Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Muafakat baharu pembangkang tanpa Anwar?

 | March 12, 2017

Dengarnya ada cadangan mengadakan gabungan pembangkang baharu hadapi PRU14 diketuai PPBM dan Dr Mahathir menerusi mesyuarat yang dihadiri pimpinan tertinggi Pakatan Harapan dan PPBM.

KOMEN

mahathir-pakatan-1

Kenyataan balas Tun Dr Mahathir Mohamad yang berbunyi “Bukan DAP saja yang boleh tentukan siapa (jadi perdana menteri)” terhadap kenyataan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke yang Pakatan Harapan bersedia melantik wanita sebagai perdana menteri amat menarik perhatian.

Pemimpin yang dimaksudkan Loke, dan dipersoalkan Dr Mahathir tidak lain tidak bukan ialah Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail.

Susulan itu, kedengaran timbulnya satu cadangan untuk mengadakan satu gabungan pembangkang yang baharu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diketuai PPBM dan Dr Mahathir di dalam satu mesyuarat yang dihadiri pimpinan tertinggi Pakatan Harapan dan PPBM.

“Lebih menarik hanya team Azmin yang mewakili PKR di mesyuarat itu. Team Rafizi langsung tidak kelihatan,” kata satu sumber yang hadir di mesyuarat tersebut.

Antara isi penting muafakat baharu ini, kata sumber itu ialah cadangan agar tidak menggunakan nama Pakatan, sebaliknya satu nama baharu yang akan dicadangkan bagi menghadapi PRU14.

Menarik lagi katanya ialah muafakat ini tidak melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah ia seolah-olah dicadangkan untuk membolehkan Dr Mahathir dapat mengambil-alih tempat Anwar di dalam pembangkang secara sah.

Yang mengejutkan semua pihak ialah cadangan muafakat baharu ini “boleh” diterima oleh sebuah parti terkuat di dalam Pakatan Harapan.

Sekiranya maklumat daripada sumber ini tepat, ini bermakna Dr Mahathir memulakan langkahnya untuk mengetuai pembangkang, dan sekiranya beliau mendapat sokongan penuh DAP untuk menubuhkan muafakat ini, maka beliau akan berjaya membebaskan diri daripada bayangan Anwar selepas ini dalam soal menentukan hala tuju pembangkang.

Dr Mahathir sebagai pakar politik sudah tentunya memahami kelemahan utama Pakatan Harapan kini ialah hakikat dan persepsi ia dikuasai ahli Parlimen bukan Islam dan tidak diketuai sebuah parti tunjang orang Melayu apabila tiadanya PAS.

Kelemahan itu menyebabkan Pakatan Harapan tidak akan dapat bersaing dengan Umno di kawasan kubu Umno yang menjadi nadi kerajaan BN.

Strategi untuk mengadakan satu muafakat baharu di mana ia akan ditunjangi PPBM, sebagai sebuah parti orang Melayu, dipercayai adalah untuk mengatasi kelemahan yang ada pada Pakatan Harapan ini.

Persoalannya, apakah reaksi pasukan Rafizi Ramli terhadap muafakat ini yang bakal menyebabkan bosnya yang masih di penjara menjadi semakin tidak relevan?

Sejauh mana pula kekuatan PPBM secara sendirian untuk mengetuai muafakat ini? Bolehkah ia menang tanpa berunding dengan PAS?

Baru-baru ini juga, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata PKR dan PPBM akan terus berunding dengan PAS mendedahkan peluang PKR dan PPBM di peperangan 3 penjuru sangat merisaukan.

Cuma, sekiranya muafakat ini berjaya dibentuk, bagaimana PKR dan PPBM mahu berunding dengan PAS, kerana semestinya DAP tidak akan bersetuju PKR dan PPBM untuk berunding dengan PAS?

Sekiranya rundingan dapat diteruskan, apakah PKR dan PPBM dapat memberi jaminan kepada PAS parti lain tidak akan mengacau kerusi PAS yang dipersetujui bersama antara PPBM, PKR dan PAS?

Sekiranya tidak, apa gunanya hendak berunding dengan PAS?

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments