Apa pendirian Dr M terhadap sekolah vernakular hari ini?
Dr Mahathir sebelum ini menyeru rakyat menghantar anak ke sekolah kebangsaan dan sekolah wawasan walaupun sekolah vernakular tetap dikekalkan.
Sebelum Tun Dr Mahathir Mohamad mengundurkan diri sebagai perdana menteri pada 2003, beliau mempunyai satu impian terakhir buat rakyat Malaysia.
“Jika rakyat di negara ini sengaja ingin mengasingkan diri dengan berfikiran sekolah kebangsaan hanya patut dipenuhi kanak-kanak Melayu, sekolah Cina untuk kanak-kanak Cina dan Tamil untuk kanak-kanak Tamil saja, maka sudah tentu sukar untuk membentuk corak rakyat Malaysia yang ada sekarang ini.
“Kerajaan amat menekankan penghantaran anak ke sekolah kebangsaan dan sekolah wawasan kerana mahu mengekalkan kejayaan negara dalam memupuk perpaduan kaum sampai bila-bila.”
Begitulah seruan Dr Mahathir ketika itu agar rakyat dapat menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan dan sekolah wawasan walaupun sekolah vernakular tetap dikekalkan.
Pada 2012, ketika isu cadangan penubuhan sebuah sekolah tinggi Cina persendirian baharu di Kuantan menjadi hangat, Dr Mahathir menyerang sekolah vernakular sebagai punca yang menjarakkan rakyat dan menyekat perpaduan dalam kalangan penduduk pelbagai kaum di negara ini.
“Kita menerima sejak awal lagi yang sekolah vernakular boleh ditubuhkan pelbagai masyarakat dan ini menyebabkan golongan muda kita tidak belajar bersama-sama.
“Sekiranya kita mengiktiraf pendidikan Cina dan sijil mereka dan sebagainya, maka kita akan ada 3 rakyat berlainan, dengan setiap satu bercakap dalam bahasa berbeza. Malah, saya berpendapat kita tak akan dapat hidup bersama sekiranya kita tidak memahami satu sama lain,” katanya yang dipetik Bernama.
Pada November 2014, Dr Mahathir sekali lagi mengulangi serangannya terhadap sekolah vernakular di dalam satu tulisan blog.
Kali ini, Dr Mahathir mengungkit latar belakang sejarah pendidikan Malaysia, bermula dengan penubuhan sekolah kebangsaan, pemansuhan sekolah aliran Inggeris dan seterusnya tentang kelulusan mewujudkan sekolah vernakular mengikut bahasa etnik.
Katanya, kelulusan untuk mewujudkan sekolah vernakular menyebabkan penghijrahan pelajar Cina ke sekolah menengah Cina.
“Dengan perkembangan ini, anak daripada kaum berbeza hilang semua peluang untuk membesar bersama – anak Melayu ke sekolah kebangsaan, anak Cina ke sekolah rendah dan menengah Cina, dan India ke sekolah Tamil,” terang beliau.
Bukan saja Dr Mahathir yang mempunyai pandangan kritis terhadap sekolah vernakular. Anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut pernah mencadangkan agar sistem sekolah vernakular dimansuhkan pada 2008 dan menyarankan agar penyatuan sistem persekolahan menjadi satu sistem tunggal.
Umum mengetahui isu sekolah vernakular ini antara isu paling sensitif di kalangan orang Cina, dan ia boleh dikategorikan sebagai sesuatu yang wajib dipertahankan.
Semua parti politik yang ingin mendapatkan undi Cina perlu menunjukkan mereka serius dalam mempertahankan kewujudan sekolah vernakular.
Dengan persahabatan Dr Mahathir dengan DAP baru-baru ini, apa pendirian Dr Mahathir terhadap sekolah vernakular hari ini?
Apakah Dr Mahathir masih berpegang dengan pandangan lamanya terhadap sekolah vernakular?
Apakah Dr Mahathir masih percaya sekolah vernakular adalah punca kepada pemisahan kaum yang semakin melebar?
Sekiranya Dr Mahathir tetap berpegang dengan pandangannya yang lama, sudah pasti perkara ini akan menimbulkan konflik dengan DAP dan juga kaum Cina.
Dan jika Dr Mahathir menukar pendiriannya, maka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan tersenyum dan berkata: “Kan betul apa yang saya kata, Dr Mahathir memang juara U-turn.”
Timmy Say ialah pembaca FMT.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.