Berniaga bola sepak
Penswastaan bola sepak menjadi antara usaha untuk meningkatkan kecekapan dan profesionalisme dalam arena bola sepak Malaysia.
Oleh Tinta Purnama
Penswastaan Liga Malaysia merupakan satu usaha yang dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Football Malaysia LLP (FMLLP) untuk membolehkan liga Malaysia dimiliki bersama antara FAM dan pasukan yang bertanding dalam liga itu.
Ini merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan kecekapan dan profesionalisme dalam arena bola sepak Malaysia. Perkara ini sepatutnya berlaku pada 2015, kemudiannya dianjak 2016 sebelum dilanjutkan lagi pada 2018.
Ini berlaku akibat kelembapan pasukan di Malaysia untuk diswastakan atau dilesenkan mengikut peraturan Pelesenan Kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Berdasarkan laporan FMLLP, hanya Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sudah pun diswastakan sepenuhnya dengan dimiliki Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibrahim. Pasukan lain di Liga Super pula sudah pada tahap 80% diswastakan manakala pasukan di 100 Plus Liga Premier pula diberi tempoh hingga 2020 memandangkan ada pasukan yang baru mencapai tahap 50% diswastakan.
Namun, apakah benar pasukan Liga Super sudah mencapai tahap 80%? Pra musim 2017 menyaksikan bagaimana beberapa pasukan besar mengumumkan akan menarik diri daripada bertanding dalam Liga Super 2017.
Ini kerana kekurangan wang di perbendaharaan pasukan masing-masing. Walaupun perkara ini akhirnya tidak berlaku, ia menunjukkan wujudnya ketidakbersediaan pasukan di Malaysia untuk melepaskan tongkat yang diberi kerajaan negeri dan maju mencari kerusi roda baharu.
Mereka masih bermentaliti yang memajukan arena bola sepak negeri ialah tanggungjawab kerajaan negeri dan bukan tanggungjawab penyokong secara akar umbi. Usaha untuk memprofesionalkan pasukan agar lebih mesra peniaga untuk tujuan pemasaran berlaku secara sangat perlahan.
Secara organisasinya, nama saja profesional. Namun secara realiti, masih lagi wujud isu kebajikan pemain diabaikan. Masalah pemberian gaji secara berkala mengikut kontrak masih lagi berlaku. Sepincang mana pun perbendaharaan pasukan, kebajikan pemain wajar diletakkan sebagai keutamaan utama.
Itu yang jelas di permukaan. Yang tersorok di dasar ialah apabila pemain yang tidak begitu berpengetahuan tidak sedar hak mereka ditindas.
Kewujudan budaya 2 kontrak (satu untuk FAM, satu “di bawah meja”) menyebabkan kebajikan pemain pasca kontrak terancam. Kontrak bawah meja ini lazimnya lebih tinggi namun kontrak untuk FAM inilah yang menjaga hal pencen dan kebajikan pemain.
Kita cuma boleh buat spekulasi perkara ini berlaku kerana pihak pengurusan mahu lepas tangan daripada mengambil usaha lebih berat untuk menjaga kebajikan pemain. Apabila pihak di atas sedang seronok goyang kaki, yang di bawah merana sedangkan yang berjuang di padang ialah yang di bawah!
Secara akar umbi, budaya meraikan pasukan bola sepak tidak lagi sebenarnya mencengkam kukuh. Penyokong cuma akan datang turun ke stadium apabila pasukan mereka di puncak.
Apabila pasukan sedang tersembam mencium bumi, mereka bukannya menarik pasukan untuk bangkit semula, sebaliknya mengecam, merusuh di stadium dan yang lebih teruk, meninggalkan mereka.
Jersi pasukan bola sepak tempatan seboleh-boleh dicari yang paling murah sedangkan jersi pasukan Liga Eropah sanggup melabur beratus ringgit. Walhal, dengan jualan jersi (dan tiket) sedikit sebanyak mampu menunjukkan tanda sokongan kita kepada pasukan bola sepak tempatan.
Namun, tidak wajar juga perkara ini disalahkan sepenuhnya kepada pasukan dan penyokong semata. FAM juga bersikap tamak haloba apabila mengaut keuntungan besar daripada penjualan hak penyiaran televisyen dan hanya memberi sisa dan serpihan keuntungan kepada pasukan.
Ini turut merangkumi bagaimana betapa sedikitnya hadiah kemenangan untuk pasukan apabila memenangi piala domestik ataupun Liga Super (beberapa juta) sedangkan kos menguruskan kelab ialah antara RM14 ke RM18 juta.
Bagaimana perkara ini menjadi tarikan kepada pasukan untuk terus bertanding apabila mereka diswastakan sepenuhnya (sebagai perniagaan), masih menjadi satu persoalan.
Penswastaan pasukan merupakan satu inisiatif yang baik untuk bola sepak Malaysia secara dasarnya. Tetapi, kita perlu berpijak di bumi yang nyata, bagaimana landskap bola sepak kita masih lagi belum cukup mesra perniagaan dan menerima sokongan atau mentaliti yang cukup.
Sebelum kita terlajak, lebih baik kita perbaiki dulu segala kerosakan yang ada di perahu kita kerana ombak di laut tidak mengenal mangsa.
Tinta Purnama ialah pembaca FMT.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram