Ini masanya ajar Jawi hukum Al-Quran
Sudah terlalu lama pegawai agama diberi kuasa mutlak menjalankan aktiviti skodeng mereka. Sudah banyak aduan tentang kebiadapan mereka.
Di Malaysia, Islam diberi keutamaan yang tinggi sebagai faktor identiti orang Melayu.
Menerusi pendidikan yang menekankan taklid (pengikutan doktrin tanpa menyoal), orang Melayu-Islam membesar dengan kekurangan kebolehan menyoal ustaz dan ustazah.
Tanyalah apa sahaja, mereka akan diberitahu yang mereka akan menjadi “sesat” jika tidak menerima terus ajaran guru agama mereka.
Dengan situasi ini, Melayu-Islam juga menjadi pentaksub kepada pihak berkuasa agama. Mereka beranggapan, tanpa otoriti agama untuk menguruskan hidup mereka, masyarakat Melayu akan menjadi huru-hara.
Golongan agamawan mendapat satu tahap kepercayaan yang amat tinggi daripada mereka.
Inilah sebabnya berlaku serbuan pegawai Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) pada pada 1.30 pagi, 8 Januari lepas.
Insiden itu hangat diperbahaskan di media sosial. Selalunya, rakyat Malaysia bukan Islam akan menzahirkan perasaan terkejut atau kasihan kepada orang Melayu-Islam yang menjadi mangsa pihak berkuasa agama tetapi kali ini, orang Melayu-Islam sendiri lantang meluahkan perasaan tidak puas hati mereka terhadap kezaliman Jawi.
Peristiwa ini berlaku di sebuah hotel bajet di Kuala Lumpur dan melibatkan sepasang suami isteri, Mohd Ridhuan Giman and Siti Sarah Maulad Abdullah, yang sudah berkahwin selama 3 tahun.
Jawi melakukan satu serbuan rutin dengan 8 pegawai, 7 daripadanya lelaki. Mereka mengetuk dengan kuat pintu bilik hotel berkenaan. Pasangan yang berada di dalam meminta belas kasihan pegawai Jawi untuk memberi masa supaya mereka dapat menutup aurat.
Malangnya, pegawai Jawi tidak menghiraukan permintaan mereka dan masuk ke dalam bilik mereka secara kekerasan.
Siti Sarah, yang hanya berpakaian singlet dan seluar pendek semasa Jawi menyerbu, cuba menutup badannya tetapi pegawai Jawi dengan biadap mengambil gambarnya bersama video.
Ini berlaku walapun si suami, Ridhuan, menunjukkan foto sijil kahwin (yang dikeluarkan oleh Jawi sendiri!) mengesahkan mereka berkahwin.
Ridhuan cuba menghalang pegawai Jawi daripada mengambil gambar isterinya untuk menjaga kehormatannya tetapi pegawai Jawi menggunakan kekerasan untuk menghalangnya.
Ridhuan mendakwa dia dicekik pegawai Jawi sehingga lehernya cedera. Siti Sarah pula disuruh pegawai wanita memakai pakaian dalam bilik mandi mereka tetapi dia menolak kerana bilik itu mempunyai dinding kaca sahaja dan boleh dilihat pegawai lelaki.
Pasangan ini dipaksa ke balai polis untuk dilaporkan walaupun mereka mempunyai kad perakuan nikah. Laporan ini mengatakan mereka “berkhalwat” iaitu satu kesalahan hanya untuk pasangan yang belum berkahwin!
Selepas itu, mereka dipaksa ke pejabat Jawi di mana mereka disoal di bilik yang berasingan selama sejam. Ibu Ridhuan datang ke pejabat Jawi dengan membawa sijil perkahwinan mereka yang asal tetapi itu pun tidak diterima. Dia diminta memberi jaminan sebanyak RM3,000 untuk melepaskan pasangan itu.
Akhirnya mereka dilepaskan tetapi mereka perlu hadir di mahkamah syariah pada 17 Januari.
Saya sudah banyak mendengar berita mengenai kekerasan dan kebiadapan pegawai penguatkuasa agama.
Saya hairan kerana peristiwa di atas adalah satu perkara yang mudah dielak. Semasa pegawai Jawi mengetuk pintu, pasangan itu sepatutnya diberi masa 5 minit untuk mendapatkan sebarang bukti yang ada pada mereka buat ketika itu.
Dalam kes di atas, mereka sememangnya ada gambar sijil yang dikeluarkan oleh Jawi sendiri. Apakah sebabnya mereka terpaksa menerima layanan yang begitu buruk?
Jawapan kepada soalan ini amatlah ringkas – kerana gila kuasa. Sudah terlalu lama pegawai agama diberi kuasa mutlak untuk menjalankan aktiviti “skodeng” mereka. Sudah banyak aduan tentang kebiadapan mereka.
Mereka memberi layanan buruk kepada mangsa mereka. Dalam kes pekerja seks, baik wanita mahupun transgender, mereka diberi layanan yang mencabul maruah mereka.
Ini menunjukkan pegawai agama tidak mementingkan prosedur betul tetapi hanya menggunakan pekerjaan mereka untuk menunjukkan sifat rakus sahaja.
Mungkinkah ini yang berlaku dalam kes Siti Sarah di mana dia tidak diberi kesempatan menutup aurat? Apakah tujuan mengambil gambar dan videonya dengan tidak menutup aurat?
Kalaupun mereka berkhalwat, bukankah cukup ada 4 saksi yang mereka berdua-duan? Ini ada 8 orang saksi, itu pun mereka mahukan gambar.
Seperti pernah dikatakan Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin, serbuan sebegini bercanggah dengan ajaran Islam. Saya bersetuju kerana Al-Quran memerintahkan kita memberi salam sebelum masuk ke dalam ruang orang lain, dan jika mereka tidak memberi keizinan, maka kita tidak patut masuk ke ruang itu (Surah An-Nur, ayat 27-28).
Mengapakah pegawai agama tidak menghiraukan ayat suci ini? Jawapannya mudah, kerana aktiviti “skodeng” tidak selari dengan ajaran Islam yang sebenar.
Allah mempunyai hikmah dengan melarang kita daripada masuk campur dalam hal orang lain.
Jawi dan pegawai yang terlibat dalam kes ini dalam proses disaman oleh pasangan tersebut.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Rakyat Malaysia banyak menutup mata terhadap kelakuan melampau pegawai agama. Malangnya, mereka makin lama, makin kertelaluan.