dan petunjuk, sudah menjadi lumrah dunia untuk keimanan saya dicabar. Inilah janji Al-Quran (Al-Ankabut, 2-3) yang Allah sendiri akan menguji keimanan kita. Kita disarankan untuk memanggil orang ke jalan Tuhan dengan hikmah dan hujah (An-Nahl, 125).
Maka saya tidak melihat serangan ateis sebagai sesuatu yang buruk. Bahkan, serangan ini membangkitkan soalan kepada saya yang lantas dapat menggali Al-Quran untuk mendapatkan jawapan atau penyelesaian.
Setiap cabaran itu sebenarnya peluang. Jadi serangan ateis bukan masalahnya.
Yang menjadi isu ialah cara ateis menyerang golongan beragama iaitu dengan menggunakan logik tidak berasas dan fakta yang berat sebelah.
Terkilan saya apabila membaca buku yang bertajuk “The Muslim Atheist” oleh Ali Amjad Rizwi. Sebelum saya menghurai dan menangkis hujah buku ini, mungkin pembaca tertanya apa itu “Muslim atheist”.
Bagaimana seorang Islam yang mempercayai Tuhan yang satu boleh menjadi ateis? Jawapannya terletak dalam identiti “Muslim”.
Kepada Rizwi, identiti “Muslim” itu adalah sebagai keturunan dan budaya sahaja. Ia tidak melibatkan unsur metafizika atau keimanan langsung mahupun memberi prinsip etika.
Buku ini mempunyai tajuk kecil “Perjalanan daripada agama kepada akal”. Pada zahirnya, nampak seperti tiada apa-apa masalah tetapi kalau kita meneliti dengan lebih mendalam, kita dapat melihat yang “agama” itu diperlawankan dengan “akal”.
Rizvi menyifatkan perjalanannya itu daripada agama yang tidak perlu atau menegah penggunaan akal kepada penggunaan akal semata-mata. Maka dogma atau taklid buta itu dalam bidang agama, walhal ateisme menggunakan akal sahaja. Penggunaan bahasa sebegini tidak memberi gambaran situasi yang sebenarnya.
Sebenarnya, agama juga memerlukan penggunaan akal. Al-Quran menyarankan agar pengikutnya tidak mengikut apa yang tidak boleh disahkan oleh mata, telinga dan otak (Al-Isra’, 36) dan menyifatkan orang yang tidak menggunakan akal sebagai “seburuk-buruk haiwan” (Al-Anfal, 22).
Sebaliknya, ateisme juga mempunyai dogma. Mereka menolak bidang metafizika tetapi terpaksa membuat andaian dalam cabang falsafah iaitu etika.
Sebagai contoh, jika kita bertanya kepada ateis seperti Josef Stalin, jika orang beragama mempunyai hak untuk mengamalkan agama mereka, jawapannya adalah “tidak”. (Stalin sebagai pemimpin Sovietmembunuh lebih 20 juta orang, ramai daripadanya kerana beragama).
Apakah sistem etika yang dipegang Stalin? Ia adalah dogma yang diwarisi daripada Marx yang mengatakan “agama itu candu kepada orang kebanyakan” (religion is the opium of the masses). Bolehkah kenyataan Marx dibuktikan? Secara objektif, memang tidak!
Satu lagi kebiasaan para ateis ialah untuk melagakan sains dengan agama. Kebiasaan ini akan melahirkan hujah yang banyak mendapat “likes” dalam media sosial (sampai beribu-ribu!) tetapi kurang mendapat analisa terperinci.
Cuba teliti meme berikut – “Science flies you to the moon, Religion flies you into buildings”. Maksudnya, sains membawa anda ke bulan, agama pula mendorong anda supaya menerbangkan pesawat melanggar bangunan tinggi. Meme ini logiknya amat gagal.
Pertama sekali, sains bukanlah ideologi. Sains itu kaedah membuat eksperimen yang boleh mendatangkan maklumat yang tertentu. Yang berjaya terbang ke bulan adalah polisi kerajaan yang memberi dana terhadap projek tersebut. Adakah projek yang menelan belanja berbilion dollar itu mendatangkan kebaikan untuk manusia sejagat? Belum lagi.
Agama pula tidak pernah mendorong sesiapa untuk terbang melanggar bangunan. Ini tidak wujud secara literal dalam mana-mana teks agama. Teks itu diberi interpretasi oleh individu atau kumpulan minoriti dalam kumpulan agama tertentu.
Mengapakah ateis yang membuat meme sebegini tidak menyatakan yang demikian? Setiap agama mempunyai tokoh pengasas yang berhak menyatakan prinsip agama tersebut. Orang yang datang selepas pengasas tersebut hanyalah memberi interpretasi mereka. Golongan ateis yang membanggakan diri mereka sebagai intelektual sepatutnya memberikan kenyataan yang lebih tepat daripada meme di atas.
Interaksi ide itu satu perkara biasa. Dulu, kita berbuat demikian di kedai kopi atau surat menyurat tetapi sekarang kita ada media sosial yang boleh diakses melalui telefon pintar.
Tapi prinsipnya sama sahaja. Perbincangan itu memerlukan analisa yang mendalam untuk membawa kita kepada kebenaran.
Fenomena ateis pada waktu ini memerlukan hujah yang lebih jujur jika mereka mahu perbincangan yang lebih efektif. Mungkin niat mereka baik mahu memberi manusia “kemerdekaan” daripada agama tetapi kaedah mereka perlu diperbaiki.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.