Saiz perkhidmatan awam terlalu besar?
Isu sebenar bukanlah semata-mata untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam, tetapi menyesuaikan jumlahnya ke tahap yang optimum.
Oleh Firdaos Rosli
Baru-baru ini Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani menafikan tuduhan mengatakan jumlah penjawat awamlah yang menyebabkan jatuhnya hasil kerajaan.
Walaupun kenyataan beliau dikecam Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), ia disahut baik beberapa tokoh ekonomi negara.
Apa yang pasti, saiz perkhidmatan awam serata dunia tidak sama disebabkan definisinya yang berbeza. Setiap negara mempunyai sistem politik, dasar awam dan persekitaran ekonominya tersendiri. Perbezaan ini menyukarkan lagi pakar ekonomi untuk membuat perbandingan dengan sewajarnya.
Sepertimana yang diulas ketua setiausaha negara baru-baru ini, jumlah penjawat awam di Malaysia seolah-olah “tinggi” kerana takrifnya yang meliputi sektor pertahanan dan ketenteraman (polis dan tentera), kesihatan dan pendidikan. Tidak semua negara mempunyai definisi yang komprehensif sepertimana Malaysia.
Bagaimanapun, isu ini perlu dilihat di bawah lensa yang lebih menyeluruh – impak atau kesan daripada saiz perkhidmatan awam kepada status kewangan negara. Penulis percaya isu sebenar bukanlah semata-mata untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam, tetapi menyesuaikan jumlahnya ke tahap yang optimum.
Ia perlulah selaras dengan belanjawan, dasar awam dan tahap pembangunan negara yang berubah dari semasa ke semasa.
Statistik menunjukkan tenaga buruh Malaysia 14.8 juta daripada 31.8 juta penduduk Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 1.6 juta penjawat awam, atau lebih 10% daripada jumlah tenaga buruh negara.
Walaupun ada yang mengatakan 1.6 juta jumlah bilangan perjawatan dan bukannya 1.6 penjawat awam, impaknya adalah sama. Jadi, apakah maksud jumlah ini?
Menurut data terkini Bank Dunia, pada 2012, belanja emolumen perkhidmatan awam negara 24% adalah lebih tinggi berbanding negara dunia lain seperti Rusia (16%) dan Kazakhstan (7%) (sama KDNK per kapita dengan Malaysia).
Afrika Selatan (14%) dan Denmark 12% (sama KDNK dengan Malaysia), serta Poland (11%) dan Kanada sebanyak 12% (sama jumlah penduduk dengan Malaysia).
Untuk makluman, belanja emolumen perkhidmatan awam pada 2017 dianggarkan 29%, ataupun RM77.4 bilion daripada RM262.8 bilion anggaran perbelanjaan persekutuan.
Perbandingan sebegini lebih wajar berbanding saiz perkhidmatan awam itu sendiri. Secara tidak langsung ia juga menunjukkan belanja emolumen perkhidmatan awam Malaysia adalah lebih tinggi daripada negara setanding di seluruh dunia.
Tetapi, ada juga negara yang mempunyai belanja emolumen perkhidmatan awam yang tinggi. Contohnya Singapura, di mana negara tersebut mempunyai bil yang tinggi kerana jadual gaji awamnya setaraf dengan sektor swasta.
Turki juga mempunyai bil gaji perkhidmatan awam yang tinggi disebabkan sektor pertahanannya besar yang juga merupakan jumlah ketenteraan kedua tertinggi di kalangan negara Nato.
Berbalik kepada saiz perkhidmatan awam, persoalannya adalah wajarkah kerajaan mengekalkan belanja emolumen yang tinggi berbanding obligasi kewangan lain, contohnya belanja pembangunan, baik pulih infrastruktur awam dan sebagainya?
Haruskah pengecilan saiz perkhidmatan awam, jika perlu, dibuat secara mendadak? Wajarkah perkara ini berkekalan tatkala dunia terus mengalami persekitaran ekonomi yang tidak menentu?
Sepertimana isu lain berkaitan dengan dasar awam, isu ini sememangnya mudah untuk dipolitikkan. Sepertimana juga belanja subsidi kerajaan persekutuan, adalah mudah untuk membesarkan saiz perkhidmatan awam tetapi tidak untuk mengecilkannya. Dan sepertimana rasionalisasi subsidi, saiz perkhidmatan awam juga boleh dibentuk semula mengikut keperluan ekonomi dan politik semasa.
Ini bukanlah satu isu yang baru kerana lebih 3 dekad lalu, Tun Daim Zainuddin selaku menteri kewangan juga pernah membangkitkan perkara yang sama. Tidak hairanlah isu ini hanya dibangkitkan menteri kewangan saja kerana ia memerlukan desakan politik di peringkat yang tertinggi.
Ada pelbagai cara untuk menangani isu ini. Apa yang penting ia perlu diperhalusi lagi dan diselesaikan secara berterusan supaya sistem penyampaian kerajaan tidak terganggu.
Oleh itu, penulis percaya isu ini perlu memberi perhatian umum kerana obligasi kewangan negaralah yang perlu menentukan dasar awam dan bukanlah sebaliknya.
Firdaos Rosli ialah fello ekonomi, ISIS Malaysia
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.